Tuesday 30 September 2014

Alangkah ruginya kita

       Seorang graduan baru sahaja selesai ditemuduga.. Apabila diajukan soalan berkenaan dengan gaji yang beliau mahu, beliau diberikan 2 pilihan; RM27,000 dan RM1,000.. Apa yang mengejutkan para panel ialah jawapan beliau yang memilih gaji sebanyak RM1,000 dan menolak gaji sebanyak RM27,000.. Beliau pastinya dianggap sebagai seorang yang rugi dan tidak berfikir panjang kerana menolak jumlah gaji yang lebih mahal dengan memilih gaji yang lebih sedikit.. Begitulah penilaian manusia terhadap hal dunia.. Seringkali manusia memilih harta yang lebih banyak apabila diberi peluang dan hanya orang yang dungu akan memilih jumlah harta yang sedikit..

      Namun, hal yang sama tidak berlaku apabila dipaksikan kepada agama.. Sudah hampir 6 tahun saya bergelar mahasiswa dan seringkali saya perhatikan gelagat kawan-kawan yang tidak mengendahkan perihal solat berjamaah meskipun jarak ke surau hanya memakan masa 2-3minit.. Meskipun mendengar seruan azan, para mahasiswa masih lagi bersenang-senang dengan mengadap laptop untuk melayari internet, malahan ada yang meluangkan masa untuk bermain permainan samada DOTA, PES, CS dan lain-lain sehinggakan mereka solat di akhir-akhir waktu.. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah bersabda;

عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim.

       Hadis ini menerangkan fadhilat solat berjamaah di mana orang yang solat secara berjamaah akan mendapat 27 kali ganda berbanding mereka yang solat bersendirian yang hanya mendapat pahala sebanyak 1 kali ganda sahaja.. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda;

     “Solat seseorang yang dilakukan secara berjemaah melebihi solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda. Ini disebabkan apabila seseorang itu berwuduk dengan sempurna, lalu pergi ke masjid dan kepergiannya tidak bertujuan selain untuk mengejakan solat, maka setiap kakinya melangkah akan menaikkan satu darjat dan menggugurkan satu kesalahan dosa. Jika orang itu mengerjakan solat, maka para malaikat sentiasa memohonkan rahmat untuknya selama masih berada di tempat solat itu dan selagi belum berhadas. Doa para malaikat itu: ‘ Ya Allah! Limpahkanlah selawat ke atasnya. Ya Allah! Cucurilah rahmat ke atasnya’, dan orang itu tetap dianggap dalam keadaan mengerjakan solat selagi menunggu tibanya waktu solat.” (Kesahihan hadis ini disepakati oleh ulama hadis.. Ia ditulis menggunakan lafaz al-Bukhari..)
       Namun, berapa ramai yang merasakan diri mereka berada di dalam kerugian apabila tidak menunaikan solat secara berjamaah?? Sudah pasti jawapannya hanya sedikit yang merasakan kerugian tersebut meskipun ramai di antara kita yang telah mendengar dan mengetahui hadis tersebut.. Berbalik kepada analogi di atas, manusia akan menyesali perlakuan mereka tatkala memilih sesuatu yang sedikit apabila ada tawaran yang lebih baik (yakni jumlah yang lebih besar) namun kenapa penyesalan tersebut tidak berlaku apabila mereka memilih untuk solat secara bersendirian di bilik??

       Mungkin ada yang memberi alasan bahawa mereka tidak dapat solat berjamaah di awal waktu kerana ada kerja yang perlu diselesaikan segera.. Bahkan, saya secara peribadi jarang solat berjamaah di awal waktu kerana waktu kuliah yang tidak sama dengan waktu solat.. Namun, apa salahnya sekiranya kita tetap pergi ke surau untuk mencari sahabat-sahabat yang mahu solat berjamaah dan solat bersama-sama mereka.. Bagi saya, tidak ada alasan untuk kita mengabaikan solat berjamaah di surau meskipun terlewat sedikit dalam mengerjakannya kerana mempunyai urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.. Dalam hadis yang lain, pernah suatu ketika datang seorang lelaki buta kepada Rasulullah SAW yang meminta keringanan untuk solat di rumah.. Namun, tatkala lelaki itu hendak pergi, Rasulullah SAW memanggilnya dan bertanya, “Adakah engkau mendengar laungan azan?” Lelaki buta itu menjawab, “Ya.” Rasulullah SAW kemudiannya berkata, “Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah).”  Di dalam hadis ini, Rasulullah SAW tetap menyuruh seorang yang buta untuk solat secara berjamaah sekiranya beliau mendengar azan dan alangkah malunya apabila kita yang tidak buta malahan diberi kesihatan tubuh badan, memilih untuk solat secara bersendirian di bilik..
     Namun, apa yang saya perhatikan dalam kalangan mahasiswa sekarang ini lagi menghibakan.. Mereka hanya memandang enteng kepentingan untuk solat secara berjamaah dengan lebih mengutamakan kepentingan dunia.. Contohnya, mereka leka menonton movie atau anime, leka dengan bermain game secara online, leka dengan berbual-bual kosong dan hanya mengerjakan solat di akhir-akhir waktu.. Tidakkah golongan-golongan sebegini merasa RUGI apabila tidak solat secara berjamaah?? Sekiranya usai solat berjamaah, ada orang yang menunggu di muka pintu untuk memberikan wang sebanyak RM27 kepada mereka yang solat secara berjamaah, pastinya golongan-golongan yang lebih memilih untuk solat bersendirian di bilik akan mula merasakan diri mereka berada di dalam kelompok yang RUGI.. Sayangnya, perkara ini tidak akan berlaku, dan mungkin selama-lamanya mereka yang solat bersendirian di bilik tidak akan tersedar.. ALANGKAH RUGINYA KITA!!!

Rujukan:
1) Kitab Fathul Bari
2) Subul as-Salam: Jilid 1, Bab Solat berjamaah dan Imam solat, m/s 551
3) Fiqh As-Sunnah: Jilid 2, Bab Solat berjamaah, m/s 1
Oleh:
Tengku Abdul Hadi.

Sunday 28 September 2014

Universiti Malaya sebagai model mahasiswa Malaysia dalam keseimbangan kaum –Safwan




KL :        Universiti Malaya Kuala Lumpur sewajarnya menjadi model ideal kepada identiti Malaysia yang berbilang kaum.


           Safwan Shamsudin, aktivis PMIUM yang juga merupakan Presiden Pro Mahasiswa Universiti Malaya dalam pidato beliau semasa sesi ‘speaker corner’ menyatakan kewajaran Universiti Malaya sebagai perlambangan Malaysia kerana keseimbangan kaum .

           “Universiti Malaya sebagai universiti yang tertua di Malaysia dan mempunyai keseimbangan kaum seperti mana Malaysia seharusnya menjadi model kepada masyarakat dalam membina hubungan sesama kita”, Safwan Shamsudin.

            Beliau juga menyatakan dengan tegas bahawa mahasiswa yang cerdik dan mempunyai wawasan akan menolak diskriminasi antara agama dan kaum. 

           Menurut beliau juga, mahasiswa seharusnya memainkan peranan yang benar dalam membentuk penilaian sendiri ke arah yang lebih kritis dan kreatif.



Wednesday 24 September 2014

Isu perkauman perlukan perbincangan yang harmoni bukan bercorak menunding jari - Ahmad 'Aqiel

KL:     Speaker Corner sempena kempen "Blind To Races"telah berjalan lancar semalam.

              Saudara Ahmad 'Aqiel, Exco Intergrasi dan Perpaduan PMIUM menegaskan dalam pidato beliau mengenai isu-isu perkauman yang kerap dimainkan perlu diselesaikan dengan cara diplomasi dan aman demi menjaga hati semua kaum di Malaysia. 

          “Perdebatan isu perkauman yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak perlu dibincangkan secara perbincangan yang harmoni bukannya bercorak menunding jari”, Ahmad 'Aqiel. 

          Beliau juga menambah dalam bahawa faktor perpaduan antara kaum menjadi semakin lemah dan layu di negara ini kerana kurangnya persefahaman antara satu sama lain. 

           “Politik juga menjadi racun kepada isu perkauman ini. Mahasiswa sudah menjadi semakin muak dengan isu lapuk perkauman dengan doktonisasi kaum yang berlaku dalam arena politik pada hari ini”. 

           Mohd Aqil mengakhiri pidato beliau dengan menekankan aspek peranan mahasiswa dalam usaha mengadakan satu anjakan paradigma dalam masa yang akan datang serta bertindak matang dalam menangani masalah ini.


Pilihan raya Kampus: “Selamat Menunaikan tanggungjawab”.




KL :       Umum mengetahui hari ini adalah hari penentu pimpinan mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

             Pilihan raya kampus diadakan bertujuan untuk memilih figura mahasiswa yang berkredibiliti dan berkelayakan untuk memimpin mahasiswa.

             Khairol Najib Hashim, Presiden PMIUM dalam kenyataannya “Kami di peringkat PMIUM mengucapkan selamat menunaikan tanggungjawab anda sebagai mahasiswa”.

              “Pilihlah wakil mahasiswa yang boleh membawa suara dan kebajikan mahasiswa”, tambah beliau.
             


             
   
               

“Merdeka kita hanya fizikal, tapi mentaliti masih terjajah”- Nor Afiqah.



KL:    Is-isu perkauman semakin menjadi satu viral dan 'keseronokan' untuk diperkatakan seperti mana boleh dilihat dalam laman-laman sesawang dan sosial.

           Justeru itu, PMIUM telah mengambil langkah kerjasama dengan Persatuan Kristian Varsiti (PKVUM) untuk menviralkan kempen "Blind to Races" di seluruh kampus.

           Nor Afiqah Isa, Timbalan Exco Intergrasi dan Perpaduan PMIUM selaku salah seorang speaker dalam ‘speaker corner’ sempena kempen ini mengaitkan kemerdekaan dan perkauman di negara kita.

         Kemerdekaan di Malaysia yang sememangnya terkenal dengan identiti perpaduan kaum tetapi realitinya masih belum dikecapi dengan adanya sikap 'rasisme' antara satu sama lain.

       “Sikap rasisme antara satu sama lain ini jelas membuktikan bahawa kita hanya merdeka dari sudut fizikal tetapi masih terjajah dengan mentaliti dasar pecah dan perintah antara kaum yang diwujudkan oleh penjajah”, Nor Afiqah Isa.

        Tambah beliau lagi, ketidakmatangan dan kemunduran mentaliti jelas terlihat apabila adanya sikap rasisme ini.

         "Peranan mahasiswa dalam perkara sebegini ialah menyingkirkan sikap ini kerana kita adalah satu Malaysia", kata beliau ketika mengakhiri ucapannya.



Berita seterusnya bakal menyusul.

-PMIUM Inspirasi Bersama-

Monday 22 September 2014

Mencari Musuh : Peradaban Islam dan Politik Antarabangsa.

KL :        PMIUM akan bersama-sama dengan Masjid Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulama Malaysia dan Kolej Islam Antarabangsa dalam perlaksanaan satu kursus pada minggu hadapan.

           Kursus kefahaman "Islamophobia : Mencari Musuh : Peradaban Islam dan Politik Antarabangsa." ini telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

           Antara objektif awal penganjuran kursus ini adalah bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai penularan Islamophobia.

          Taklimat penganjuran program ini telah dihadiri oleh Saudara Mohamad Zarin, selaku Naib Presiden PMIUM sebagai wakil.

          "Kursus kefahaman Islamophobia adalah bertujuan untuk memahamkan orang ramai tentang bahayanya keganasan 'Islamophobia' sama ada secara peradaban mahupun hubungan antarabangsa", Mohamad Zarin, Naib Presiden PMIUM.

 

Sumber: Laman sosial Facebook Mohamad Zarin

Sunday 21 September 2014

“Kembalikan kredibiliti intergriti guru di Malaysia” – Presiden HEWI

 KL :         Kebocoran soalan peperiksaan UPSR baru-baru ini menjadi satu sejarah hitam dalam dunia pendidikan negara kita. 

         Penangguhan beberapa kertas peperiksaan memberikan tekanan yang hebat kepada banyak pihak terutamanya ibu bapa, murid-murid dan sekolah. 

          Dalam hal ini, kredibiliti dan intergriti pihak yang atasan yang terbabit telah dipersoalkan oleh segenap lapisan masyarakat. 

         Sobiroh Puzi, Presiden HEWI mengatakan bahawa kejadian yang pertama kali berlaku di negara kita sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti pegawai yang telah dilantik oleh Lembaga Peperiksaan. 

         Beliau juga menambah dalam kenyataannya “Kembalikan kredibiliti ahli-ahli yang terlibat dalam karier perguruan. Jangan kerana sikap mementingkan diri sendiri dalam keadaan ini, semua orang terpalit”.

          Semalam, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengesahkan bahawa dua lagi kertas peperiksaan mengalami perkara yang sama iaitu Bahasa Tamil dan Matematik selepas Bahasa Inggeris dan Sains pada minggu lepas. 



Pautan lain : http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140921/dn_37/UPSR-Kertas-Bahasa-Tamil-dan-Matematik-pula-bocor

Friday 19 September 2014

Mencari titik persamaan PMIUM dan Persatuan Kristian Varsiti

KL :     Satu pertemuan antara PMIUM dan PKVUM (Persatuan Kristian Varsiti) telah diadakan pada hari ini.

        Pertemuan antara dua entiti besar persatuan di Universiti Malaya ini adalah bagi mencari titik persamaan dalam mencapai identiti negara bangsa Malaysia dan seterusnya melahirkan ikon-ikon mahasiswa kepada Malaysia.

     Nor Afiqah Isa, Timbalan Exco Intergrasi dan  Kenegaraan PMIUM berpendapat bahawa perbincangan dua hala seperti ini mampu untuk mengeratkan hubungan intergrasi antara kaum dan agama.

      "Komunikasi dua hala dalam memberikan pandangan mampu untuk menimbulkan tolak ansur dan permuafakatan dalam membentuk identiti sebagai rakyat Malaysia", Nor Afiqah Isa.

        Dalam pada itu, Khairol Najib Hashim, Presiden PMIUM pula menyatakan keyakinan beliau terhadap permuafakatan sebegini adalah perlu untuk sentiasa mencari titik persamaaan walaupun berbeza latar belakang.

         Objektif untuk menjadikan Universiti Malaya sebagai "role model" atau tauladan kepada masyarakat luar tentang bangsa Malaysia telah disepakati dalam pertemuan ini.

          
Khairol Najib Hashim (Presiden PMIUM), A'qiel Abd Rahim ( Ketua Exco Integrasi & Kenegaraan ) dan Nor Afiqah Isa (Timb. Exco Integrasi & Kenegaraan )



Pimpinan PMIUM sesi 2014/15

h

Selamat Datang Mahasiswa dan Mahasiswi Baru


Ucapan Ambang Ramadhan Presiden PMIUM


Thursday 18 September 2014

TAMAR'14 : Flashmob Ramadhan


Mesej 'Mahasiswi Pencetus Kebangkitan Wanita' di seluruh kampus

KL :      HEWI PMIUM telah mengadakan satu konvoi PROMO di sekitar kampus.

      Konvoi ini yang disertai oleh beberapa sukarelawan mahasiswi PMIUM telah berjalan dengan lancar.

      Beberapa tempat tumpuan dan awam telah menjadi destinasi penting 'Team HEWI' bagi memberi mesej "Mahasiswi Pencetus Kebangkitan Wanita".

    Antara destinasi penting yang dituju oleh HEWI ialah "Food Junction", "Foodcourt Village", kolej-kolej kediaman dan sekitarnya.

      Sobiroh Puzi, Presiden HEWI PMIUM dalam kenyataannya, " Konvoi ini diadakan adalah untuk mendedahkan dan mengajak seluruh mahasiswi Universiti Malaya menyertai program-program menarik yang telah disediakan oleh HEWI khas untuk mahasiswi".

     Beliau menyambung lagi kenyataan beliau, "Program HACKS ialah antara program yang terdekat dan menarik untuk disertai".


Mahasiswi Pencetus Kebangkitan Wanita

KL:        Hal Ehwal Siswi PMIUM (HEWI) pada sesi kali ini membawa moto “Mahasiswi Pencetus Kebangkitan Wanita”. 

         Dalam pada itu, HEWI juga menekankan 3 aspek utama dalam pembawaan motto iaitu kesatuan, pembangunan diri mahasiswi dan kebajikan. 

        Rita Nur Suhaila, Timbalan Presiden HEWI, dalam ucap tamanya semasa sesi berucap di UM Sentral menyeru kepada semua mahasiswi melibatkan diri dalam pelbagai program menarik yang akan dianjurkan oleh HEWI. 

        Seruan ini bertujuan untuk menghasilkan mahasiswi yang proaktif serta mempunyai nilai tambah bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa akan datang. 

          “Sekarang adalah masanya untuk mahasiswi bangun mengorak langkah seiring dengan pesatnya pembangunan. Tenaga kita sangat diperlukan untuk mencorak masa depan negara”, Rita Nur Suhaila.

YDP Permasa : Suara Mahasiswa Sabah di Astro Awani.

KL :  Yang Di -Pertua PERMASA (Persatuan Mahasiswa Sabah) Universiti Malaya, saudara Syukri Saridih telah menjadi 'suara' mahasiswa Sabah.

        Beliau telah dijemput oleh pihak Astro Awani sebagai panel slot perbincangan sempena Hari Malaysia pada 17 September yang lalu.

         "Alhamdullilah, terima kasih kepada pihak produksi kerana memberikan saya peluang kepada saya untuk menjadi wakil mahasiswa Sabah pada hari ini", Syukri Saridih, YDP PERMASA.

         Antara intipati perbincangan yang dikemukan oleh saudara Syukri Saridih ialah harapan anak muda terhadap orang sekeliling dengan menunjukkan sikap dan teladan yang baik.

          "Hari Malaysia merupakan satu entiti masyarakat yang berbilang kaum dan bersatu-padu", Syukri Saridih.
 

         Beliau juga menyatakan penekanan peranan mahasiswa Sabah kepada Sabah, "Saya rasa setiap mahasiswa yang menamatkan pengajiannya di universiti perlu pulang ke Sabah agar menyumbang kepada masyarakat di sana".  

          Syukri Saridih juga merupakan salah seorang ahli aktif PMIUM.


       

Wednesday 17 September 2014

Program Tears Of Gaza berjalan lancar

KL:    Program Tears of Gaza pada fasa masa pertama berjalan lancar.

         Penerangan tetamu jemputan istimewa, Dr. Wesam Ahmad merupakan salah seorang mangsa kekejaman rejim zionis Israel.

         Objektif utama PMIUM mengadakan siri ceramah Usrah G.I.G.S ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kembali terhadap nasib yang sedang diterima oleh rakyat Gaza.

         "Alhamdullilah, sambutan daripada mahasiswa dan mahasiswi kampus Universiti Malaya dan luar sangat menggalakkan", Rita Nur Suhaila, timbalan Presiden HEWI PMIUM.

       Beliau juga menyeru kepada semua kelompok masyarakat supaya cakna akan isu-isu umat Islam dan kemanusiaan.

     


“Memberi inspirasi kepada manusia seperti rama-rama dan keluar dari kepompong 4K”- Amiruddin

 KL:        Seperti yang diketahui umum, Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) kali ini membawa sedikit kelainan kerana menjadikan serangga sebagai tema simbolik. 

       Memetik kata-kata pengarah FESKUM, Saudara Amiruddin Ali, “Rama-rama memberi inspirasi kepada manusia kerana asalnya dari ulat beluncas yang kurang digemari kepada rama-rama yang sangat cantik”. 

       ‘Inspiring people’ menjadi tema penting untuk pembawaan FESKUM sesi 2014/2015 seiring dengan matlamat FESKUM itu sendiri iaitu untuk memberi inspirasi kepada semua bagi mengecapi kejayaaan. 

         "Saya juga menyeru kepada seluruh mahasiswa kampus khususnya Universiti Malaya untuk keluar dari kepompong 4K iaitu kuliah,  katil, kolej dan kafe agar menjadi orang yang bersedia dengan cabaran-cabaran di alam luar kampus yang lebih mencabar", Amiruddin Ali, Pengarah Feskum.

       Saudara Amiruddin Ali yang merupakan salah seorang ahli aktif PMIUM mengakhiri ucapan beliau dengan mengajak semua warga Universiti Malaya untuk bersama-sama memberi sokongan dan dorongan kepada FESKUM dengan menyertai pelbagai program dianjurkan.



 -PMIUM inspirasi Bersama-

Sunday 14 September 2014

Ahli Aktif PMIUM dimasukkan ke dalam wad kerana jangkitan kuman

KL:      Ahli aktif PMIUM yang juga Bendahari PMAPIUM telah dimasukkan ke dalam wad kerana jangkitan kuman pada kakinya.

      Beliau telah dimasukkan ke dalam wad pada jam 5 pagi semalam dan telah menjalani pembedahan kecil pada sebelah petangnya.

      Beliau dilaporkan stabil pada ketika ini.



~PMIUM Inspirasi bersama~

Tuesday 9 September 2014

Selamat memulakan semester baru mahasiswa

Selamat memulakan semester baru buat Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Malaya dan seluruh kampus di Malaysia.

Semoga lebih bersemangat dalam menuntut ilmu dan mencari redhaNya.

"Barangsiapa yang Allah kehendaki padanya kebaikan maka Allah akan fahamkan dia dalam(masalah) dien(agama)" (HR Bukhari)



PMIUM menyatakan solidariti terhadap Prof Azmi Sharom

 KL :    PMIUM menegaskan  akan tetap bersama dengan Prof Madya Azmi Sharom  dalam memberi sokongan moral terhadap beliau.

     Prof Madya Dr Azmi Sharom pada minggu  lalu telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dibawah Akta Hasutan 1948 selepas memberi kenyataan beliau dalam artikel mengenai isu jawatan Menteri Besar Selangor mengikut perspektif perundangan.

  Presiden PMIUM, Khairol Najib Hashim berpendapat bahawa tuduhan yang dikenakan ke atas prof Azmi Sharom itu adalah penghalang besar kepada kebebasan ahli akademik dalam menyatakan pendapat mereka terhadap sesuatu isu.

   “Mengapa perlu menyekat kebebasan dalam berakademik? Ini jelas sekali menidakkan kredibiliti ahli akademik di negara kita dalam memberi pandangan”, katanya.

   Menurut beliau lagi, tindakan mensabitkan kesalahan ke atas prof Azmi Sharom itu adalah satu pembuktian ‘kezaliman’ yang dilakukan ke atas ahli akademik. 

    “Saya menyeru kepada semua mahasiswa agar ‘membuka mata’ akan perkara ini supaya perkembangan idea dan fikiran yang kritikal dalam kalangan keluaran universiti terhasil seperti mana kebebasan yang sering diuar-uarkan oleh universiti”, Khairol Najib Hashim

  Dalam pada itu, Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan PMUM akan mengadakan solidariti bagi menunjukkan bantahan terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas Prof Madya Dr. Azmi Sharom di Gazebo pada jam 1 hingga 2 petang.