Monday 1 September 2014

Kalam Presiden PMIUM :"Minggu Haluan Siswa Pelajar Baru Universiti Malaya".

     Salam kemerdekaan ke-57 buat seluruh rakyat Malaysia dan selamat datang wa marhaban minkum buat seluruh mahasiswa bagi kemasukan 2014/2015 ke dalam keluarga besar Universiti Malaya.

      Sebagai mahasiswa yang cintakan negara, kita perlu sedar bahawa kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT,itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

      Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepadaNya. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjukNya.

       Walaupun negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak setengah abad yang lalu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud dengan pemikiran serta jiwa yang dipenjarakan dan ia sudah berakar umbi di dalam masyarakat kita.Oleh kerana itu, saya menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

       PMIUM yang telah ditubuhkan hampir setengah abad telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam mendepani cabaran fikrah dan globalisasi mengikut setiap peredaran zaman dengan mengambil tindakan yang proaktif mengikut konteks semasa dengan prinsip yang malar iaitu berpanjikan perjuangan Islam.

      Tahun ini kita akan menyambut kemerdekaan dengan bersederhana dek mengingati tragedi yang menimpa negara kita yang telah mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa, dengan tragedi yang berlaku terhadap krew dan penumpang MH17 dan beberapa tragedi yang lain seperti kehilangan pesawat MH370 dan kematian pejuang-pejuang negara di Lahad Datu dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia tercinta.

      Saya juga menyokong 100% tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk menyesuaikan hari kemerdekaan ke-57 mengikut kesesuaian susulan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 dan MH370 termasuk membatalkan acara tradisi seperti Ambang Merdeka, acara hiburan dan pertunjukan bunga api.

      Oleh itu, saya menyeru agar pihak Universiti Malaya membuat tindakan susulan terhadap program Minggu Haluansiswa (MHS) pada sesi 2014/2015 dengan menyahut seruan kerajaan dalam membuat kesesuaian terhadap program semasa MHS dijalankan bagi kemasukan para pelajar baru bagi sesi 2014/2015.

       Saya juga menggesa agar MHS kali ini dapat mengurangkan aktiviti yang berlebihan dan tidak bermanfaat sehingga mengorbankan masa pelajar baharu. Tidak perlu untuk saya sebutkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut kerana dengan akal yang waras saya yakin setiap dari kita mampu membuat penilaian yang sebaiknya.

       Sahabat-sahabat sekalian.

       Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar baru yang berjaya memasuki Universiti tertua ini. Manfaatkanlah segala masa yang anda ada ketika bergelar sebagai mahasiswa dan libatkanlah diri bersama dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Universiti serta Persatuan agar dapat membuat diri kita menjadi insan yang berguna bukan hanya pada diri sendiri. Bahkan berguna pada masyarakat dan negara.

       Jadilah mahasiswa yang bukan sekadar menelaah buku dalam bilik kuliah semata-mata tetapi mampu hadir dalam hiruk-pikuk kehidupan masyarakat dan boleh menyumbang sesuatu kepada mereka.

       Umum mengetahui Universiti Malaya dianggap oleh masyarakat sebagai “Mini Malaysia”. Populasi kaumnya boleh disamakan menyerupai Negara Malaysia dengan sekitar 60% pelajarnya adalah melayu dan selebihnya bangsa lain. PMIUM anggap ini adalah peluang terbaik untuk kita sama-sama mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama agar mampu melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

      Disaat negara hari ini cubaan untuk mengapi-apikan isu perkauman yang cuba dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab Universiti Malaya sepatutnya mampu membuktikan perkara sebaliknya. Buktikan yang pelajar kita mampu mengekalkan keharmonian kaum dalam negara ini.

Ingatlah Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”

      Salam Kemerdekaan ke-57 dan Selamat Datang buat Mahasiswa baru sesi 2014/2015


“Disini Lahirnya Sebuah Cinta”




Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment