Thursday 12 March 2015

KITA LUPA

Nak kaya
Tidak perlu harta
Nak mewah
Tidak perlu pangkat
Nak mudah
Tidak perlu bersusah
Siapa ajar?

Kau lupa
Dunia ini fleksibel sifatnya
Lagikan holistik melayankan dunia
Setekad kau melabur materialistik
Sedalam kau sangka hidup individualistik
Emosi kau tiada penentu
Kau kabur

Kau lupa
Kau gagal meletakkan hidup
Di tempat yang kukuh lagi utuh
Kau silap membuat andaian
Kau sangka dunia tiada liku
Kau sangka dunia engkau yang punya

Kau lupa
Hubungan bersama tiga perkara
Tuhan yang esa
Manusia yang kerdil 
Dan hidupan yang terlengkap di bumi
Kau sangka kau seorang
Kau sangka mereka siapa
Sekadar lalu di hilir minda
Tidak berfungsi lagi berguna
Kau silap


MANUSIA TUA
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UM
TAHUN PERTAMA

Tuesday 10 March 2015



Jom Jom Jom!!
Hari ini ada aktiviti best..
{SPEAKER CORNER }
⏰ 5ptg
Main Bus Stop
📅 Selasa
Tajuk : Implikasi GST kepada Mahasiswa
 Tajuk Bombastik
 Penyampaian menarik
Pasti anda tak rugi!
Pakat mai noh 
‪#‎inspirasibersama‬


Hadith Daily [HD]
Barngsiapa yang suka diluaskan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menyambungkan silaturrahim.
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Sunday 8 March 2015

THE QURANIC HOME TUITION .
 Menyediakan perkhidmatan kelas Al-Quran & Fardhu Ain dirumah anda.
Untuk dewasa & kanak-kanak
Contact nurain (0197136296
|| Words of Wisdom (WOW) ||
You are not alone and this is not the end of your story






Beberapa hari yang lepas, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia telah diumumkan di seluruh Malaysia. Saat itu, pelbagai aksi ditonjolkan. Ada yang tersenyum gembira, ada juga yang menangis kecewa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Bagi yang kurang berjaya dan tidak mencapai target yang diimpikan, jangan kecewa. Jadikan keputusan lalu dan kegagalan itu sebagai pendorong untuk lebih berjaya. Perjalanan anda masih jauh.Ucapkan syukur atas segala keputusan yang telah ditetapkan Allah. Penuntut ilmu yang paling beruntung adalah yang paling berkat ilmunya.
Tips untuk mendapat keberkatan ilmu antaranya :
1. Betulkan niat dalam menuntut ilmu
2. Baca doa sebelum memulakan pengajian ( ucapan Basmallah dan doa penenrang hati )
3. Meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum tidur.
4. Hindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati seperti mengumpat, tidur terlalu banyak, menonton video-video porno dan sebagainya.
Di Malaysia sahaja, terdapat pelbagai pilihan hala tuju selepas SPM seperti A-level, Asasi, Matrikulasi, Sijil dan Diploma. Jangan biarkan rasa kecewa itu membunuh semangat anda untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, nilai cemerlang itu bukan terletak pada kejayaan akademik sahaja, bahkan yang hakikinya adalah cemerlang akhlak. Berapa ramai remaja yang cemerlang, namun pabila ditanya tentang ilmu-ilmu fardhu ain, masih ramai yang tidak tahu. Agak menyedihkan, kerana nilai agama seolah-olah dipinggirkan dalam jiwa anak-anak muda sekarang. Sepatutnya, anak-anak terdidik untuk mengenali Islam sejak setahun jagung lagi. Sebaliknya, ibu bapa lebih memfokuskan ilmu dunia berbanding ilmu akhirat. Natijahnya, hidup anak-anak kosong tanpa belaian iman.
Ada segelintir ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik, sehinggakan anak-anak berasa tertekan lalu menyebabkan mereka murung dan kurang bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Tidak salah, namun biarlah ilmu agama menjadi tiang hidup kita. Buktinya, Rasulullah S.A.W sendiri, merupakan contoh terbaik pencinta ilmu. Bukan sahaja ilmu dunia seperti jual beli, bahkan ilmu ukhrawi juga tidak dipinggirkan. Baginda dijadikan rujukan segala ilmu dan dianggap buku bergerak dek ilmu yang dimiliknya. Ilmu-ilmu baginda ditonjolkan melalui akhlak dan peribadi Baginda yang menenangkan hati sesiapa sahaja, termasuklah orang bukan Islam.
Akhir kalam, teruskan perjuangan anda dalam menuntut ilmu, kerana ilmu Allah itu luas.
“ Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan semakin bertambah. “; Saidina Ali bin Abi Talib
Nazifah Nazri
Timb Exco Akademik dan Intelektual PMIUM


GIGS series 3.0

Asyik usrah kat surau je. Boring.

Asyik usrah kat tasik je. Meluat.

Selalu usrah kat library je. Mengantuk.
🙅JANGAN RISAU!!!🙅
GIGS SERIES 3.0 kali ini membawa anda usrah di pawagam!!!
Pernah tengok transformer?
Selalu tengok iron man?
Kali ini GIGS SERIES akan membawa anda semua untuk menyelami dan menjadi watak utama dalam filem yang berjudul : MENCARI ROH AL- FATEH
Anda kenal siapa iron man? Anda wajib tahu siapa Al- Fateh dalam diri anda!!
⏰ 9 mac ini. SAVE THE DATE !!!
TERBUKA KEPADA SEMUA !


Konvensyen SIS

Impactive Caliph, Heliza Helmi Production dan HEWI PMIUM membawakan khas untuk anda :
 KONVENSYEN SIS :: SRIKANDI IMPI SYURGA 
 14 - 15 MAC 2015 (2 hari)
 8.00 PAGI - 5.00 PTG
 AUDITORIUM KOMPLEKS PERDANA SISWA UNIVERSITI MALAYA
Seminggu sahaja lagi K-SIS akan berlangsung!
Ayuh DAFTAR segera!
✅SEORANG : RM100
✅2 ORANG : RM90/ORANG
✅3 ORANG : RM80/ORANG
✅5–10 ORANG : RM70/ORANG
✅20-30 ORANG : RM60/ORANG
Pendaftaran Pantas :
Melalui WhatApps :
Taip <‪#‎KSIS15‬>
Hantar ke 014-7930806
Perhatiansms ke nombor tersebut segera sebelum Ahad ini untuk mendapatkan harga promosi yg lebih jimat! 
Rujuk poster di bawah untuk mengetahui para panelis yg hebat dan slot-slot menarik dalam K-SIS ini.



Quran's Lesson
Guide us to the straight path
[ Al-quran,surah Al-fatihah: 6 ]
|| Speaker's Corner ||
"Welcome Back To UM"
Tempat : Main busStop UM
Masa :Rabu, 5 ptg
Speaker : 1. Wafiuddin,exco akedemik PMIUM
2. Luqman,exco hal ehwal semasa PMIUM
3. Erfan razeeq,exco PMUM
4. Anis syafiqah,wakil HEWI
Sebarkan dan mobilasi seluruh warga UM.


Wednesday 25 February 2015

HANTU BUNGKUS, ASSALAMUALAIKUM DAKWAH


Perkongsian Oleh: Rita NurSuhaila Radzuan 
-Timbalan Pengerusi HEWI PMIUM


Sempat berjumpa dengan Cg Esah ( yang kedua dari kiri ) dan mendengar pengalaman beliau ketika zaman 60-an di Universiti Malaya. Beliau merupakan penggerak kepada usrah dan aktiviti aktiviti ilmu di kampus. Dan penggerak PMIUM.

Antara moment yang menjadi history, beliau antara orang yang pertama memakai tudung di varsiti dan diikuti dengan beberapa rakannya yang lain. Digelar Hantu bungkus, hantu berstoking..dan sering disapa dengan, Assalammualaikum dakwah...

Kedengaran melucukan tetapi saya merasakan agak susah nak sebarkan fahaman islam yang sebenar benarnya bila bangsa seagama kita menganggap kita sebarkan fahaman yang salah.

Apakah kita nak sia siakan usaha perjuangan mereka?

Kita dan mereka yang mana lebih senang sebarkan islam?


Tepuk dada, fikir-fikirkan...

#inspirasiBersama

Friday 13 February 2015

Hari Kasih Sayang itu bukan hanya tanggal 14 Februari



Nilai kasih sayang bukan hanya terletak pada sambutan 14 Februari sahaja, malah bukti kasih sayang boleh terbentuk bila-bila masa sahaja andai meletakkan cinta Allah paling tinggi dan mengasihi seluruh makhlukNYA.
________________________

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day
Rujuk:
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-menyambut-perayaan-valentines-day

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

|| PMIUM INSPIRASI BERSAMA ||

Thursday 12 February 2015

PERGIMU BERSAMA TANGISAN



Tanggal 12 Februari 2015 bersamaan 23 rabi’ul akhir 1436Hijrah, dunia dikejutkan dengan 3 berita yang menyayat hati. Pertama, tragedi Chapelhill yang mengorbankan 3 orang pelajar Islam diUtara Carolina, Amerika Syarikat. Kedua, kematian dua orang guru; iaitu Datuk Hasbullah Awang dan Datuk Bentara Setia Tuan Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Biarpun mereka berdua di dalam bidang yang berbeza,namun kehilangan tersebut amat dirasai.

Jam 12.20 tengah hari,  pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, 63, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau berkhidmat dengan saluran Astro Arena sejak Januari 2014 setelah berhenti berkhidmat sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Beliau dianggap guru dalam bidang penyiaran Malaysia. Ramai yang mengagumi kreadibilitinya.

Tepat jam 9.45malam pula, dunia sekali lagi dikejutkan dengan pemergian murobbi sepanjang zaman, Datuk Bentara Setia Tuan Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Kehilangannya , sememangnya dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Kelantan. Siapa sangka, di saat penghuninya masih bersedih dengan musibah banjir yang melanda bumi serambi mekah itu, mereka sekali lagi diuji dengan kehilangan yang cukup besar ini.

Ada hikmahnya mengapa diaturkan sedemikian rupa. Sengaja Allah ingin membersihkan bumi itu daripada dosa sang penghuni, agar kita mampu mengerti nilai hidup. Sengaja Allah mengambil insan itu di saat kita masih perlukannya, agar dapat mengerti nilai akhirat. Namun, yang paling menyentuh hati, tarikh pemergiannya bersamaan dengan tarikh kematian Syahid Hassan al-Banna.

Arwah, sepanjang hidupnya disifatkan sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara menegakkan keadilan dan berpendirian tegas dalam menjalankan amal ma’ruf nahi mungkar. Kehilangannya tiada galang ganti. Hidupnya hanyalah untuk Islam. Zaman mudanya, hanya dipenuhi dengan hal-hal berkaitan ukhrawi sahaja.

Benarlah, Islam itu datang dengan keadaan asing dan bakal kembali dengan asing jua. Buat semua  syabab, contohilah beliau. Jenamakan Islam dalam diri, tonjolkan kebaikan sepanjang masa.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW. Bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’.

Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.”
(Hadith riwayat Muslim)

Rita Nursuhaila Ridzuan
Timbalan Pengerusi HEWI PMIUM

             


PMIUM | INSPIRASI BERSAMA
MAHASISWI PENCETUS KEBANGKITAN WANITA


Memperingati Syahidnya Imam Hassan Al-Banna




Salah satu idea pandang dan strategi as-syahid yang cukup saya kagumi adalah perancangan yang mendasar lebih mesra rakyat dalam menebar fikrah disertai kegigihan dan sikap tidak berputus asa.

1) Cara penyebaran fikrah dan maklumatnya tidak lapuk dek usia sehingga sekarang walaupun anak muda kebiasaannya mendapat maklumat yang jelas di kuliah-kuliah universiti tapi siapa pula yang mampu mempengaruhi golongan tua? Jawapan yang sudah lama dijawab as-syahid. Hanyalah berbekalkan kedai kopi dan segolongan ilmuan yang berkongsi sehirup cawan yang sama dengan orang kampung. Jelas idea ikhwan diterima ramai. Kemudian tersebar ke institusi keluarga kemudian ditambah kekuatan fikrah daripada anak muda terpelajar. Sebetulnya saya hanya tersenyum, kerna ayahku juga penggemar warung kopi. Setiap kali pasti diri ini rasa ingin menguji beliau. Yang peliknya beliau lebih tahu lebih-lebih lagi isu mahasiswa. Maka malulah mahasiswa yang hidupnya hanyalah berkisar 3k.

2) Kegigihannya untuk muslimat menyertai medan jihad adalah luar biasa. Bukan sekali dua pertemuannya dengan syahidah Zainab Al Ghazali. Bahkan banyak kali tetapi banyak kali jualah ditolak pelawaannya untuk menyertai Ikhwan. Fikir ibunda Zainab hanya satu. Kelangsungan nasib dan kebajikan wanita, kerana beliau tahu mana-mana individu yang sanggup bersama-sama ikhwan akan menempa nasib yang buruk. Kematian As-syahid Hassan membuka mata ibunda Zainab. Baginya tiada jihad melainkan menerpa susah. Jika tiada susah maka bukanlah kamu berdarah Islam. Akhirnya briged muslimat bergabung dan mencetuskan revolusi hingga akhirnya ibunda di tangkap sejurus sahaja beberapa ketika setelah tertangkapnya Syed Qutb, Ibunda diseksa melebihi lelaki biasa. Sungguh kental jiwamu.

Imam Hassan al-Banna tidak pernah pergi tapi kekal hidup dalam jiwa- jiwa anak muda.

Al- fatihah.

Perkongsian oleh:
Jurucakap Hewi PMIUM
Nurul Shuhada Mamat

Wednesday 11 February 2015

Selesai prosiding rayuan UM8.


Ahli panel adalah 2 orang Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan seorang Dekan Institut Pengajian Siswazah(IPS).

Panel: hukuman Encik hanya Amaran Keras.
Saya: tidak kira hukuman hanya amaran ringan ke keras ke gantung ataupun buang, saya tidak bersalah.
Panel: saudara daripada Akademi Pengajian Islam, adakah saudara hadir pada malam kejadian?.
Saya: ye saya daripada APIUM, agama saya mengajar saya bercakap benar dan semua yang saya jawab tadi saya bercakap benar.

Saya akhiri prosiding dgn berkata:

"Saya tidak berhenti setakat ini, jalan ini yang saya pilih, duduk di universiti bukan hanya duduk dalam bilik kuliah semata-mata, masyarakat luar tanggungjawab saya,
kalau bukan sekarang bila lagi?
apapun yang terjadi saya tidak akan mengalah dan saya akan teruskan perjuangan ini."

#UM8
#SeeYouInCourt

Cerpen: UKHUWAH KAMI BERTAUT DI FIRDAUSI

Cuaca begitu panas. Matahari amat terik sekali seolah-olah berada sejengkal di atas kepala. Pada kebiasaannya bumi Mesir mengalami musim panas pada bulan April. Peluhku sudah mulai mengalir. Lantas aku segera mengatur langkah menuju ke Mahattoh Soleh Ja’fari. Di kejauhan kelihatan ramai para pelajar Fakulti Syariah wal Qanun sudah beratur menunggu ketibaan bas untuk pulang ke rumah sewa masing-masing. Tiba-tiba satu suara menyapaku dari arah belakang. Aku segera menoleh.
     “Mariam..rindu sama enti!”
     “Khaulah! Rindu sama enti juga.”
Aku memeluk erat sahabat baikku Khaulah. Senyuman paling manis aku hadiahkan buatnya. Gadis kelahiran bumi Damsyik ini tampak manis dengan busana Arabnya.
     “Mariam..sudah lama enti tidak belanja ana minum ‘asir’.”
     “Yakah? Asyik ana sahaja belanja enti. Apa kata enti pula belanja ana kali ini.”
Aku tersenyum. Sengaja aku mengusik Khaulah. Keningku diangkat sedikit.
     “Erm..baiklah. Jom ana belanja enti makan di Mat’am Syubrawi”
     “Betul ni?”
Khaulah mencekak pinggangnya sambil mencemikkan muka.
     “Betul la.”


Aku ketawa kecil melihat gelagat Khaulah lantas mencubit pipinya.
     “Yeah! Khaulah belanja. Syukran jiddan ukhti,” jawabku sambil melontarkan senyuman kepadanya.
Kami segera meninggalkan Mahattoh lalu meneruskan langkah menuju ke Mat’am Syubrawi. Tidak semena-mena kepalaku terasa berat. Sakit bukan kepalang. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Aku cuba menyeimbangkan posisi badanku namun gagal. Akhirnya aku rebah di sisi Khaulah. Khaulah segera memangku diriku.
     “Mariam…!”
Aku hanya tersenyum menatap wajah manisnya itu.
     “Kenapa ni? Mariam sakit ke?”
    “Tak lah, Mariam ok. Cuma sakit kepala sikit je. Mungkin oleh sebab pancaran matahari sangat terik hari ni.”
     “Kalau begitu mari kita pulang rehat ya?”
Khaulah cuba memujukku. Aku angguk lemah tanda akur dengan kata-katanya. Khaulah segera memapahku. Aku terus tersenyum melihatnya. Dia kehairanan melihatku.
     “Ada orang tu tak dapat belanja Mariam hari ni.”
     “Alaa kesiannya dia, lain kali ya?”
     “Janji?” Sengaja aku mengusiknya.
     “Ya, Khaulah janji.” Katanya sambil mengangkat tangan.

Aku hanya ketawa kecil. Memeluk erat sahabatku. Subhanallah..indahnya persahabatan kami! Dialah temanku yang sentiasa di sisi tika susah dan senang.
                                                         ********
Pagi Jumaat yang dingin. Kawasan jami’ah Al-Azhar lengang dengan lautan manusia. Aku toleh ke luar tingkap. Salji sedang lebat turun. Ya Allah, sejuknya! Sejuk sangat sehingga terasa seperti mencucuk-cucuk tulang rusuk. Terbit perasaan malas untuk pergi ke kuliah pada pagi ini. Alangkah nikmatnya jika aku melelapkan mata ketika cuaca sebegini rupa. Namun ku gagahkan juga untuk bangun. Aku cuba untuk buang sifat malas yang bersarang di dalam diri ini.
Aku segera mencapai baju sejuk dan beg galasku lalu menapak perlahan keluar berjalan menuju ke Fakulti Syariah wal Qanun seorang diri di sebalik kesejukan pagi bumi Mesir. Membawa sekeping hati yang terlalu merindui susuk tubuh Khaulah. Sudah 2 tahun lamanya berlalu tetapi kenangan itu masih tersemat di kalbuku. Setelah sekian lama kami bina persahabatan indah ini, akhirnya ukhuwah kami diuji.
     “Mariam…”
     “Ya Khaulah, kenapa?”
Aku kehairanan memandang wajah sugul Khaulah. Aku merasakan seakan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Aku genggam erat tangannya. Ada air mata yang mengalir di pipinya.
     “Mariam..Khaulah terpaksa pergi..”
     “Hah? Pergi mana?”
    
“Khaulah perlu segera pulang ke Syria. Abi dan Ummi Khaulah sudah syahid. Tiada siapa yang mahu menjaga adik-adik Khaulah. Mereka keseorangan.”
Khaulah sudah menunduk. Air matanya terus mengalir. Dia tidak langsung menatap wajahku. Hatiku menjadi sebak melihat keadaannya. Ya Allah..inikah ujian persahabatan yang Engkau berikan kepada kami? Ya Allah..terasa peritnya untuk aku hadapi ujianmu ini. Sesungguhnya aku sangat mencintai sahabatku ini ya Allah.
     “Pergilah Khaulah…”
Khaulah mendongak memandangku. Mata kami bertaut. Aku sudah tidak dapat menahan lagi kesedihan yang melanda. Aku peluk erat sekujur tubuhnya. Ya Allah…mampukah aku? Mampukah aku untuk berpisah dengan seorang sahabat yang amat aku sayangi? Hatiku sebak. Air mataku sudah mulai mengalir. Ku genggam erat rantai pemberian Khaulah kepadaku. Terukir namaku dan dia di situ. Sungguh aku amat merinduimu Khaulah!
                                                         ********
Aku melangkah masuk ke dewan kuliah 211. Dr Hassan sudah mula bersyarah di hadapan. Aku agak lambat sedikit hari ini. Aku toleh ke kiri dan ke kanan. Banyak tempat yang kosong. Ramai pelajar yang tidak hadir pada pagi ini. Mungkin oleh sebab salji amat tebal di luar sana. Kelihatan Zinnirah, sahabat serumahku duduk seorang diri. Lantas aku memilih untuk duduk di sisinya.
Sudah hampir sejam Dr Hassan bersyarah di hadapan. Namun tiada satu perkara pun yang melekat di mindaku. Hanya wajah Khaulah yang bermain di fikiran. Aku memandang Dr Hassan dengan pandangan kaku. Sejak dari tadi kepalaku sudah terasa sakit. Sakit bukan kepalang seolah-olah dicucuk dengan duri yang tajam. Kitab Fiqh Muqorron segera ku tutup rapat.
     “Mariam! Mariam!”
Kedengaran suara Dr Hassan berteriak memanggil namaku. Aku tersentak dari lamunan. Semua mata di situ memandang ke arahku. Aku tertunduk malu. Arghh! Malunya aku. Macam manalah aku boleh berangan sebentar tadi. Zinnirah, sahabat serumahku menyapa sambil melontarkan senyuman.
     “Berangan ya?”
     “Taklah”, sepatah aku menjawab.
     “Habis tu? Teringat akan Khaulah?” Zinnirah tersenyum.
Aku mengangguk lemah. Wajahku kelihatan sugul. Aku benar-benar rindu akan Khaulah. Rindu akan ukhuwah yang sekian lama terjalin indah. Rindu akan segala memori lalu yang masih segar dalam kotak fikiranku.
                                                          ********
Zinnirah menampar lembut bahuku. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah dahulu kerana ada urusan penting yang harus diselesaikannya. Aku mengangguk lembut. Dewan kuliah 211 sudah lengang dengan pelajar. Aku mengagahkan juga diri untuk bangun. Aku berjalan agak perlahan menuju ke Mahattoh.
Ketika dalam perjalanan pulang, aku singgah sebentar di Raudhah Sakinah. Aku menoleh ke sebelah kanan. Aku tersenyum sendirian lalu menghampiri pohon tamar. Aku berhenti di situ. Memejam rapat mataku. Pohon tamar inilah menjadi saksi. Saksi jalinan ukhuwah kami bersemi.


     “Assalamualaikum…”
     “Waalaikummussalam..”
     “Kaifahaluki?”
     “Alhamdulillah ana bikhoir.”
     “Ana  Khaulah Al-Azwar..wa enti?”
     “Ana Mariam… min Malizi..”
     “Malizi?”
     “Na’am..wa min enti?”
     “Ana min Damsyik…”
Ukhuwah kami bersemi hanya sebegitu. Pertemuan yang ringkas tetapi penuh bermakna. Pertemuan di bawah pohon tamar ini yang menguatkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Setiap kali ada masa terluang, pohon tamar inilah menjadi tempat kami berehat sementara menunggu kelas seterusnya bermula. Ingin sekali aku mengulang kembali kisah kami dahulu. Kisah yang penuh suka dan duka.
Merindui kehangatan pelukan seorang sahabat dari bumi Damsyik, aku duduk bersandar di bawah pohon tamar itu. Sejuk sangat. Alangkah indahnya jika aku dapat menikmati kesejukan bumi Mesir ini bersama-sama Khaulah. Aku segera membuka lembaran surat daripadanya yang ku terima sebulan yang lepas.



Salam sayang buat ukhtiku,
Apa khabar dirimu Mariam? Khaulah harap Mariam senantiasa sihat dan ceria selalu walaupun tanpa kehadiran Khaulah di sisi. Khaulah sekeluarga baik-baik sahaja di sini. Allah, betapa rindunya Khaulah pada Mariam. Rindu pada ukhuwah yang kian lama terjalin bersama. Rindu juga pada bumi Kairo. Subhanallah..tidak terbendung lagi rasa rindu yang kian mekar ini. Tetapi apakan dayaku, hanya kepada Allah sahajalah aku titipkan rasa rindu ini.
Sahabat,
Bagaimana kehidupanmu sekarang? Khaulah agak sibuk menguruskan adik-adik. Mereka masih trauma. Kendatipun sudah 2 tahun peristiwa hitam itu berlalu, namun kenangan abi dan ummi masih menghantui diri mereka. Adik-adik Khaulah masih belum mampu menerima hakikat bahawa abi dan ummi sudah pergi menemui Illahi. Terkadang Khaulah menangis sendirian melihat mereka. Khaulah sebak mengenangkan nasib kami sekeluarga. Khaulah kasihan melihat adik-adik. Mereka masih kecil dan tidak mengerti apa-apa lagi. Allah benar-benar menguji diri kami sekeluarga.
Khaulah perlu menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam membesarkan adik-adik. Sejak belakangan ini, serangan Israel di Syria semakin menjadi-jadi. Semakin banyak pembunuhan berlaku. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Ketakutan menghantui adik-adik Khaulah. Siang dan malam air matalah yang menemani kami. Mariam, bagaimana Khaulah mahu membesarkan adik-adik dengan suasana ralat yang sebegini rupa?


Walau apa-apa pun, Khaulah tidak berasa gentar Mariam. Sejak dari kecil sehinggalah Khaulah tumbuh dan membesar menjadi seorang gadis, bumi Damsyik ini masih dijajah. Khaulah sudah lali dengan keadaan sebegini. Andai kematian datang menjemput Khaulah, Khaulah tidak gentar sahabatku sayang kerana inilah realiti kehidupan kami di sini. Khaulah redha dengan segala ketentuan-Nya.
Mariam,
Sahabatku dunia dan akhirat. Mungkin ini adalah warkah terakhirku buatmu. Kekangan waktu dan kesibukanku menyebabkan masa terluang amat terbatas. Khaulah lebih banyak meluangkan masa untuk adik-adik dan gerakan mujahidah di sini. Akhawat merupakan aset penting dalam perjuangan di sini. Khaulah juga turut bersedia menyerahkan khidmat diri untuk perjuangan gerakan mujahidah di sini dalam membantu gerakan mujahidin. Doakan diri kami syahid di medan perjuangan dengan redha Ilahi, Insyaallah.
Akhir kalam, Khaulah mengharapkan doamu senantiasa mengiringiku di sini dalam meneruskan perjuangan menegakkan kembali bumi Syria yang semakin lemah dinodai oleh rejim Zionis. Mariam, doakan bumi Syria! Khaulah sayang akan Mariam tetapi apakan daya, kita terpaksa berpisah demi kebaikan bersama. Namun begitu, titipkan sahaja doamu pada Allah, Insyaallah dimakbulkan oleh-Nya.
Salam rindu daripadaku,
~Khaulah Al-Azwar~
                                                          ********

Aku menapak selangkah demi selangkah di sebalik kedinginan bumi Kairo menuju ke Mahattoh. Subhanallah…sejuknya. Sudah berlapis-lapis baju sejuk ku pakai. Namun, kesejukan bumi Kairo ini masih terasa mencucuk-cucuk sekujur tubuhku. Kepalaku sudah mulai terasa berdeyut-denyut. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Pandanganku menjadi kabur. Bayangan Raudhah Sakinah sudah lenyap dari pandangan mataku.
Hanya deruman enjin kereta yang ku dengar dari arah belakang. Aku cuba untuk menyeimbangkan posisi tubuhku namun aku gagal. Deruman enjin kereta itu semakin jelas kedengaran. Aku terasa tubuhku seperti diasak sesuatu. Ya Allah! Aku meraung kesakitan. Akhirnya aku rebah menyembah bumi.
Mariam telah dikejarkan ke Mustashfah Saidina Hussein. Zinnirah mengiringinya dengan tangisan. Air matanya berjuraian. Kesedihan di hati tidak dapat dibendung lagi. Wajahnya kelihatan sugul. Mariam ditempatkan di wad ICU. Kondisinya amat kritikal. Dia mengalami pendarahan yang agak teruk di kepala.
     “Maafkan saya, saudari ini sahabat kepada Mariam?”
     “Ya doktor, saya Zinnirah. Sahabat baik Mariam. Bagaimana keadaannya sekarang, doktor? Baik-baik sahaja bukan?”
Doktor Muhammad sudah menunduk. Wajahnya tampak sedih. Seakan berat mahu memberitahu kondisi Mariam pada saat itu. Zinnirah menunggu dengan tenang jawapan daripada beliau.


     “Maafkan saya Zinnirah. Mariam mengalami pendarahan yang teruk di kepala. Dia kehilangan banyak darah dan sekarang dia sedang koma. Dia sedang bertarung dengan maut.”
Zinnirah terduduk. Terasa seakan ada sesuatu menghimpit jiwanya. Dia amat terkejut dengan berita itu. Kesedihan di jiwa tidak dapat dibendung. Air mata yang mengalir tidak mampu diseka lagi. Esak tangisnya jelas kedengaran memecah kesunyian ruangan ICU.
Zinnirah menapak pulang disebalik kedinginan bumi Mesir, membawa sekeping hati yang sedang lara. Perasaan sebak yang melanda tidak mampu ditenangkan lagi. Sesampai di rumah, dia terus menuju ke ruang tamu lalu menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Dia termenung sejenak memikirkan keadaan sahabatnya.
Ya Allah, betapa hebatnya ujian yang kau timpakan ke atas sahabatku ini. Mariam adalah seorang hambamu yang setia dalam bersahabat. Sekian lama dia berpisah dengan Khaulah, merindui belaian kasih sayang daripada seorang sahabat yang dirinduinya dan tika itulah kau uji dia dengan pelbagai macam musibah.
Alat kawalan jauh yang terletak di atas meja tidak jauh dari sofa itu dicapainya. Membuka siaran televisyen berita Jam 8 malam. Berita yang dipaparkan adalah mengenai peperangan di Damsyik, Syria. Peperangan yang sudah sekian lama tidak berkesudahan. Dia menumpukan sepenuh perhatian ke kaca televisyen. Matanya dibuka besar-besar. Telinganya dipasang rapi. Alangkah terkejutnya dia saat mendengar berita itu. Berita yang amat memilukan hatinya dan juga buat Mariam.          



‘Khaulah Al-Azwar, pelajar tahun 3 yang masih menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir dikhabarkan telah kembali ke rahmatullah sewaktu tentera Israel datang membedil bumi Damsyik.’ Hatinya tidak semena-mena menjadi sebak. Terasa ada sesuatu yang mengasak jiwanya. Seakan-akan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Dia menundukkan wajah lantas duduk memeluk sekujur tubuhnya. Matanya sudah berkaca. Ada air mata yang mengalir di pipi. Esak tangisnya sukar lagi untuk dihentikan. Di situ jugalah dia menangisi pemergian seorang sahabat yang amat dirinduinya.
                                                         ********
Seminggu berlalu begitu sahaja. Sepanjang itulah Zinnirah tabah menjaga Mariam dengan penuh kasih sayang. Setiap hari seusai tamat kuliah, Zinnirah pasti melawat Mariam dan saat itulah dia kerap kali menangis tika menatap wajah lesu Mariam. Seminggu Mariam terlantar di hospital, Zinnirahlah yang tetap setia menemani dan menjenguknya. Siang dan malam bersilih ganti, Zinnirah tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan diri Mariam serta menunaikan solat sunat hajat demi keselamatan dirinya.
     “Zinnirah, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai keadaan Mariam.” Doktor Muhammad memulakan bicara.
     “Ya doktor, apa dia?”
Riak wajah doktor Muhammad sudah mulai berubah. Wajahnya yang tenang itu tadi kembali menjadi runsing. Seakan ada sesuatu yang buruk yang ingin disampaikan olehnya mengenai kondisi Mariam. Seraut air muka kesedihannya itu jelas terpapar.
    

     “Sebelum itu saya mohon maaf sekiranya berita yang ingin saya sampaikan ini akan membuatkan Zinnirah sedih. Saya terpaksa memaklumkan hal ini kepada saudari. Setelah pihak kami menjalankan pemeriksaan ke atas Mariam, pihak hospital mendapati bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang agak serius dan paru-paru berair. Jangka masa untuk dia bertahan hidup adalah lebih kurang sebulan sahaja lagi.”
Zinnirah sudah kehilangan kata-kata. Hatinya memberontak seolah-olah mahu menjerit sepuas hati melepaskan segala kesulitan yang dihadapinya. Air mata yang deras mengalir tidak mampu diseka lagi. Doktor Muhammad cuba menenangkannya.
     “Harapnya Zinnirah dapat bersabar. Perbanyakkanlah istighfar dan memohon doa kepada Allah. Mudah-mudahan saudari Mariam akan cepat sembuh dengan izin-Nya dan dipermudahkan segala urusannya, Insyaallah.”
Zinnirah mengangguk tanda akur dengan nasihat dan kata-kata semangat daripada Doktor Muhammad lalu meminta izin untuk keluar terlebih dahulu. Dia menapak keluar menuju ke ruangan bilik Mariam. Jauh di sudut hatinya, terasa amat pilu mengenangkan nasib diri Mariam. Namun kesedihan di hati masih belum terubat lagi. Zinnirah duduk di sisinya. Menggenggam erat tangan Mariam.
     “Mariam, bangunlah sayang. Hampir seminggu Mariam tidak sedarkan diri. Mariam perlu kuat. Bangkitlah sahabatku. Zinnirah tidak sanggup lagi melihat keadaan Mariam sebegini rupa setiap hari.” 
Hatinya menjadi sebak. Dia menundukkan wajahnya. Ada air mata yang mengalir di pipi. Tiba-tiba genggaman tangan Mariam bergerak-gerak. Zinnirah lantas mengangkat wajahnya. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajah kegembiraannya jelas terlihat.
    
     “Mariam! Syukur Alhamdulillah Mariam sudah sedar.”
     “Zinnirah, Mariam di mana sekarang?”
     “Mariam di hospital sekarang. Hampir seminggu Mariam terlantar di sini. Mariam koma tidak sedarkan diri.”
     “Apa yang sudah terjadi pada Mariam?”
     “Mariam tidak ingat apa-apa?” soal Zinnirah.
Mariam hanya menggelengkan kepalanya.
     “Mariam kemalangan sewaktu pulang dari Raudhah Sakinah. Ada orang bawa Mariam ke sini.”
     “Doktor ada beritahu apa-apa maklumat tentang kesihatan Mariam?”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia berasa berat hati untuk memberitahu Mariam tentang penyakit kroniknya itu. Zinnirah tidak mahu melihat Mariam sedih lagi. Namun Zinnirah kuatkan juga semangatnya. Jika hal ini dirahsiakan, lama kelamaan akan ketahuan juga akhirnya. Mariam perlu tahu penyakit yang dihidapinya.  Zinnirah mula mengatur kata-kata. Matanya dipejam rapat. Tangan Mariam digenggam erat.
     “Mariam sayang, maafkan Zinnirah seandainya perkara yang ingin Zinnirah sampaikan ini akan menambahkan lagi kesedihan di hati Mariam. Zinnirah sebenarnya tidak sanggup untuk memberitahu Mariam tentang perihal ini akan tetapi Zinnirah terpaksa juga memaklumkannya.”
    

     “Apa dia Zinnirah? Tolong beritahu Mariam!” Mariam berkeras ingin tahu.
Air muka Zinnirah tampak pilu. Matanya berkaca-kaca. Terasa berat untuk memberitahu Mariam keadaannya yang sebenar. Namun digagahkan jua hatinya.
     “Mariam, doktor memaklumkan bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang serius dan paru-paru berair.”
Mariam terkedu. Dia terlalu kaget dengan berita itu. Dia amat tidak menyangka. Ternyata Allah benar-benar menguji dirinya. Lantas air matanya jatuh setitis demi setitis. Perasaan hiba yang melanda di jiwa tidak mampu ditenangkan lagi. Mariam redha atas segala ketentuan-Nya.
                                                         ********
Mariam keseorangan di biliknya. Dia menoleh ke luar jendela. Salji sedang lebat turun. Subhanallah..cantiknya! Kelihatan dua orang kanak-kanak perempuan sedang seronok bermain bersama. Bahagianya mereka. Alangkah indahnya jika Khaulah dapat bersama-sama berada di sisiku tatkala ini. Menemaniku kian hari dan menghabiskan sisa-sisa hidupku bersama-samanya. Ya Allah! Rindunya aku pada Khaulah.
Zinnirah mengetuk pintu. Tombol pintu dipulasnya. Dia menapak masuk.
     “Mariam, ini Zinnirah belikan bubur untuk Mariam. Mari makan. Zinnirah suapkan ya.”
Mariam mengangguk tanda akur. Zinnirah mengukir senyuman. Beberapa sudu bubur disuapkan ke mulut Mariam.
     

     “Zinnirah, sudah lama Mariam tidak dengar khabar berita tentang Khaulah. Bagaimana keadaannya sekarang? Mariam rindu sangat pada Khaulah.”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia tidak mampu meneruskan kata-kata. Dia menjadi runsing. Bagaimana dia mahu beritahu Mariam hal yang sebenar mengenai Khaulah sedangkan dirinya sedang bertarung dengan sakit? Tidak sanggup rasanya untuk Zinnirah memberitahu Mariam. Zinnirah termangu seketika.
     “Zinnirah??” Mariam menyapa.
Jauh di sudut hatinya tidak sanggup melihat Mariam sedih lagi. Namun dikuatkan juga semangatnya. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah mulai mengalir.
     “Erk…Mariam, sebenarnya…Khaulah telah syahid sewaktu serangan Israel di bumi Syria seminggu yang lalu. Zinnirah mendapat tahu daripada berita di kaca tv.”
Mariam amat terkejut dengan berita itu. Riak wajahnya berubah menjadi sebak. Dia menunduk. Terdiam seribu bahasa. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan di bibirnya. Air mata sudah jatuh berguguran. Kesedihan di hati masih belum terubat lagi namun telah datang berita yang begitu memilukan jiwanya. Peritnya hati ibarat dihiris dengan sembilu.
Mariam kehilangan seorang sahabat yang amat disayanginya. Ternyata Allah lebih menyayangimu wahai sahabatku. Sekian lama Allah mengujimu dengan pelbagai mehnah. Pemergian ummi dan abi yang sangat dicintai. Kesulitan hidup dalam membesarkan adik-adik. Namun engkau tetap tabah tatkala onak dan duri datang menerpa dirimu. Tidak sesekali kau gentar bersemuka malah menentang musuh-musuh Islam yang muncul di hadapanmu. Ternyata jiwamu amat kental sahabatku. Semoga Allah merahmati rohmu di alam sana.

Mariam terbatuk-batuk. Segumpal darah telah keluar dari mulutnya. Zinnirah naik cemas. Dia segera mencapai sehelai kain lalu mengesat mulut Mariam.
     “Zinnirah, Mariam nak solat.”
Zinnirah angguk tanda faham. Dia segera membantu Mariam mengambil wudhuk. Mariam menggunakan debu tanah untuk bertayammum. Dia hanya solat berbaring di atas katil. Zinnirah menjadi imam. Mariam mengikut setiap gerak gerinya. Dia mengangkat takbir lalu beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Seusai sahaja solat, Zinnirah bangkit meluru ke arah Mariam. Namun dia mendapati Mariam sudah pergi meninggalkan dunia buat selama lamanya. Air mata sudah mengalir. Lantas diambilnya sehelai selimut lalu menutupi sekujur tubuh Mariam. Suasana berubah menjadi hening. Zinnirah mengesat air matanya. Dia redha atas segala ketentuan yang telah ditakdirkan oleh-Nya.
Benarlah Ya Allah… Mariam dan Khaulah saling mencintai dan menyayangi. Engkau telah memakbulkan doa mereka berdua.
   “ Damailah kalian di alam sana. Semoga syahid mengiringimu wahai sahabatku…”



Sebarang terbitan karya@artikel sila emelkan ke pmium123@gmail.com
PMIUM | inspirasi bersama