Sunday 21 December 2014

Selamat mengulangkaji pelajaran dan selamat menghadapi peperiksaan



Masa yang ditunggu-tunggu kian tiba. Segala pelajaran yang dikutip di dalam bilik-bilik kuliah kini sudah hampir untuk diluahkan di dalam kertas-kertas jawapan. Seminggu masa yang diberikan untuk Mahasiswa dan Mahasiswi menghangatkan kembali ilmu yang dengan mengulangkaji balik pelajaran pelajaran perlu dimanfaatkan sebaiknya. Seminggu yang diberikan sebenarnya sangatlah tidak cukup berbanding beberapa bulan yang diambil masa untuk belajar, namun itu tidak menjadi masalah jika seseorang itu mengamalkan pengurusan masa yang cemerlang.

Dalam fasa ini, mencari peluang untuk mendekatkan diri dengan tuhan melalui tambahan-tambahan ibadat sangat diperlukan. Gigih mana sekalipun kita berusaha, kejayaan tetap ditentukan oleh Sang Penguasa Alam ini. Namun, janganlah pula kita hanya berserah kepada tuhan dan meminta hasil yang langsung tidak setimpal dengan kadar usaha yang dibuat.

Janganlah kerana hanya terlalu khusyuk belajar untuk mengejar gred keputusan tertinggi, kita melupakan nilai nilai pengorbanan kedua ibu bapa kita. Di kesempatan yang tersisa ini, jangan lupa untuk bertanya khabar kepada mereka. Mereka sangat memerlukan perhatian kita. Ditambah pula dengan kita yang berjauhan dengan mereka, menelefon dan bertanya khabar mereka sudah cukup menggembirakan mereka. Dan ingat Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa.

Di akhir kalam ini, saya mendoakan kejayaan kita semua agar mendapat kejayaan didunia mahupun akhirat. Sama sama kita menyucikan niat kita kembali agar tujuan kita belajar ini bukan semata untuk mengejar gred terbaik, tetapi mengembalikan kegemilangan Islam melalui kegemilangan ilmu yang dimulakan oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu. Manfaatkan cuti anda, moga kejayaan bersama kita.

Bittaufiq wannajah!

Amiruddin Ali
Naib Presiden 2 PMIUM


PMIUM | Inspirasi Bersama

No comments:

Post a Comment