Showing posts with label pimpinan. Show all posts
Showing posts with label pimpinan. Show all posts

Sunday, 8 March 2015





Beberapa hari yang lepas, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia telah diumumkan di seluruh Malaysia. Saat itu, pelbagai aksi ditonjolkan. Ada yang tersenyum gembira, ada juga yang menangis kecewa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Bagi yang kurang berjaya dan tidak mencapai target yang diimpikan, jangan kecewa. Jadikan keputusan lalu dan kegagalan itu sebagai pendorong untuk lebih berjaya. Perjalanan anda masih jauh.Ucapkan syukur atas segala keputusan yang telah ditetapkan Allah. Penuntut ilmu yang paling beruntung adalah yang paling berkat ilmunya.
Tips untuk mendapat keberkatan ilmu antaranya :
1. Betulkan niat dalam menuntut ilmu
2. Baca doa sebelum memulakan pengajian ( ucapan Basmallah dan doa penenrang hati )
3. Meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum tidur.
4. Hindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati seperti mengumpat, tidur terlalu banyak, menonton video-video porno dan sebagainya.
Di Malaysia sahaja, terdapat pelbagai pilihan hala tuju selepas SPM seperti A-level, Asasi, Matrikulasi, Sijil dan Diploma. Jangan biarkan rasa kecewa itu membunuh semangat anda untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, nilai cemerlang itu bukan terletak pada kejayaan akademik sahaja, bahkan yang hakikinya adalah cemerlang akhlak. Berapa ramai remaja yang cemerlang, namun pabila ditanya tentang ilmu-ilmu fardhu ain, masih ramai yang tidak tahu. Agak menyedihkan, kerana nilai agama seolah-olah dipinggirkan dalam jiwa anak-anak muda sekarang. Sepatutnya, anak-anak terdidik untuk mengenali Islam sejak setahun jagung lagi. Sebaliknya, ibu bapa lebih memfokuskan ilmu dunia berbanding ilmu akhirat. Natijahnya, hidup anak-anak kosong tanpa belaian iman.
Ada segelintir ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik, sehinggakan anak-anak berasa tertekan lalu menyebabkan mereka murung dan kurang bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Tidak salah, namun biarlah ilmu agama menjadi tiang hidup kita. Buktinya, Rasulullah S.A.W sendiri, merupakan contoh terbaik pencinta ilmu. Bukan sahaja ilmu dunia seperti jual beli, bahkan ilmu ukhrawi juga tidak dipinggirkan. Baginda dijadikan rujukan segala ilmu dan dianggap buku bergerak dek ilmu yang dimiliknya. Ilmu-ilmu baginda ditonjolkan melalui akhlak dan peribadi Baginda yang menenangkan hati sesiapa sahaja, termasuklah orang bukan Islam.
Akhir kalam, teruskan perjuangan anda dalam menuntut ilmu, kerana ilmu Allah itu luas.
“ Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan semakin bertambah. “; Saidina Ali bin Abi Talib
Nazifah Nazri
Timb Exco Akademik dan Intelektual PMIUM


Wednesday, 11 February 2015

Selesai prosiding rayuan UM8.


Ahli panel adalah 2 orang Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan seorang Dekan Institut Pengajian Siswazah(IPS).

Panel: hukuman Encik hanya Amaran Keras.
Saya: tidak kira hukuman hanya amaran ringan ke keras ke gantung ataupun buang, saya tidak bersalah.
Panel: saudara daripada Akademi Pengajian Islam, adakah saudara hadir pada malam kejadian?.
Saya: ye saya daripada APIUM, agama saya mengajar saya bercakap benar dan semua yang saya jawab tadi saya bercakap benar.

Saya akhiri prosiding dgn berkata:

"Saya tidak berhenti setakat ini, jalan ini yang saya pilih, duduk di universiti bukan hanya duduk dalam bilik kuliah semata-mata, masyarakat luar tanggungjawab saya,
kalau bukan sekarang bila lagi?
apapun yang terjadi saya tidak akan mengalah dan saya akan teruskan perjuangan ini."

#UM8
#SeeYouInCourt

Tuesday, 3 February 2015

Konvensyen Solidariti Kemanusiaan (K-SOLiK)



Nilai solidariti sering diberi tanggapan yang salah dan dipandang bias kepada golongan tertentu dalam sesuatu isu, seterusnya menjadikan solidariti ini terus dihidangkan kepada masyarakat dengan paradigma dan persepsi yang jauh dari konsep sebenar.

Dengan ini, PMIUM, persatuan yang berorientasikan "Inspirasi Bersama" dengan rasa kecaknaannya membuka satu ruang khas untuk sama-sama kita merungkai tafsiran sebenar nilai solidariti dibawah nama "Konvensyen Solidariti Kemanusiaan".

Mengetengahkan konsep pembentangan kertas kerja oleh para pembentang yang populis, idealis, dan sensasi, PMIUM mengambil inisiatif bagi memberi ruang dan peluang bersama-sama bagi membuka minda, melontar idea, serta koreksi gerak kerja.

Konvensyen ini bakal menyajikan anda tentang:
1-Apa itu Solidariti?
2-Apakah peri-penting Solidariti terhadap masyarakat khususnya Mahasiswa.
3-Mendedahkan ruang sebenar untuk bersolidariti
4-Mendedahkan kewujudan golongan yang mencari populis melalui solidariti.

Solidariti wajar diberi pendedahan terbaik dalam ruang yang sebenar.Masyarakat dan Mahasiswa perlu dipandu dalam isu ini agar pembawaannya bersifat intelektual, bukannya omong kosong dan nafsu semata.

Shuib Sukor
Exco Korporat dan Antarabangsa PMIUM
Pengarah KSoliK 2015

Sunday, 21 December 2014

Selamat mengulangkaji pelajaran dan selamat menghadapi peperiksaan



Masa yang ditunggu-tunggu kian tiba. Segala pelajaran yang dikutip di dalam bilik-bilik kuliah kini sudah hampir untuk diluahkan di dalam kertas-kertas jawapan. Seminggu masa yang diberikan untuk Mahasiswa dan Mahasiswi menghangatkan kembali ilmu yang dengan mengulangkaji balik pelajaran pelajaran perlu dimanfaatkan sebaiknya. Seminggu yang diberikan sebenarnya sangatlah tidak cukup berbanding beberapa bulan yang diambil masa untuk belajar, namun itu tidak menjadi masalah jika seseorang itu mengamalkan pengurusan masa yang cemerlang.

Dalam fasa ini, mencari peluang untuk mendekatkan diri dengan tuhan melalui tambahan-tambahan ibadat sangat diperlukan. Gigih mana sekalipun kita berusaha, kejayaan tetap ditentukan oleh Sang Penguasa Alam ini. Namun, janganlah pula kita hanya berserah kepada tuhan dan meminta hasil yang langsung tidak setimpal dengan kadar usaha yang dibuat.

Janganlah kerana hanya terlalu khusyuk belajar untuk mengejar gred keputusan tertinggi, kita melupakan nilai nilai pengorbanan kedua ibu bapa kita. Di kesempatan yang tersisa ini, jangan lupa untuk bertanya khabar kepada mereka. Mereka sangat memerlukan perhatian kita. Ditambah pula dengan kita yang berjauhan dengan mereka, menelefon dan bertanya khabar mereka sudah cukup menggembirakan mereka. Dan ingat Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa.

Di akhir kalam ini, saya mendoakan kejayaan kita semua agar mendapat kejayaan didunia mahupun akhirat. Sama sama kita menyucikan niat kita kembali agar tujuan kita belajar ini bukan semata untuk mengejar gred terbaik, tetapi mengembalikan kegemilangan Islam melalui kegemilangan ilmu yang dimulakan oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu. Manfaatkan cuti anda, moga kejayaan bersama kita.

Bittaufiq wannajah!

Amiruddin Ali
Naib Presiden 2 PMIUM


PMIUM | Inspirasi Bersama

ULAMA DUNIA DIBURU : PMIUM GESA KERAJAAN MALAYSIA BANTAH TINDAKAN INTERPOL TERHADAP SYEIKH YUSUF AL-QARADHAWI



Sebagai salah sebuah Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia yang berpendirian membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah (waran tangkap) kepada Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan ini menggesa Kerajaan Malaysia agar turut menyatakan kesungguhan membantah pemburuan serta penganiayaan terhadap tokoh ulama’ dunia itu.

PMIUM melihat bahawa keadaan ini seakan-akan memberi gambaran yang lebih besar sepertimana kezaliman yang berlaku terhadap mangsa-mangsa yang dikenakan Akta Hasutan di Malaysia. Malah lebih dahsyat lagi apabila tindakan tersebut melibatkan sosok yang menjadi rujukan masyarakat dunia atas ketinggian ilmunya. Sememangnya penglibatan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin merupakan asbab utama pihak musuh menjadikan beliau sebagai sasaran. Apakah wajar Kerajaan Malaysia berdiam diri atas kezaliman yang menimpa ulama’ besar ini sedangkan beliau pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai Tokoh Maal Hijrah satu ketika dahulu?

Oleh itu, PMIUM tetap dengan pendirian membantah tindakan Interpol ini sekali gus mendesak serta menuntut Kerajaan Malaysia agar :
1.         Mengeluarkan kenyataan yang jelas bagi membantah tindakan Interpol terhadap Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
2.         Bersatu dengan negara-negara anggota dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam mengecam tindakan zalim Interpol terhadap Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia tersebut.

Justeru, atas sensitiviti yang tinggi terhadap masa depan institusi keilmuan Islam, PMIUM optimis dalam mengharapkan respon dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh Kerajaan Malaysia yang mengakui Islam sebagai agama rasmi negara dalam mendepani isu ini. Sekiranya Malaysia mampu membawa suara solidariti dalam isu negara Islam yang tertindas seperti Palestin, mengapa tidak dalam hal ini.  

Anis Syafiqah Binti Md Yusof
Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Sesi 2014/2015

PMIUM | Inspirasi Bersama

Monday, 8 December 2014

Solidariti Bersama UM8



Rentetan Program Anwar Ibrahim 40 tahun Dari UM ke Penjara, lapan orang Mahasiswa Universiti Malaya akan kembali berhadapan dengan Tribunal AUKU pada esok hari. Perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada 18 November lalu telah ditangguhkan tanpa sebarang sebab yang munasabah oleh pihak jawatankuasa tatatertib. Penangguhan ini  sangat meragukan tambahan pula mereka yang dituduh ini diberikan satu surat baru berkaitan pertuduhan mereka.

Terdahulu Mahasiswa dari UIAM saudara Mujahid telah dihadapkan ke Tribunal AUKU dan telah didapati bersalah dengan hukuman yang diterima adalah amaran keras serta pergantungan selama satu semesta. Jelas, AUKU yang digubal pada 1971 merupakan satu akta  zalim yang cuba menyekat kebangkitan dan hak mahasiswa.

Di peringkat PMIUM, kami menyatakan solidariti penuh terhadap UM8. Kita tidak akan pernah redha dengan kezaliman dan kita tidak akan berhenti melawan kezaliman. Maka, saya menyeru kepada seluruh Mahasiswa dan warga Universiti Malaya untuk sama-sama hadir menyatakan solidariti kepada UM8 pada esok hari.

Ayuh bersolidariti beramai-ramai bersama 8 orang sahabat yang dikenakan prosiding tindakan tatatertib pada:
HARI : Selasa (9 Dis 2014)
MASA : 8.00pagi
TEMPAT : Gazebo

Solidariti ini sebagai tanda sokongan padu & jitu buat semua yang terlibat terutamanya Presiden PMIUM sendiri Saudara Khairol Najib Hashim, Pengerusi PRO-M UM Saudara Safwan Shamsuddin, Mantan YDP PMUM Saudara Fahmi Zainol, Mantan Setiausaha PMUM Saudari Syamimi Munira Mohamed, Mantan Exco PMUM Saudara Khairul Anwar, Adam, Yu Hong, & Abraham.

Muhammad Zarin Maszalan 
Naib Presiden 1 PMIUM sesi 2014/2015

~INSPIRASI BERSAMA
~GAYA ISLAM GAYA SEMUA (GIGS)




Insiden Penyokong Malaysia Menyerang




Insiden penyokong Malaysia menyerang dan memukul penyokong Vietnam di Stadium Shah Alam semalam adalah satu tindakkan yang cukup memalukan negara. Saya juga kecewa dengan mutu permainan harimau malaya semalam. Kita boleh lihat Vietnam beraksi tanpa tekanan di hadapan lebih 80 000 penyokong di stadium. Kita semua kecewa, tidak kira yang menonton di stadium ataupun di rumah. Tetapi kekecewaan itu tidak sepatutnya diluahkan dengan cara memukul penyokong lawan. Ini akan memberi kesan kepada keselamatan penyokong kita apabila aksi timbal balik di Hanoi nanti. Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap segelintir penyokong 'gila' kita yang terbabit dengan insiden semalam.

Ahmad Nazrin Bin Ahmad Nasir
Exco Sukan dan Kebudayaan PMIUM 2014/2015

~INSPIRASI BERSAMA
~GAYA ISLAM GAYA SEMUA

Friday, 5 December 2014

CORETAN TAHNIAH PMIUM KEPADA KEPIMPINAN BARU



Segala Puji bagi Allah di atas kurniaan rahmat dan hidayahnya diberi kesempatan untuk kita meneruskan perjuangan di atas muka buminya ini.
4 Disember 2014, adalah hari yang bersejarah sekali lagi buat mahasiswa University Malaya iaitu tarikh Pilihan Raya Kampus Uiversiti Malaya (PRK UM) bagi memilih tampuk kepimpinan baru Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). PRK UM telah pun melabuhkan tirainya lewat petang semalam dengan menyaksikan keputusan sekali lagi memihak kepada Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa memperolehi 21 kerusi ( 5 Umum dan 16 fakulti), manakala Penggerak Mahasiswa memperolehi 16 kerusi (3 umum dan 13 fakulti) Progresif 1 kerusi dan bebas 2 kerusi.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua jentera, pendokong dan penyokong Pro Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa yang telah bertungkus lumus menghidupkan pendidikan politik dalam kampus varsiti terulung ini. Penghargaan tertinggi diucapkan kepada semua mahasiswa/I Universiti Malaya yang keluar mengundi menunaikan tanggungjawab dan kewajipan untuk memilih tampuk kepimpinan baru mahasiswa untuk varsity tertua ini. Sesungguhnya suara mahasiswalah yang mencorak kampus ini kerana” tiada university jika tiada mahasiswa”, “tiada pengurusan dan pentadbiran jika tiada mahasiswa”.
Buat kepimpinan baru Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) yang bakal membentuk kabinet, sesungguhnya kalian telah diberi mandat oleh mahasiswa Universiti Malaya sendiri melalui proses demokrasi ini. Berkhidmatlah untuk mahasiswa dan kembalikan fungsi serta peranan mahasiswa itu sendiri sebagai juru bicara rakyat. Manfaatkan ruang dan peluang yang ada ini untuk mendidik serta memartabatkankan kelestarian mahasiswa sebagai agen semak dan imbang kepada negara. Tunaikan dan lengkapkanlah manifesto-manifesto yang telah kalian janjikan sepanjang fasa kempen yang lepas. Di samping itu, bersatulah kalian dalam satu saf yang jitu, tanggalkanlah baju kepartian, penuhilah segala kelompangan dan lajukan langkah perjuangan demi mencapai sebuah kemerdekaan dan kemenangan untuk mahasiswa.
Akhir kata, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mengucapkan selamat menjalankan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh ikhlas dan berbudi. Jadikan kepimpinan Rasulullah SAW sebagai contoh dalam kepimpinan dan pengurusan dan seterusnya semoga kepimpinan kalian menjadi “role model” kepada sebuah Negara Malaysia yang lebih demokrasi, mandiri dan sejahtera. Inshaallah.
Selamat Berkhidmat Untuk Mahasiswa
Khairol Najib Hashim
Presiden PMIUM.
5 Disember 2014


Pilihanraya Kampus Universiti Malaya

Pilihanraya kampus Universiti Malaya yang telah membuka tirainya bermula 1 Disember dan berakhir pada 4 Disember 2014. Sejajar dengan kampus-kampus lain, aktiviti pemilihan majlis perwakilan mahasiswa ini sememangnya menjadi tradisi tahunan bagi kampus Universiti Malaya. Pilihanraya kampus adalah satu medium penting bagi mahasiswa memilih kepimpinan mahasiswa yang berperanan menjadi jurubicara mereka, di samping majlis perwakilan mahasiswa inilah yang akan mengangkat nasib mereka di kampus Uni Malaya ini.

Dalam Islam, soal kepimpinan bukanlah satu perkara yang remeh. Jika kita menyingkap kembali kisah di zaman sahabat dalam peristiwa Saqifah Bani Saadah, kita dapat melihat dengan jelas peri pentingnya agenda memilih kepimpinan. Dalam peristiwa tersebut, hanya segelintir sahaja sahabat, khususnya ahli keluarga Baginda Rasulullah SAW yang menguruskan jenazah Baginda. Selebihnya menuju ke kediaman Saad bin Ubadah bagi memilih khalifah untuk menggantikan Rasulullah SAW.

Lembaran sejarah juga menunjukkan, soal kepimpinan antara faktor utama yang mencetuskan pelbagai ketegangan. Ada manusia yang sanggup berbunuhan –termasuk ahli keluarga sendiri- hanya kerana merebut kedudukan. Hal ini berlaku bilamana nafsu serakah menguasai diri dan tidak meletakkan semangat wahyu dan agenda nilai di hadapan.

Mahasiswa selaku kelompok yang dilihat masyarakat sebagai golongan bijak pandai perlu membuktikan kematangan mereka dalam soal memilih kepimpinan. Kematangan yang dimaksudkan termasuklah bijak dalam menimbangtara baik dan buruk, celik dalam menilai dan tidak bersikap semberono serta sedar akan hak dan tanggungjawab. Kejelikkan politik yang diamalkan sebahagian politikus dalam Negara hari ini perlu dijadikan sempadan oleh mahasiswa.

Dengan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ingin menyeru kepada mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya sekalian untuk cakna dengan fatrah pilihanraya kampus yang telah bermula semalam (1 Disember 2014) dan hari pengundian (4 Disember 2014). Berpartisipasilah dengan menunaikan tanggungjawab dan kewajipan anda sebagai pengundi.

Undi anda penentu kepimpinan mahasiswa di kampus tercinta ini. Pilihlah dengan bijak.

Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)





Saturday, 4 October 2014

Perutusan Khas Presiden PMIUM : Aidil Adha dan pengorbanan



Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Subhanallah, Alhamdullilah, Allahuakbar.

      Segala kesyukuran kepada Allah S.W.T atas lindungan dan rahmat kasih-sayangNya kita masih lagi berada di muka bumi ini. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan sahabat baginda.

      Alhamdullilah, umat Islam  menyambut Hari Raya Aidil Adha atau lebih sinonim di Malaysia dengan Hari Raya Korban hari ini. Hari Raya Aidil Adha adalah satu anugerah bermakna daripada Allah kepada semua umat Islam di muka bumi ini. Sebagaimana yang umat Islam ketahui Hari Raya Aidil Adha memberi makna untuk menyingkap kembali sejarah yang tercatat dalam Al-Quran mengenai Hari Raya Korban iaitu kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail . 2 per 3 daripada isi Al Quran menyingkap sejarah yang penuh hikmah untuk dijadikan panduan dan ibrah kepada kita semua. Semoga kisah ketaatan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim kepada Allah dijadikan sebagai benih dan bibit taqwa dalam diri.

      Nabi lbrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihkan anaknya sendiri yakni Nabi Ismail. Naluri seorang ayah jika difikir secara logiknya tidak mampu untuk dilakukan. Namun, ujian seberat ini mampu dilalui kerana ketaatan yang sempurna kepada Allah. Pengorbanan kedua-dua Nabi Allah ini dapat memperlihatkan tiada apa-apa yang mengatasi selain daripadaNya. Keimanan kepada Allah adalah perkara yang utama dalam diri setiap mukmin. 

      Sifat pengorbanan daripada sorotan sejarah ini perlu dihayati dan dipasak dalam diri sebagai bekalan untuk menjadi insan yang berguna kepada Allah dan masyarakat sekeliling. Sebagai mahasiswa, jadikan sejarah pengorbanan ini pemangkin untuk kita bergerak dalam melakukan kerja-kerja dakwah dalam masyarakat. Pengorbanan jiwa dan harta sangat diperlukan supaya kita semua mampu menjadi ‘jurutera masyarakat dan ummah’ yang diredhai oleh Allah.

      Justeru, marilah bersama-sama kita menjadikan aidil adha sebagai satu langkah permulaan untuk kita maju ke hadapan sebagai mukmin yang berjaya dan rela berkorban harta dan jiwa kerana Allah. Semoga Allah merahmati setiap langkah yang kita lakukan pada hari ini.


Khairol Najib Hashim,
Preseiden PMIUM 14/15


Sunday, 7 September 2014

Kalam Presiden PMIUM: SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS, MAKNAKAN ZAMAN MAHASISWA

      Permulaan September sememangnya sinonim dengan fasa kemasukan mahasiswa universiti-universiti tempatan ke kampus masing-masing.

       Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan ini mengucapkan selamat memulakan semester baru buat semua mahasiswa seluruh kampus, terutama mahasiswa tahun pertama yang baru sahaja selesai menjalani Minggu Haluan Siswa bermula 1 September yang lalu.

      Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh warga PMIUM ingin merakamkan jutaan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Hal Ehwal Pelajar serta para Pemudahcara Mahasiswa yang telah bertungkus lumus menjayakan Minggu Haluan Siswa.

      Semoga segala aktiviti yang bermanfaat membuahkan hasil yang positif.

       Buat mahasiswa yang masih dalam proses menyesuaikan diri, semangat yang masih mekar dan segar tidak seharusnya terhenti bersama-sama pengakhiran Minggu Haluan Siswa yang kalian ikuti.

      Saban hari pasti akan dilalui pengalaman demi pengalaman baru yang mematangkan. Kenalpasti hala tuju dan nilailah sebaiknya realiti yang bakal ditempuhi di medan ilmu ini agar tidak tersasar jauh dari matlamat.

       Saya juga ingin menyeru diri saya dan rakan-rakan mahasiswa agar tidak mensia-siakan zaman kemahasiswaan yang sedang kita lalui ini dengan hanya mengisi ruang dan peluang yang ada dengan rutin ‘kelas-kafe-katil’ tanpa mengutip sebanyak mungkin pengalaman yang ada.
       Gunakan ruang dan peluang yang ada ini semaksima mungkin.

      Manfaatkan majlis-majlis ilmu, usrah dan pelbagai bentuk aktiviti lapangan yang bermanfaat sebagai nilai tambah pembinaan sahsiah diri.

      Pilihan di tangan kita, maka buatlah pilihan yang terbaik. Akhir kata, selamat memaknakan zaman mahasiswa.



Khairol Najib Bin Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Monday, 1 September 2014

Kalam Exco PMIUM : "Negara Bangsa Malaysia masih rapuh"

      Lima dekad Malaysia merdeka dan beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyambut hari Malaysia iaitu pada 16 september, sepanjang tempoh ini kita menyaksikan usaha membina sebuah negara bangsa yang harmoni umpama menemui jalan buntu dan perpaduan kaum dilihat rapuh.

       Pasca Pilihan Raya Umum ke-13 ( PRU 13 ) rakyat Malaysia di dendang hebat isu-isu sensitiviti kaum seperti ‘Kalimah Allah’, ‘Rampasan Bible’ dan ‘model bergambar separa bogel di Ipoh’.

       Kerisauan yang timbul adalah kepada generasi baru dan keadaan Malaysia sepuluh tahun mendatang, sekiranya generasi kini tidak mampu mengatasi pergolakan yang berlaku, pastinya generasi akan datang cacat nilai perpaduannya.

       Dr Rahmat Ghazali, Ketua Pusat Pengajian Pascaijazah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UITM, menyatakan dalam artikel beliau ‘Isu Perpaduan Kaum Di Malaysia’ bahawa Malaysia menggunakan elemen-elemen pendekatan yang berbeza untuk membina perpaduan kaum bebanding pendekatan yang dicadang oleh pemikir-pemikir barat.

       Britain misalnya mengamalkan konsep ‘Melting Pot’ iaitu budaya etnik minoriti akan terlebur dan tercerna dengan budaya etnik dominan.

       Pengamalan di Malaysia tidak meleburkan apa-apa budaya etnik tetapi mempersatukan kepelbagaian budaya dan warna kulit dalam satu persekitaran yang sama seumpama ‘Salad Bowl’.

       Menilai realiti politik dan sosial hidup masyarakat Malaysia, pastinya untuk mewujudkan perpaduan kaum yang utuh adalah perkara yang mencabar, terutamanya apabila berhadapan dengan tiga etnik yang memiliki jati diri dan sejarah tersendiri.

Persefahaman Yang Lemah

      Kejadian model bergambar separa bogel di Ipoh Perak, boleh dijadikan kayu ukur kepada tahap kesefahaman antara kaum di Malaysia adalah lemah.

      Muhammad Hisyam Bin Mohamad, fellow Pusat Kajian Ekonomi Dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan pengamalan pendidikan kini gagal melahirkan pelajar yang mempunyai asas perpaduan yang kukuh, kerana pendidikan di Malaysia lebih tertumpu kepada kecemerlangan menjawab soalan peperiksaan.

       Masih wujud sikap tidak memahami sensitiviti budaya, mencemari norma budaya tempatan yang baik, mengutuk dan memperlekeh amalan ibadat agama lain.

       Di universiti para mahasiswa Melayu hanya bergaul sesama Melayu, mahasiswa Cina bergaul sesama Cina, mahasiswa India sesama India, warga peribumi sesame mereka. Sikap-sikap ini merencatkan lagi proses persefahaman.

Pendekatan Politik Dari Usaha Menjadi Racun.

      Para politikus di seru agar berhenti mempergunakan pergolakan yang berlaku bagi memenuhi nafsu politik mereka.

      Isu pertembungan kaum bukanlah sesuatu yang boleh di hujah didalam suatu perdebatan, tetapi sewajibnya diselesaikan didalam perbincangan meja bulat yang harmoni. Sejarah membuktikan Pauline Hanson dan P.W Bortha yang mengamalkan politik perkauman penghujung karier politik mereka adalah kehinaan.

      Tun Dr Mahathir Mohammad, pada 1995 mendifinisikan ‘Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali sebagai membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan meluhurkan Perlembagaan. Untuk merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat harus mula menerima kewujudan masing-masing seada-adanya, tanpa mengira kaum dan agama’.






Maka dapat disimpulkan beberapa perkara:

1. Mahasiswa perlu membawa langkah perubahan, mewujudkan suatu budaya baru bermula dari mahasiswa itu sendiri.

2. Mahasiswa dan anak muda harus matang mendepani isu-isu berbaur perkauman yang berlaku di Malaysia, penilaian wajib berdasarkan fakta, tiada berkepentingan dan jauh dari emosi.

3. Pemahaman perlu diterjemahkan melalui pengamalan aktiviti-aktiviti di universiti, bukan sekadar teoritas didalam bilik kuliah.

4. Pimpinan pelajar, dan persatuan-persatuan berasaskan agama dan kaum, perlu mengambil serius berkenaan mewujudkan anjakan paradigma pada kalangan mahasiswa.

Ahmad ‘Aqiel Abd Rahim
Exco Intergrasi Dan Kenegaraan PMIUM

Kalam Presiden PMIUM :"Minggu Haluan Siswa Pelajar Baru Universiti Malaya".

     Salam kemerdekaan ke-57 buat seluruh rakyat Malaysia dan selamat datang wa marhaban minkum buat seluruh mahasiswa bagi kemasukan 2014/2015 ke dalam keluarga besar Universiti Malaya.

      Sebagai mahasiswa yang cintakan negara, kita perlu sedar bahawa kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT,itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

      Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepadaNya. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjukNya.

       Walaupun negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak setengah abad yang lalu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud dengan pemikiran serta jiwa yang dipenjarakan dan ia sudah berakar umbi di dalam masyarakat kita.Oleh kerana itu, saya menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

       PMIUM yang telah ditubuhkan hampir setengah abad telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam mendepani cabaran fikrah dan globalisasi mengikut setiap peredaran zaman dengan mengambil tindakan yang proaktif mengikut konteks semasa dengan prinsip yang malar iaitu berpanjikan perjuangan Islam.

      Tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan dengan bersederhana dek mengingati tragedi yang menimpa negara kita yang telah mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa, dengan tragedi yang berlaku terhadap krew dan penumpang MH17 dan beberapa tragedi yang lain seperti kehilangan pesawat MH370 dan kematian pejuang-pejuang negara di Lahad Datu dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia tercinta.

      Saya juga menyokong 100% tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk menyesuaikan hari kemerdekaan ke-57 mengikut kesesuaian susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370 termasuk membatalkan acara tradisi seperti Ambang Merdeka, acara hiburan dan pertunjukan bunga api.

      Oleh itu, saya menyeru agar pihak Universiti Malaya membuat tindakan susulan terhadap program Minggu Haluansiswa (MHS) pada sesi 2014/2015 dengan menyahut seruan kerajaan dalam membuat kesesuaian terhadap program semasa MHS dijalankan bagi kemasukan para pelajar baru bagi sesi 2014/2015.

       Saya juga menggesa agar MHS kali ini dapat mengurangkan aktiviti yang berlebihan dan tidak bermanfaat sehingga mengorbankan masa pelajar baharu. Tidak perlu untuk saya sebutkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut kerana dengan akal yang waras saya yakin setiap dari kita mampu membuat penilaian yang sebaiknya.

       Sahabat-sahabat sekalian.

       Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar baru yang berjaya memasuki Universiti tertua ini. Manfaatkanlah segala masa yang anda ada ketika bergelar sebagai mahasiswa dan libatkanlah diri bersama dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Universiti serta Persatuan agar dapat membuat diri kita menjadi insan yang berguna bukan hanya pada diri sendiri. Bahkan berguna pada masyarakat dan negara.

       Jadilah mahasiswa yang bukan sekadar menelaah buku dalam bilik kuliah semata-mata tetapi mampu hadir dalam hiruk-pikuk kehidupan masyarakat dan boleh menyumbang sesuatu kepada mereka.

       Umum mengetahui Universiti Malaya dianggap oleh masyarakat sebagai “Mini Malaysia”. Populasi kaumnya boleh disamakan menyerupai Negara Malaysia dengan sekitar 60% pelajarnya adalah melayu dan selebihnya bangsa lain. PMIUM anggap ini adalah peluang terbaik untuk kita sama-sama mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama agar mampu melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

      Disaat negara hari ini cubaan untuk mengapi-apikan isu perkauman yang cuba dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab Universiti Malaya sepatutnya mampu membuktikan perkara sebaliknya. Buktikan yang pelajar kita mampu mengekalkan keharmonian kaum dalam negara ini.

Ingatlah Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”

      Salam Kemerdekaan ke-57 dan Selamat Datang buat Mahasiswa baru sesi 2014/2015


“Disini Lahirnya Sebuah Cinta”




Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Saturday, 16 August 2014

KENYATAAN TERBUKA PMIUM KEPADA PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) MENJELANG 17 OGOS


      Saya Khairol Najib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menggesa agar PAS bangun daripada tidur dan membuat keputusan yang memihak kepada konsensus Pakatan Rakyat yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor.

      Saya juga menasihatkan agar PAS perlu lebih proaktif dalam mengendalikan krisis dengan membuat pendirian yang cepat dan menepati konteksnya demi survival politik PAS di Malaysia.

      Realitinya, tindakan 30 Adun menyokong Dr Wan Azizah selaku menteri besar yang baru, menunjukkan tiada lagi alasan untuk PAS terus menyokong Khalid. Hal ini merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan dan bagi menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor.

      Tindakan ini sangat penting bagi mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas dan bukannya kepada "kerajaan Khalid".

     Saya mengingatkan, agar PAS tidak mudah timbul tenggelam dengan krisis kedudukan Khalid dan mengorbankan prinsip yang lebih penting, nama baik, akhlak politik dan amanahnya atas nama PR yang ia perolehi daripada rakyat Selangor.

     Oleh itu, saya juga berharap agar pimpinan PAS membuat keputusan yang benar-benar rasional pada 17 Ogos ini berdasarkan hujah dan timbang tara yang masak dengan membuat keputusan untuk terus kekal bersama pakatan yang telah dibina oleh PAS bersama rakan-rakan poitiknya selama ini dalam memperjuangkan masa depan rakyat Malaysia yang lebih cerah.


Khairol Najib Hashim
Presiden PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya)

Thursday, 7 August 2014

Kalam Exco PMIUM : Jangan Ketepikan Adab Dalam Memboikot


Isu pembedilan Israel terhadap Palestin dipandang berat oleh seluruh dunia termasuk Malaysia sendiri. Oleh itu, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh orang persendirian, NGO malah parti politik termasuklah mengadakan kempen memboikot Mc Donald yang menyumbangkan sebahagian dari keuntungannya kepada pihak Israel.

Namun,usaha yang baik ini telah dicemari dan dikotori oleh sikap segelintir penyokong kempen yang bukan sahaja menghina malah mencaci pekerja-pekerja restoren makanan segera tersebut.

Saya melihat perkara ini sebagai satu perbuatan yang tidak bermoral dan melanggari tatasusila. Penyokong-penyokong kempen boikot Mc Donald ini sepatutnya menjaga adab dan perlakuan mereka supaya usaha baik yang mereka laksanakan tidak dipandang buruk dan memberi imej yang kurang cantik kepada negara.

Diharapkan perkara seperti ini tidak lagi berulang dan usaha-usaha yang baik seperti memboikot Mc Donald ini terus dilaksanakan sebagai desakan kepada pihak Israel agar menghentikan perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan ini.

Mohd  Taufiqurrahman bin Ramli, 
Ketua Exco Ekonomi & Keusahawanan
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).


Sunday, 27 July 2014

Kalam Pimpinan :Perutusan Khas Aidilfitri Presiden PMIUM



      Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan. Alhamdullilah, hari ini  kita menyambut kedatangan Syawal sebagai tanda kemenangan kita dalam perjuangan dengan penuh ketaatan terhadapNya sepanjang Ramadhan.

     Perjuangan dalam bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai satu jihad dalam setiap diri individu. Hal ini kerana jihad itu sendiri membawa maksud bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Bagi umat Islam, berpuasa itu bukan sahaja berjihad dalam menahan nafsu daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan sentiasa menjaga fizikal dan mental ke arah disiplin yang bersenjatakan iman dan taqwa.


         Anggaplah apa yang sering kita lakukan yakni pertambahan nilai ibadah dan penghindaran daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini adalah satu langkah dan latihan berterusan untuk melakukan perubahan terhadap diri kita. Teruskan momentum positif sepanjang bulan Ramadhan ini dengan penuh konsisten dan memperoleh keberkatan serta keredhaan daripada Allah. Sesungguhnya, kemenangan yang lebih besar ialah apabila kita mampu mengekalkan momentum positif yang dikecapi sepanjang Ramadhan ini dalam penghayatan erti keabdian kepada Allah.


     Namun, jangan dilupakan akan sesuatu iaitu kemenangan perjuangan panji-panji Islam dalam proses pembelaan maruah Islam dan umat Islam diseluruh dunia. Pada awal Ramadhan ini, seperti sebelumnya, Palestin masih belum lagi sunyi daripada keganasan serangan rejim Zionis. Betapa ramai umat Islam yang diragut nyawanya saat yang pada ketika ini ramai umat Islam lain hanya mampu melihat dan mendengar tanpa berbuat apa-apa.


      Dalam menyambut kedatangan Aidilfitri yang mulia ini, kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang mampu meruntun hati kita sebagai menjaga hubungan dengan Allah dan manusia (Hablum min Allah, Hablum min Nas). Saat ini, kebergantungan kepada Allah untuk memohon perlindungan dan memberi kekuatan kepada rakyat Palestin dalam titipan doa di samping menjalankan tanggungjawab kita dalam kesediaan menjadi muslim sejati menjadi keutamaan.


      Apakah peranan kita sebagai muslim untuk menolong mangsa keganasan rejim Zionis yang masih lagi berlaku sejak dari 1948 lagi? Ianya bukan hanya bermusim; bukan 20 tahun,30 tahun, 40 tahun tapi sehingga perjuangan kebebasan yang dibelenggu kemelut penindasan ini selesai. Kita hanya marhaen tapi mampu membawa perubahan besar dalam keadaan ini walaupun dalam kondisi yang minima iaitu boikot. Saya di peringkat PMIUM melihat ini sebagai salah satu jalan untuk menunjukkan solidariti kita terhadap rakyat Palestin.


     Seterusnya, marilah kita sama-sama mengimarah dan mewujudkan kembali budaya ziarah-menziarahi sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang kian menjadi pudar. Bina kembali ikatan kasih sayang sempena Aidilfitri ini. “Yang jauh dekat-dekatkan, yang dekat, rapat-rapatkan”. Aidilfitri adalah antara ruang untuk merapatkan silaturrahim melalui budaya ziarah-menziarah dan memohon keampunan. Anak-anak yang merantau jauh dari kampung akan pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana seperti ini.


    Namun, dalam menyambut kemeriahan Syawal jangan dilupakan kepada batas-batas dalam bermuamalah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menjaga tutur bicara`dengan mengeluarkan kata-kata yang baik tanpa menyinggung perasaan orang lain. Pertuturan yang baik mampu untuk mengekalkan keharmonian dalam perhubungan. Selain itu, bersalam-salaman dengan hanya orang yang dibenarkan oleh syarak. Penganjuran untuk bermaaf-maafan pada hari raya bukanlah bermaksud perlu bersalaman dengan orang lain yang berlainan jantina dan bukan muhrim.


     Akhir kalam, kita adalah insan yang kerdil yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Di hari raya yang mulia ini kita seharusnya bermuhasabah dan menginsafi diri akan keadaan ini serta mensyukuri atas segala kerahmatan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.


Selamat hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Khairol Najib Hashim,

Presiden PMIUM.

~PMIUM Inspirasi Bersama~



Saturday, 26 July 2014

KALAM PRESIDEN PMIUM: "Jangan Hina 'orang Sampah' "

Jangan Hina "Orang Sampah"
     Sebut sahaja sampah pasti gambaran najis, kotor, busuk dan seangkatan dengan berlegar dalam fikiran kita. Hakikatnya kehidupan seharian kita dengan sampah tidak dapat dipisahkan ibarat seperti "aur dengan tebing" ataupun "donat dengan gula".
     Pekerjaan berkaitan dengan sampah, samada (kontraktor, pemandu lori , pengutip, dan setaraf dengannya) selalu dipandang hina oleh masyarakat.

     Walhal pekerjaan inilah pekerjaan yang mulia, yang mana ianya merupakan Fardhu Kifayah bagi umat Islam. Dek kala, orang lain bekerjaya sebagai guru, doktor, Menteri, mahupun Sultan, tetapi "orang sampah" inilah golongan diperlukan oleh semua orang.
     Seorang ayah yang bekerja mengutip tin kosong, kotak-kotak dan botol-botol terpakai demi mencari sesuap nasi untuk menyara keluarganya.

     Walaupun pekerjaan ini dipandang jijik oleh masyarakat, tetapi pada hakikatnya pekerjaan inilah pekerjaan yang mulia di sisi Allah.
   
     Sudah pasti rezeki daripada pekerjaan ini lebih halal dan suci berbanding seorang wakil rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik terhadap masyarakat serta bebas dengan korupsi yang berleluasa.

     Sehubungan dengan itu, menjelang Syawal yang bakal tiba ini, sudah pasti setiap rumah akan menghasilkan banyak sampah samada sampah kering mahupun basah.

     Oleh itu, bungkuslah sampah itu dengan baik supaya memudahkan urusan pemungutan sampah dapat dijalankan dengan lebih efisien dan cermat.
      Saya sarankan, apabila lori sampah melalui kawasan perumahan ketika Aidilfitri ini, marilah kita ringankan tangan menghulurkan sedikit juadah ataupun sebungkus air minuman kepada "orang sampah" yang bertugas ketika Aidilfitri berlangsung itu.

     Hargailah usaha titik peluh mereka, dan kita bayangkan jika mereka bercuti sepanjang Aidilfitri ini, sudah pasti ianya mendatangkan kemudaratan kepada kita semua.


Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya
Unlike~PMIUM Inspirasi Bersama~