Wednesday 31 December 2014

Memaknakan Detik Terakhir 2014



Adakah anda sudah bersedia untuk menyambut tahun baru ini??

Cuba kita imbau kembali saat suka dan duka pengalaman diri sendiri. Jangan lupa untuk kita sama-sama bermuhasabah dengan apa yang telah berlaku pada negara kita sepanjang 2014.Tanpa menafikan 2014 banyak meninggalkan memori pahit seperti siri-siri bencana alam yang menimpa rakyat tidak mengira siapa, kesempitan kewangan yang melanda rakyat Malaysia, dengan musibah yang melanda kapal aset negara, cukuplah menjadi pengajaran kepada kita semua supaya bersatu hati dalam menjaga keharmonian, keamanan dan keadilan Negara.

Namun segala musibah ini tidak menjadikan kita semakin lemah, malah segala musibah yang berlaku perlu menjadikan kita lebih tekun dan bersemangat dalam menempuh hidup yang lebih mencabar di kemudian hari.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah Ar-Rad:11)

Kita boleh mengambil iktibar daripada ayat ini, bahawa kita sebagai hambaNYA perlu berusaha memastikan kelangsungan hidup kita yang lebih baik. Semoga tahun 2015 ini adalah tahun yang paling bermakna dan sentiasa bersedia menempuhi segala cabaran yang mendatang.

Bagi Mahasiswa UM yang akan menempuhi peperiksaan akhir semester, pastinya sudah tersemat azam baru di tahun yang baru ini untuk lulus dengan cemerlang & mengecapi kejayaan.

Ayuh mulakan langkahmu dengan persediaan yang mantap untuk merealisasikan azam tersebut. Doa daripada seluruh barisan kepimpinan PMIUM akan mengiringi langkah kalian ke medan peperiksaan. Semoga Berjaya !

" Kejayaan seribu tahun akan datang bermula daripada Inspirasi & langkah yang pertama "
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2014/2015

PMIUM | Inspirasi Bersama

Tuesday 30 December 2014

GAMIS KERAHKAN 10,000 MAHASISWA TURUN KE PANTAI TIMUR DAN PERAK



1. GAMIS yang membawa arus denyut nadi rakyat, mengambil perkara ini sebagai satu tanggungjawab bersama Mahasiswa/i seluruh negara, GAMIS mengambil cakna akan keperitan mangsa banjir yang diuji dengan dasyatnya. Sayu hati, melihat rumah yang diduduki puluhan tahun akhirnya musnah dibawa arus deras air banjir. Sejajar dengan ajaran Islam yang amat menggalakkan umatnya untuk membantu sesama saudara, malahan lagi mereka yang ditimpa ujian serta musibah.
2. GAMIS menyarankan dan menyeru semua parti politik, NGO dan persatuan penduduk berkerjasama tanpa mengira perbezaan ideologi dan fahaman politik untuk sama-sama membaik pulih keadaan kawasan banjir. Mempolitikkan isu banjir adalah satu tanda kecetekan minda pemimpin negara dan masyarakat.
3. GAMIS juga menyelar mana-mana individu atau organisasi yang mengambil kesempatan di sebalik kesusahan rakyat untuk mengaut keuntungan dan poket masing-masing dan disifatkan sebagai ketidak perikemanusiaan.
4. Justeru itu, GAMIS bersama persatuan-persatuan mahasiswa bekerjasama untuk menjayakan 'Misi Banjir Mahasiswa' dan akan mengerahkan 10000 mahasiswa turun ke Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
5. Disamping itu, GAMIS akan mengerahkan Persatuan Mahasiswa Islam di seluruh kampus untuk menubuhkan 'Task Force' sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk turun membantu bagi menjalankan Ops Bersih dan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
6. GAMIS telah melantik saudara Khairol Najib Hashim sebagai Pengarah Operasi Misi Banjir Mahasiswa. Bilik Operasi berpusat di Universiti Malaya yang diketuai oleh saudara Aqiel dan boleh menghubungi beliau melalui talian hotline 013-3020329.
7. Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun berkenaan:
Bersatu Perak(Maybank): 564258329207
8. GAMIS berharap agar seluruh Mahasiswa dapat menyahut seruan ini dan sekaligus memberi keringanan beban terhadap mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
Abdul Malik Abdul Razak
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) 

Sunday 28 December 2014

KENYATAAN MEDIA MISI BANJIR MAHASISWA


KENYATAAN MEDIA MISI BANJIR MAHASISWA
ISNIN, 29 DISEMBER 2014
Bencana Banjir, Mahasiswa Turun ke Lapangan
Bencana banjir yang menimpa beberapa buah negeri di Malaysia terutama di Pantai Timur merupakan antara sejarah terbesar kejadian bencana di negara ini. Sehingga hari ini, angka yang dicatatkan bagi jumlah mangsa banjir melibatkan lebih 100,000 mangsa. Ketika bantuan dari seluruh negara giat disalurkan, mahasiswa juga tidak terkecuali dalam mengambil peranan sebagai aktivis kemanusiaan dalam misi membantu masyarakat yang terlibat dalam musibah tersebut. Setakat ini sahaja, beberapa pasukan telah dihantar ke beberapa lokasi banjir di Perak dan Kelantan, seperti yang telah diusahakan oleh pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Mahasiswa juga tidak ketinggalan dalam membantu pihak-pihak tertentu menyediakan barang-barang bantuan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Walaubagaimanapun, tenaga yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir masih tidak mencukupi. Sememangnya ramai di kalangan mahasiswa yang benar-benar ingin menawarkan diri menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir, namun disebabkan fasa sekarang ini merupakan minggu peperiksaan akhir semester, kebanyakan mahasiswa menghadapi kekangan untuk ke lokasi banjir.
Atas dasar tanggungjawab serta kesedaran yang tinggi terhadap nilai kemanusiaan, perjuangan mahasiswa membantu masyarakat tidak akan terhenti begitu sahaja. Musim peperiksaan bukanlah alasan untuk mahasiswa berhenti dari berbakti. Permohonan menduduki peperiksaan khas akan cuba didapatkan bagi sukarelawan yang terpaksa ke lokasi banjir atas keperluan mendesak mangsa-mangsa yang sedang bertarung nyawa menagih bantuan di sana.
Justeru, pada hari ini, akan dilancarkan Misi Banjir Mahasiswa (MBM) yang ditubuhkan sendiri oleh mahasiswa dan akan dikelola 100% oleh mahasiswa. Misi ini telah disambut baik oleh GAMIS, PMIUM, KOMNAS, BERSATU PERAK serta MAJLIS PERMUAFAKATAN MAHASISWA SELANGOR (MPMS) dan kami akan bekerjasama untuk menjayakan misi ini. Gerakan Misi Banjir Mahasiswa ini bakal menghimpunkan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa seluruh Malaysia, dan pergerakannya berpusat di UM yang akan diketuai oleh Khairol Najib Hashim sebagai Pengarah Operasi. Menerusi medium ini, para sukarelawan mahasiswa akan dihantar ke pusat-pusat operasi banjir, pusat pengumpulan barang bantuan, pusat pemindahan mangsa banjir dan juga ke lokasi banjir di setiap negeri yang terlibat dalam bencana banjir ini.
Situasi mangsa-mangsa banjir yang tidak terurus bakal mendapat perhatian daripada pasukan sukarelawan mahasiswa yang akan sedaya upaya mengusahakan bantuan dari sudut kewangan dan keperluan asas, serta sokongan moral dan pembinaan aspek kerohanian dalam fasa mereka menghadapi musibah ini. Tindakan penubuhan Misi Banjir Mahasiswa ini juga sememangnya menyambut baik seruan Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II Malaysia yang menyatakan bahawa semua universiti awam dan swasta di negara ini digesa menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir.
Mahasiswa Desak Kerajaan Malaysia Isytihar Darurat
Berikutan kondisi negeri-negeri yang mengalami bencana banjir di tahap yang kritikal terutamanya negeri Kelantan, mahasiswa dengan ini mendesak Kerajaan Persekutuan agar mengisytiharkan darurat ke atas negeri-negeri berkenaan. Umum mengetahui bahawa keadaan di Kelantan adalah parah sehingga mencatatkan jumlah kematian yang kian meningkat di beberapa buah lokasi. Rakyat negeri Kelantan juga mewakili peratusan terbesar daripada jumlah mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.
Merujuk kepada Perkara 25 Arahan no.20, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara oleh Majlis Keselamatan Negara, Kerajaan Malaysia sepatutnya telah mengisytiharkan darurat di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir ini. Keengganan pihak Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat seakan-akan bertentangan dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
Mengulas berkaitan respon Perdana Menteri yang enggan mengisytiharkan darurat seperti yang dituntut oleh rakyat dengan alasan untuk membolehkan rakyat mendapatkan insurans, mahasiswa sebagai rakyat sama sekali tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Adalah tidak relevan tuntutan darurat dinafikan dengan jawapan semudah itu. Di mana rasionalnya kerajaan sekiranya menganggap semua rakyat mempunyai insuran yang terjamin? Bagaimana halnya dengan rakyat miskin di pedalaman yang tidak pernah mempunyai sebarang jaminan insuran?
Sekiranya pengisytiharan darurat bencana dibuat, maka keseluruhan aset Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi aspek pengurusan bencana. Oleh itu, mahasiswa yakin bahawa pengisytiharan darurat bakal menatijahkan usaha-usaha bantuan dan menyelamat yang lebih efisien di mana setiap agensi kerajaan akan mengeluarkan arahan dengan lebih mudah tanpa keterikatan dengan birokrasi yang membebankan, sekali gus memakan masa. Kerahan bagi usaha menyelamat oleh pihak polis dan tentera juga akan lebih menyeluruh.
Kami mahasiswa juga berharap agar bantuan dari semua pihak terutama pihak Kerajaan Persekutuan tetap diteruskan walaupun setelah fasa pasca-bencana banjir bagi proses baikpulih dan pembinaan semula.
Di kesempatan ini, saya, Khairol Najib Bin Hashim membuka seluas-luasnya ruang kepada mahasiswa dari seluruh kampus di Malaysia untuk turut menawarkan diri sebagai sukarelawan mahasiswa dengan menyertai Misi Banjir Mahasiswa ini.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Hotline MBM di talian 0133020329.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,
Khairol Najib Hashim
Pengarah Operasi
Misi Banjir Mahasiswa
Disokong oleh :
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Kelab Komuniti Anak Negeri Sembilan (KOMNAS))
Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU)
Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS)

Friday 26 December 2014

Misi14 Bantuan Mangsa Banjir PMIUM (Siri ke-2)



Alhamdulillah Misi14 Bantuan Mangsa Banjir PMIUM siri pertama @Perak yang diketuai oleh saudara Khairol Najib Hashim ( Presiden PMIUM ) manakala @Kelantan yang diketuai oleh saudara Shareefuddin Jamaluddin ( Exco Dakwah dan Kebajikan ) telah pun selesai semalam. 




Doakan Misi'14 Bantuan Mangsa Banjir PMIUM siri kedua yang akan diketuai oleh saudara Anuar Azizi selaku Aktivis PMIUM dan Mantan YDP Persatuan Mahasiswa Pahang (PMP) sesi 2013/2014 yang akan bertolak ke PERAK pada petang ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan. 

PMIUM | Inspirasi Bersama

MISI14 BANTUAN MANGSA BANJIR PMIUM 14/15 @PERAK @KELANTAN

Misi14@Perak diketuai oleh Khairol Najib Hashim, Presiden PMIUM manakala Misi14@Kelantan diketuai oleh Shareefuddin Jamaluddin,Exco Dakwah dan Kebajikan.
1 team 8 orang ke Kuala Kangsar dan 1 team 6 orang ke Kelantan.
Doakan perjalanan mereka selamat pergi destinasi dan selamat pulang ke Universiti Malaya


Team Pmium@Perak sedang membersihkan kawasan balai polis Lintang, Sg Siput.

Team Pmium@Perak menghantar bekalan makanan di Kampung Biak, Pasir Salak.
Meredah air di paras peha. Moga dipermudahkan.

Team Pmium@Perak menyediakan makanan di Kg Gajah usai solat jumaat.


Team  misi14 @Perak bergambar sebelum bertolak ke KL. Doakan mereka selamat semuanya.


Team misi Pmium@Kelantan mengagihkan barang kepada orang yang memerlukan di pusat pengagihan barang Wakaf Bharu, Tumpat Kelantan.

Usai solat jumaat, team Pmium@Kelantan membantu memunggah barang-barang untuk dibawa ke kawasan lain di sekitar Kelantan.

Team misi14 di Panchor, Kelantan bersama timbalan besar Kelantan. Dato Seri Nik Amar. Kemudian meneruskan misi seterusnya ke Tumpat, Kelantan. 


Alhamdulilah team Misi14@Kelantan yang diketuai oleh saudara Shareefuddin Jamaluddin (exco dakwah dan kebajikan) dan dianggotai oleh Wafiuddin Rosli ( exco akademik dan intelektual), Yusri Ismail ( setiausaha kerja), Muzheeruddin, Syafriz dan Rifhan Mujaddid sudah selesai.

SOLAT HAJAT SEMPENA BANJIR


Alhamdulillah telah selesai diadakan solat sunat hajat sempena banjir yang melanda bumi pantai timur di surau Akademi Pengajian Islam (API). Pihak kami menyeru kepada semua agar terus mendoakan keselamatan dan melakukan solat hajat buat mangsa-mangsa banjir. Semoga Allah memberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran kepada mereka dan mudah-mudahan mereka diberikan ganjaran yang lebih baik di sebalik ujian Allah ini.

Tuesday 23 December 2014

HUKUM UCAP SELAMAT TERHADAP PERAYAAN AGAMA LAIN


Malaysia merupakan negara yang unik kerana mempunyai berbilang agama serta bangsa. Populasi rakyat yang beragama Islam adalah yang paling dominan dan diikuti dengan agama Kristian, Budha dan Hindu. Namun, rakyat Malaysia boleh hidup harmoni dengan meraikan amalan-amalan yang digariskan oleh agama masing-masing. Hari perayaan merupakan hari yang menjadi satu tanda aras bahawa rakyat Malaysia mampu untuk saling menghormati antara satu sama lain kerana sejarah membuktikan Malaysia sehingga sekarang tidak berlaku lagi pergaduhan antara agama dalam meraikan Hari Raya masing-masing.
Justeru itu, perkara yang menjadi perbincangan orang Islam terhadap perkara ini adalah hukum samada boleh ataupun tidak bagi mengucapkan selamat hari raya terhadap agama lain. Hari ini kita hidup dengan masyarakat yang pelbagai agama, maka Islam sangat menitik beratkan soal keharmonian sesama manusia dalam memberi ucapan. Firman Allah swt : “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Pandangan yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Namun, ada juga pandangan ulama yang mengharamkan ucapan tersebut seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Pandangan beliau ini berteraskan kepada perlakuan yang cenderung dengan amalan orang kafir serta seolah-olah meredhai agama lain. Hal ini berasaskan daripada firman Allah swt : "Sesungguhnya agama yang diterima disisi Allah ialah agama Islam" ( Surah Ali Imran, 19).
Akhir kalam, mahasiswa perlu mempunyai prinsip tetapi tidak jumud, terbuka tetapi tidak hanyut. PMIUM meraikan semua pendapat yang menjadi khilaf antara ulama. Kita boleh bersetuju dengan mana-mana pendapat kerana setiap daripada mereka mempunyai hujah serta dalil yang kukuh. Selagi akidah kita terjaga, maka tiada larangan untuk berbuat apa sahaja demi menjaga kerhormatan dan keharmonian antara satu dengan yang lain.

Muhamad Shareefuddin
Exco Dakwah Dan Kebajikan
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM

PMIUM | Inspirasi Bersama

Bencana Banjir : Kerahan semua pihak membantu mangsa banjir




Bencana banjir yang melanda Pantai Timur kini semakin parah . Beberapa kawasan dijangka akan tenggelam rentetan dari hujan yang tidak berhenti.Justeru, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) menggesa kerahan semua pihak di setiap peringkat untuk membantu mangsa banjir. Agamawan, ahli profesional, ahli politik dan Mahasiswa diminta untuk bersatu membantu mangsa banjir. 


Bagi ahli Politik terutama Pakatan Rakyat perlu hentikan segera pergelutan dalaman mereka dan fokus bantu mangsa banjir. Pemimpin mereka sepatutnya memikirkan bagaimana ingin memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Keutamaan sekarang adalah memastikan mangsa banjir mendapat perlindungan dan makanan secukupnya.

Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Pas sepatutnya memikirkan masalah perparitan yang menjadi antara punca masalah banjir ini. Jika Kerajaan Kelantan bersungguh untuk melaksanakan Undang-undang Hudud maka mereka juga sepatutnya perlu bersungguh memastikan masalah banjir ini dapat diselesaikan. Buktikan Negeri tersebut benar-benar membawa imej islam yang secara menyeluruh .PMIUM gesa agar Kerajaan Negeri Kelantan tubuhkan satu jawatankuasa mengkaji masalah perparitan ini.

Sehubungan dengan itu, PMIUM turut menggesa agar Kerajaan pusat juga perlu segera gerakkan jentera pasukan penyelamat pusat untuk membantu mangsa banjir . Hentikan segala kenyataan politik murahan yang langsung tiada faedah dan menumpukan perhatian kepada masalah banjir .

Ketepikan soal perbezaan politik dengan kerajaan negeri dan laksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan pusat yang berkhidmat untuk seluruh Malaysia.

Kepada PR dan BN, sesungguhnya rakyat kini tengah menderita dan ditimpa kesusahan. Ujian dari tuhan sepatutnya ditempuh bersama-sama dan bukannya sekadar berjanji semasa Pilihan Raya. Bekhidmatlah untuk Rakyat dan bukannya menyusahkan rakyat.

PMIUM juga meminta agar semua pihak tidak kira latar belakang berganding bahu membantu dengan segala kemampuan yang ada. Mangsa-mangsa banjir itu juga adalah saudara-saudara kita yang bernaung di bawah satu negara yang kita cinta, Malaysia. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita bersama. 

Sabda Rasulullah :Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka(At-Tabari)


Mohamad Luqman Nul Haqim bin Zul Razali
Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa 
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM

PMIUM | Inspirasi Bersama

Kepelbagaian Ideologi dan Agama


Oleh: Kamal Sandera



Pada pandangan mata aku kewujudan pelbagai agama merupakan satu rahmat Allah buat semua manusia. Aku terfikir Allah boleh sahaja menjadikan semua orang di dunia ini beragama Islam, tapi pasti ada sebab mengapa Allah tidak berbuat demikian. Kerana pada aku Allah ingin mengajar dan mahukan manusia yang merupakan ciptaan-Nya hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh benci kepada seseorang hanya kerana atas nama agama. Tidak boleh benci Yahudi kerana dia seorang Yahudi. Yang perlu dibenci adalah fahaman Zionisme. Jangan jadikan agama sebagai alasan untuk bermusuhan sesama manusia.

Melihat kepada situasi di Malaysia pada hari ini, sentimen agama semakin berleluasa. Aku dapat melihat semakin wujudnya kebencian terhadap penganut beragama Kristian sebagai contoh. Kita risau sekiranya kalimah ‘Allah’ digunakan dalam Bible, kitab milik orang Kristian, akan berlakunya gejala murtad. Orang Islam akan terkeliru. Ini satu andaian yang kurang berasas. Kalau individu itu murtad sekalipun, jangan marah pada institusi agama yang dia pilih, tapi tanyalah pada dirinya mengapa dia memilih untuk murtad. Jangan kerana kalimah ‘Allah’ kita menyemai sikap benci-membenci dalam kalangan sesama kita. Yang penting kita mengamalkan ajaran Allah, bukan mempertahankan nama-Nya. Andainya Ultraman punya Tuhan dan mengaku Tuhannya juga bernama Allah, apa  yang kita akan lakukan?

Ideologi

Aku juga turut melihat betapa di Malaysia, rakyatnya begitu sensitif dengan perkataan liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan seanggkatannya. Asal berbeza pendapat dengan pegangan yang kita anuti akan dicap dengan perkataan-perktaan ini. Melihat kepada kenyataan Marina Mahathir baru-baru ini berkaitan isu hudud, apabila beliau menyatakan hudud mampu memecahbelahkan masyarakat, ramai dalam kalangan golongan pemimpin-pemimpin NGO yang bersifat Melayu-Islamik menyelar beliau. Golongan ini menyifatkan Marina Mahatihir sebagai jahil dan liberal dalam agama. Kewujudan orang seperti Marina Mahathir dikatakan mampu menggugat akidah orang Islam.

Jawapan aku mudah. Bukan Marina Mahathir merasakan prinsip-prinsip yang termaktub dalam hudud mampu memecahbelahkan umat Islam, tapi beliau khuatir terhadap cara pelaksanaan hudud yang ingin di bawa oleh PAS kerana aku juga terfikir akan perkara ini. Sebagai contoh hudud yang dilaksanakan di Brunei menyatakan bahawa Sultan tidak boleh dikenakan tindakan hudud atas alasan Sultan tidak pandai berbuat salah.(kalau aku salah sila betulkan). Persoalannya, apakah hudud yang ingin di bawa oleh PAS? Aku masih menantikan jawapannya.

Berbalik kepada isu ini, sifat keraguan yang terdapat dalam diri golongan seperti Marina Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Keraguan akan sentiasa wujud dalam diri manusia seperti kata Francis Bacon dalam karyanya The Advancement of Learning yang menyatakan terdapat dua jenis keraguan iaitu keraguan untuk melindungi daripada kebatilan dan yang kedua untuk memanjangkan inkuiri akal manusia agar dapat berfikir dengan baik. Maka janganlah kita mudah menuduh beliau sebagai liberal. Aku khuatir peristiwa yang menimpa Farag Fouda yang dibunuh oleh puak pelampau Islam akan berlaku di Malaysia.

Berkenaan dengan ideologi, suka untuk aku kongsikan pandangan aku bahawa ideologi yang seperti aku nyatakan di atas kadang kala mampu membawa perkara yang positif. Sebagai contoh, kelahiran idea sekular telah membebaskan Eropah dari kongkongan geraja. Pembebasan ini telah memberi ruang kepada masyarakat Eropah untuk memilih mazhab agama mereka. Secara tidak langsung Islam dapat memasuki benua Eropah secara perlahan-lahan. Mungkin tanpa idea sekular, Eropah masih lagi dibelenggu oleh institusi gereja. Begitu juga dengan idea liberal yang memberi kita peluang untuk berkawan dengan orang yang bukan bergama Islam. Memahami agama mereka. Kita juga harus menggunakan peluang ini untuk membantu mereka yang bukan Islam bagi memahami keindahan agama Islam. Jangan sekadar mengajak mereka datang ke masjid untuk melihat keindahan seni bina masjid, tetapi sebaliknya menceritakan dan menunjukkan kepada mereka tentang keindahan solat berjemaah di dalam masjid itu sendiri.

Apa yang ingin aku nyatakan adalah, buanglah sikap ekstrimis dalam diri. Belajar menghormati pandangan dan kepercayaan orang lain. Adalah sesuatu yang melampau dengan menuduh perayaan sesuatu agama adalah bertujuan untuk menyebarkan agama meraka. Setiap manusia punya pandangan tesendiri. Jangan kita mudah tersinggung dengan pendapat orang lain kerana sikap ini akan sentiasa menyebabkan kita terus berada dalam keadaan jumud seperti mana yang dinyatakan oleh Salman Rushdie dalam The Satanic Verse.

Ulasan kebangkitan mahasisiwa.

Aku merupakan mahasiswa tahun pertama di Universiti Malaya. Ini adalah pandangan peribadi aku berkenaan Occupy UM. Aku tidak kisah dengan tindakan mereka beroccupy. Kerana aku percaya meraka cuba menegakkan keadilan yang mereka idamkan. Cuma aku tidak bersetuju dengan tindakan membakar gambar TNC.

Aku juga ingin mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan tidak ada ayat al-quran yang menyuruh kita berdemonstrasi. Mungkin Tun ada makna yang tersirat yang tidak kita ketahui. Namun harus kita hormati pandangan beliau. Tapi kenyataan ini menimbulkan satu tanda tanya: Bagaimana pula dengan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel selama hari ini? Barang kali Tun mempunyai 
premis yang bereza dalam isu ini.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi pelajar tahun pertama Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Sebarang kesalahan dan kecacatan atau tersilap fakta harap dapat beri teguran sebagai penambahbaikan. Sesungguhnya kesempurnaan hanyalah milik Allah yang hakiki.


Sunday 21 December 2014

Siswa desak M'sia bantah Interpol buru Al-Qaradawi

Persatuan Mahasiswa Islam Univerisiti Malaya (PMIUM) hari ini mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap memburu Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa Anis Syafiqah Binti Md Yusof berkata kerajaan tidak wajar berdiam diri terhadap "kezaliman dan penganiayaan" terhadap tokoh Islam itu, kerana dikaitkan penglibatannya dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin.

Apatah lagi, kata Anis, tindakan itu melibatkan sosok yang menjadi rujukan masyarakat dunia kerana ketinggian ilmunya.

"Apakah wajar kerajaan Malaysia berdiam diri atas kezaliman yang menimpa ulama besar ini sedangkan beliau pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai tokoh Maal Hijrah satu ketika dahulu?

"Oleh itu, PMIUM tetap dengan pendirian membantah tindakan Interpol ini sekali gus mendesak serta menuntut kerajaan Malaysia agar mengeluarkan kenyataan yang jelas bagi membantah tindakan Interpol terhadap Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi," katanya.

Dilaporkan Interpol mengeluarkan waran tangkap itu selepas Dr Yusuf, 88, dikaitkan dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin. Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.

Dalam kenyataan medianya, Anis turut mendesak Malaysia bersatu dengan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi mengecam tindakan zalim Interpol itu sekaligus mendepani isu itu demi masa depan institusi keilmuan Islam.

"Sekiranya Malaysia mampu membawa suara solidariti dalam isu negara Islam yang tertindas seperti Palestin, mengapa tidak dalam hal ini," katanya.

Selain siswa, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar antara yang menyuarakan bantahan terhadap tindakan itu dan mendesak Malaysia bertegas dalam isu ini.

Sumber: http://m.malaysiakini.com/news/284187.html

Firaun moden perkuda interpol tahan Pengerusi persatuan ulama' dunia



Bumi perjuangan Islam tidak pernah sunyi dengan dentuman fitnah dan kebencian musuhnya . Notis penangkapan tokoh modernisasi islam Dr Yusuf Qardawi ini, melambangkan betapa risaunya seteru islam akan kelantangan hujah dan ketajaman mata pena seorang ulamak berjiwa haraki.

Meneliti sirah perjuangan, menunjukkan pejuang islam tidak disediakan bantal empuk dalam episod perjuangan. Pasti dan mesti akan dihujani ancaman fitnah, juga halangan demi halangan demi menghalang mentari kebenaran sampai pada jiwa masyarakat. Begitulah sikap firaun moden senantiasa menggegarkan otak mereka mencari helah menangkap pembawa panji agama.

Lihatlah tokoh Mujaddid Islam imam Hassan Al banna, diberi tekanan dan tohmahan akhirnya beliau ditembak pada 12 Februari 1949. Malah beribu ribu pengikutnya dihumban ke dalam jeriji penjara . Tidak dilupakan juga Ustaz Abu Bakar Al Baqir pengasas hizbul Muslimin di Malaysia, gerakan Islam yang difitnah dan dikatakan bahaya daripada gunung oleh penjajah. Akhirnya Ustaz Abu Bakar Al baqir dipenjara selamat 4 tahun 3 bulan. Begitu juga kisah pejuang Islam yang lain, sentiasa berhadapan dengan mehnah dunia yang penuh dengan kezaliman.

Maka saya menyeru kepada semua muslimeen yang masih punya kerdipan Iman. Pertahankanlah mutiara Islam alaf ini, dr yusuf qardawi seorang ulamak yang sentiasa memberi nafas segar kepada kefahaman agama. Fatwanya selalu diambil sebagai rujukan semasa. Jangan biarkan mutiara ini dicalar oleh tangan- tangan pembenci.

Tanpa ragu lagi semua pertubuhan Islam perlulah mengecam sekeras - kerasnya tindakan interpol ini. Kerajaan Malaysia juga perlu memberikan kenyataan yang jelas mempertahankan Dr Yusuf Al Qardawi yang pernah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia sendiri, sebagai tokoh maal hijrah peringkat antarabangsa pada tahun 2009.


Ulamak itu pewaris nabi. Doakan semoga mereka sentiasa dilindungi.

Ahmad Rifhan Mujaddid
Tahun 2, Fakulti Sains
Aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ( PMIUM )

PMIUM | Inspirasi Bersama

Selamat mengulangkaji pelajaran dan selamat menghadapi peperiksaan



Masa yang ditunggu-tunggu kian tiba. Segala pelajaran yang dikutip di dalam bilik-bilik kuliah kini sudah hampir untuk diluahkan di dalam kertas-kertas jawapan. Seminggu masa yang diberikan untuk Mahasiswa dan Mahasiswi menghangatkan kembali ilmu yang dengan mengulangkaji balik pelajaran pelajaran perlu dimanfaatkan sebaiknya. Seminggu yang diberikan sebenarnya sangatlah tidak cukup berbanding beberapa bulan yang diambil masa untuk belajar, namun itu tidak menjadi masalah jika seseorang itu mengamalkan pengurusan masa yang cemerlang.

Dalam fasa ini, mencari peluang untuk mendekatkan diri dengan tuhan melalui tambahan-tambahan ibadat sangat diperlukan. Gigih mana sekalipun kita berusaha, kejayaan tetap ditentukan oleh Sang Penguasa Alam ini. Namun, janganlah pula kita hanya berserah kepada tuhan dan meminta hasil yang langsung tidak setimpal dengan kadar usaha yang dibuat.

Janganlah kerana hanya terlalu khusyuk belajar untuk mengejar gred keputusan tertinggi, kita melupakan nilai nilai pengorbanan kedua ibu bapa kita. Di kesempatan yang tersisa ini, jangan lupa untuk bertanya khabar kepada mereka. Mereka sangat memerlukan perhatian kita. Ditambah pula dengan kita yang berjauhan dengan mereka, menelefon dan bertanya khabar mereka sudah cukup menggembirakan mereka. Dan ingat Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa.

Di akhir kalam ini, saya mendoakan kejayaan kita semua agar mendapat kejayaan didunia mahupun akhirat. Sama sama kita menyucikan niat kita kembali agar tujuan kita belajar ini bukan semata untuk mengejar gred terbaik, tetapi mengembalikan kegemilangan Islam melalui kegemilangan ilmu yang dimulakan oleh tokoh-tokoh Islam terdahulu. Manfaatkan cuti anda, moga kejayaan bersama kita.

Bittaufiq wannajah!

Amiruddin Ali
Naib Presiden 2 PMIUM


PMIUM | Inspirasi Bersama

ULAMA DUNIA DIBURU : PMIUM GESA KERAJAAN MALAYSIA BANTAH TINDAKAN INTERPOL TERHADAP SYEIKH YUSUF AL-QARADHAWI



Sebagai salah sebuah Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia yang berpendirian membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah (waran tangkap) kepada Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan ini menggesa Kerajaan Malaysia agar turut menyatakan kesungguhan membantah pemburuan serta penganiayaan terhadap tokoh ulama’ dunia itu.

PMIUM melihat bahawa keadaan ini seakan-akan memberi gambaran yang lebih besar sepertimana kezaliman yang berlaku terhadap mangsa-mangsa yang dikenakan Akta Hasutan di Malaysia. Malah lebih dahsyat lagi apabila tindakan tersebut melibatkan sosok yang menjadi rujukan masyarakat dunia atas ketinggian ilmunya. Sememangnya penglibatan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin merupakan asbab utama pihak musuh menjadikan beliau sebagai sasaran. Apakah wajar Kerajaan Malaysia berdiam diri atas kezaliman yang menimpa ulama’ besar ini sedangkan beliau pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai Tokoh Maal Hijrah satu ketika dahulu?

Oleh itu, PMIUM tetap dengan pendirian membantah tindakan Interpol ini sekali gus mendesak serta menuntut Kerajaan Malaysia agar :
1.         Mengeluarkan kenyataan yang jelas bagi membantah tindakan Interpol terhadap Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
2.         Bersatu dengan negara-negara anggota dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam mengecam tindakan zalim Interpol terhadap Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia tersebut.

Justeru, atas sensitiviti yang tinggi terhadap masa depan institusi keilmuan Islam, PMIUM optimis dalam mengharapkan respon dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh Kerajaan Malaysia yang mengakui Islam sebagai agama rasmi negara dalam mendepani isu ini. Sekiranya Malaysia mampu membawa suara solidariti dalam isu negara Islam yang tertindas seperti Palestin, mengapa tidak dalam hal ini.  

Anis Syafiqah Binti Md Yusof
Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Sesi 2014/2015

PMIUM | Inspirasi Bersama

Saturday 20 December 2014

MAHASISWA MUAK TAFSIRAN PALSU TUN M



Lagi, pentafsir al Quran jadian berpangkat Tun mengguna pakai Al Quran untuk membantutkan nilai kemahasiswaan. Sudah muak mendengar tafsiran seorang yang hanya semata-mata akal menjadi rujukannya. Dahulu melontarkan kepada marhaen didalam satu forum dengan dakwaan, mana ada hudud di dalam Al Quran. Ia hanyalah rekaan ulama sahaja. Kini sekali lagi dengan megah ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan 2020’ pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (NUSA’14) di Kuala Lumpur  berkata, manada ayat di dalam Al Quran yang menyuruh pergi berdemo.

Sudahlah wahai Tun, sudah 40 tahun kamu merantai serta memandomkan anak muda yang bergelar mahasiswa dengan Auku itu. Dek kerana kamu takut dengan "Mahasiswa Progresif" yang membawa suara kebenaran, yang membela masyarakat tempatan dan yang mahu menumbangkan kezaliman, kamu cipta racun Auku yang merapuhkan serta melembabkan Generasi muda kamu sendiri.

Racun kamu hanya mampu melemahkan namun tidak sekali mematikan semangat Mahasiswa. Desakan demi desakan mahasiswa lakukan, Racun Auku dipinda dan terus dipinda dan 2012 di bawah kepimpinan Dato Saifudin Abdullah, rombakan terbesar didalam Auku dilakukan.

Jika anak kecil boleh lah di permainan dengan hujah palsu berkenaan. Tapi ini mahasiswa. Golongan yang punya idealisme, intelektualisme yang merupakan aset penting kebanggaan sesebuah negara. Al Quran tidak diturunkan dan hanya untuk dibaca serta difahami. Di sebaliknya ada banyak ilmu yang perlu kita pelajari dan kuasai untuk memahami dan melaksanakan tuntutan di dalamnya.

Siapa kata didalam Al Quran tidak ada  seruan berdemo? Buka al Quran dan baca surah al imran ayat 104 yang mana menyatakan, "dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Kami mahasiswa. Mahu jadi orang yang berjaya. Justeru itu, kami tidak jemu dan lelah memperjuangkan kebaikan dan menumbangkan kezaliman dan kemungkaran. Demo itulah salah satu wasilah(cara) untuk menyampaikan mesej kepada penzalim bahawasanya kezaliman itu akan terus menerus ditentang.

Muhammad Syazmee Sapian
Mahasiswa Tahun 1 Universiti Malaya

Aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

PMIUM | Inspirasi Bersama

Tuesday 16 December 2014

SUKMUM' 14/15

Tahniah dan syabas kepada seluruh olahragawan Universiti Malaya sempena Sukan Mahasiswa Universiti Malaya (SUKMUM'14/15).

PMIUM juga turut merakamkan jutaan tahniah dan syabas kepada sahabat kita Khair Alimarshidi (Bendahari Kehormat PMIUM) diatas pungutan sebanyak 3 pingat iaitu dalam sukan memanah berpasukan (johan), memanah individu kelayakan (johan), dan memanah olimpik individu (naib johan) dengan mewakili kontijen "off-campus".

Semoga terus maju dalam arena sukan dan dakwah kalian. Pmium optimis dengan pendekatan dakwah melalui wadah sukan dengan menonjolkan adab dan akhlak bersukan selaku seorang Muslim.

Tahniah.!

Jumlah mata keseluruhan:

Johan: kk12 (570 mata)
Naib Johan: kk5 (484 mata)

395 mata-kk8
362 mata-kk1
346 mata-kk9
333 mata-kk6
322 mata-kk4
302 mata-kk2
286 mata-kk7
278 mata-Kk3
274 mata-Luar kampus
174 mata-KKungku Aziz
159 mata-kk10

"Akal yang cerdas bergantung kepada jasmani yang cergas."

#KitaAdalahDaie
#PMIUMInspirasiBersama




Tuesday 9 December 2014

UM8 Satu Perjuangan

Usai hukuman telah dijatuhkan kepada 8 orang Mahasiswa Universiti Malaya oleh pihak pentadbiran yang dikenali sebagai HEP. Antara hukuman yang paling berat yang dikenakan, Saudara Fahmi Zainol, bekas Presiden PMUM ses...i 2013/2014 digantung sebanyak 2 semester serta merta dan denda RM600. Manakala saudara Safwan Shamsuddin digantung satu semester dan denda sebanyak RM300. Kemudian, yang lain diberi amaran keras oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya serta denda RM150. Hukuman ini sangat berat dikenakan bagi mahasiswa yang mahukan perjuangan kebebasan akademik. Inilah perjuangan mahasiswa, terpaksa berhadapan dengan mehnah dan tribulasi.

Persis perjuangan tokoh besar Assyahid Sayyid Qutb. Sosok tubuh yang pernah dipenjara demi perjuangan dakwah Islamiyah serta meninta ilmu untuk mencerahkan pemikiran akal manusia semasa berhadapan dengan regim Mesir. Susuk tubuh ini juga sekali lagi dipenjara setelah bebas tidak sampai setahun setengah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Ini mehnah dantribulasi buat ikon Ikhwanul Muslimin.

Perjuangan merupakan satu usaha yang sungguh-sungguh demi mencapai objektifnya. Oleh itu, perjuangan juga bererti jihad. Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim." Inilah perjuangan Mahasiswa dalam mencapai objektifnya iaitu kebebasan akademik. Justeru, isu UM8 ini juga adalah satu perjuangan yang punyai mehnah dan tribulasinya tersendiri kerana sudah menjadi sunnatullah didunia ini.

Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."

Akhir kalam, marilah kita sama-sama menjadi muslim yang ada kesedaran serta keyakinan dalam perjuangan. Perjuangkan demi agama Islam yang mementingkan kebenaran supaya Islam tertegak diatas muka bumi ini.

Wallahualam.

Shareefuddin Jamaluddin
Exco Dakwah dan Kebajikan,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya

#InspirasiBersama




Nasib mahasiswa UM anjur program Anwar ditentukan malam ini

Bekas presiden PMUM Fahmi Zainol (tengah) paling banyak dihadapkan pertuduhan di antara lapan pelajar yang dibicarakan Universiti Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.

Salah seorang daripada mereka, Adam Fistival Wilfrid, berkata perkara tersebut dimaklumkan kepada mereka oleh panel diketuai Prof Dr Zanariah Abdullah ketika prosiding tata tertib berlangsung sebentar tadi.
Alfred, pelajar jurusan Sains Komputer yang berdepan dua pertuduhan itu berkata, prosiding  bermula kira-kira jam 9 pagi tadi ‎membabitkan Fahmi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Mohammad Ammar Atan mengutuk perbicaraan tersebut ‎kerana pihak UM tidak mengikut prosedur betul.
Beliau berkata, kelapan-lapan mahasiswa sebelum ini menuntut pihak pengurusan UM memberi bukti terlebih dahulu kepada mereka dan diberi ruang mempertahankan diri.
"Namun ia tidak berlaku ketika ‎prosiding Fahmi tadi," katanya pada sidang media di UM, Kuala Lumpur hari ini.
Hal itu turut diakui Fahmi yang menyatakan tidak ada bukti jelas dikemukakan ketika prosiding, selain keratan akhbar ketika insiden itu berlaku.
"Bukti yang diberi tidak jelas, mereka hanya tunjuk keratan akhbar, kemudian pertuduhan saya dibaca satu-satu.
"Meskipun diberi peluang untuk menjelaskan ketika bukti dikemukakan namun ia tidak jelas, ini termasuk dengan keterangan saksi juga bercanggah mereka sendiri tidak mengaku mengambil gambar tersebut, " katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Khairul Najib Hashim menjangkakan keputusan malam ini bakal menyaksikan salah-seorang daripada lapan pelajar itu dibuang universiti.
"Jangan terkejut kalau pada malam ini ada diantara UM8 ini bakal dibuang universiti," katanya.
Pada ‎7 November lalu, UM memulakan prosiding pertama tatatertib terhadap Fahmi dan kemudiannya pada 18 November.
Fahmi antara lapan mahasiswa (UM8) yang berdepan dengan pertuduhan paling banyak iaitu 8 dakwaan selepas Pengerusi Pro M, Safwan Shamsuddin, iaitu 3 pertuduhan.
Seorang lagi mahasiswa yang dikenakan pertuduhan, Haw Yo Hong daripada Fakulti Kejuruteraan berkata, tindakan pengurusan UM tidak mengemukakan bukti terlebih dulu amat tidak adil.
Seperti rakannya yang lain, beliau mempersoalkan ketelusan prosedur prosiding tersebut apabila pendakwaan notis diberikan oleh orang sama yang mengetuai panel dalam tatatertib tersebut.
"Sepatutnya kita diberi masa untuk lihat bukti tersebut, barulah pihak kita juga mempunyai masa meneliti dalam mempertahankan tindakan. Tetapi yang pelik, mereka tidak memberi kita masa. 
"Dan, bagaimana pendakwaan diberikan oleh orang sama yang mengetuai panel prosiding?" katanya.
Ditanya apakah langkah berikutnya yang akan mereka ambil sekiranya pengurusan UM menetapkan keputusan bersalah, Haw berkata, mereka merancang membawa kes itu ke peringkat rayuan mahkamah universiti.
"Kita akan membawa ke mahkamah rayuan sekiranya keputusan tidak memihak kepada kami," katanya. – 9 Disember, 2014.
Pautan asal: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nasib-mahasiswa-um-anjur-program-anwar-ditentukan-malam-ini