Showing posts with label karya. Show all posts
Showing posts with label karya. Show all posts

Thursday, 12 March 2015

KITA LUPA

Nak kaya
Tidak perlu harta
Nak mewah
Tidak perlu pangkat
Nak mudah
Tidak perlu bersusah
Siapa ajar?

Kau lupa
Dunia ini fleksibel sifatnya
Lagikan holistik melayankan dunia
Setekad kau melabur materialistik
Sedalam kau sangka hidup individualistik
Emosi kau tiada penentu
Kau kabur

Kau lupa
Kau gagal meletakkan hidup
Di tempat yang kukuh lagi utuh
Kau silap membuat andaian
Kau sangka dunia tiada liku
Kau sangka dunia engkau yang punya

Kau lupa
Hubungan bersama tiga perkara
Tuhan yang esa
Manusia yang kerdil 
Dan hidupan yang terlengkap di bumi
Kau sangka kau seorang
Kau sangka mereka siapa
Sekadar lalu di hilir minda
Tidak berfungsi lagi berguna
Kau silap


MANUSIA TUA
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU UM
TAHUN PERTAMA

Wednesday, 11 February 2015

Cerpen: UKHUWAH KAMI BERTAUT DI FIRDAUSI

Cuaca begitu panas. Matahari amat terik sekali seolah-olah berada sejengkal di atas kepala. Pada kebiasaannya bumi Mesir mengalami musim panas pada bulan April. Peluhku sudah mulai mengalir. Lantas aku segera mengatur langkah menuju ke Mahattoh Soleh Ja’fari. Di kejauhan kelihatan ramai para pelajar Fakulti Syariah wal Qanun sudah beratur menunggu ketibaan bas untuk pulang ke rumah sewa masing-masing. Tiba-tiba satu suara menyapaku dari arah belakang. Aku segera menoleh.
     “Mariam..rindu sama enti!”
     “Khaulah! Rindu sama enti juga.”
Aku memeluk erat sahabat baikku Khaulah. Senyuman paling manis aku hadiahkan buatnya. Gadis kelahiran bumi Damsyik ini tampak manis dengan busana Arabnya.
     “Mariam..sudah lama enti tidak belanja ana minum ‘asir’.”
     “Yakah? Asyik ana sahaja belanja enti. Apa kata enti pula belanja ana kali ini.”
Aku tersenyum. Sengaja aku mengusik Khaulah. Keningku diangkat sedikit.
     “Erm..baiklah. Jom ana belanja enti makan di Mat’am Syubrawi”
     “Betul ni?”
Khaulah mencekak pinggangnya sambil mencemikkan muka.
     “Betul la.”


Aku ketawa kecil melihat gelagat Khaulah lantas mencubit pipinya.
     “Yeah! Khaulah belanja. Syukran jiddan ukhti,” jawabku sambil melontarkan senyuman kepadanya.
Kami segera meninggalkan Mahattoh lalu meneruskan langkah menuju ke Mat’am Syubrawi. Tidak semena-mena kepalaku terasa berat. Sakit bukan kepalang. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Aku cuba menyeimbangkan posisi badanku namun gagal. Akhirnya aku rebah di sisi Khaulah. Khaulah segera memangku diriku.
     “Mariam…!”
Aku hanya tersenyum menatap wajah manisnya itu.
     “Kenapa ni? Mariam sakit ke?”
    “Tak lah, Mariam ok. Cuma sakit kepala sikit je. Mungkin oleh sebab pancaran matahari sangat terik hari ni.”
     “Kalau begitu mari kita pulang rehat ya?”
Khaulah cuba memujukku. Aku angguk lemah tanda akur dengan kata-katanya. Khaulah segera memapahku. Aku terus tersenyum melihatnya. Dia kehairanan melihatku.
     “Ada orang tu tak dapat belanja Mariam hari ni.”
     “Alaa kesiannya dia, lain kali ya?”
     “Janji?” Sengaja aku mengusiknya.
     “Ya, Khaulah janji.” Katanya sambil mengangkat tangan.

Aku hanya ketawa kecil. Memeluk erat sahabatku. Subhanallah..indahnya persahabatan kami! Dialah temanku yang sentiasa di sisi tika susah dan senang.
                                                         ********
Pagi Jumaat yang dingin. Kawasan jami’ah Al-Azhar lengang dengan lautan manusia. Aku toleh ke luar tingkap. Salji sedang lebat turun. Ya Allah, sejuknya! Sejuk sangat sehingga terasa seperti mencucuk-cucuk tulang rusuk. Terbit perasaan malas untuk pergi ke kuliah pada pagi ini. Alangkah nikmatnya jika aku melelapkan mata ketika cuaca sebegini rupa. Namun ku gagahkan juga untuk bangun. Aku cuba untuk buang sifat malas yang bersarang di dalam diri ini.
Aku segera mencapai baju sejuk dan beg galasku lalu menapak perlahan keluar berjalan menuju ke Fakulti Syariah wal Qanun seorang diri di sebalik kesejukan pagi bumi Mesir. Membawa sekeping hati yang terlalu merindui susuk tubuh Khaulah. Sudah 2 tahun lamanya berlalu tetapi kenangan itu masih tersemat di kalbuku. Setelah sekian lama kami bina persahabatan indah ini, akhirnya ukhuwah kami diuji.
     “Mariam…”
     “Ya Khaulah, kenapa?”
Aku kehairanan memandang wajah sugul Khaulah. Aku merasakan seakan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Aku genggam erat tangannya. Ada air mata yang mengalir di pipinya.
     “Mariam..Khaulah terpaksa pergi..”
     “Hah? Pergi mana?”
    
“Khaulah perlu segera pulang ke Syria. Abi dan Ummi Khaulah sudah syahid. Tiada siapa yang mahu menjaga adik-adik Khaulah. Mereka keseorangan.”
Khaulah sudah menunduk. Air matanya terus mengalir. Dia tidak langsung menatap wajahku. Hatiku menjadi sebak melihat keadaannya. Ya Allah..inikah ujian persahabatan yang Engkau berikan kepada kami? Ya Allah..terasa peritnya untuk aku hadapi ujianmu ini. Sesungguhnya aku sangat mencintai sahabatku ini ya Allah.
     “Pergilah Khaulah…”
Khaulah mendongak memandangku. Mata kami bertaut. Aku sudah tidak dapat menahan lagi kesedihan yang melanda. Aku peluk erat sekujur tubuhnya. Ya Allah…mampukah aku? Mampukah aku untuk berpisah dengan seorang sahabat yang amat aku sayangi? Hatiku sebak. Air mataku sudah mulai mengalir. Ku genggam erat rantai pemberian Khaulah kepadaku. Terukir namaku dan dia di situ. Sungguh aku amat merinduimu Khaulah!
                                                         ********
Aku melangkah masuk ke dewan kuliah 211. Dr Hassan sudah mula bersyarah di hadapan. Aku agak lambat sedikit hari ini. Aku toleh ke kiri dan ke kanan. Banyak tempat yang kosong. Ramai pelajar yang tidak hadir pada pagi ini. Mungkin oleh sebab salji amat tebal di luar sana. Kelihatan Zinnirah, sahabat serumahku duduk seorang diri. Lantas aku memilih untuk duduk di sisinya.
Sudah hampir sejam Dr Hassan bersyarah di hadapan. Namun tiada satu perkara pun yang melekat di mindaku. Hanya wajah Khaulah yang bermain di fikiran. Aku memandang Dr Hassan dengan pandangan kaku. Sejak dari tadi kepalaku sudah terasa sakit. Sakit bukan kepalang seolah-olah dicucuk dengan duri yang tajam. Kitab Fiqh Muqorron segera ku tutup rapat.
     “Mariam! Mariam!”
Kedengaran suara Dr Hassan berteriak memanggil namaku. Aku tersentak dari lamunan. Semua mata di situ memandang ke arahku. Aku tertunduk malu. Arghh! Malunya aku. Macam manalah aku boleh berangan sebentar tadi. Zinnirah, sahabat serumahku menyapa sambil melontarkan senyuman.
     “Berangan ya?”
     “Taklah”, sepatah aku menjawab.
     “Habis tu? Teringat akan Khaulah?” Zinnirah tersenyum.
Aku mengangguk lemah. Wajahku kelihatan sugul. Aku benar-benar rindu akan Khaulah. Rindu akan ukhuwah yang sekian lama terjalin indah. Rindu akan segala memori lalu yang masih segar dalam kotak fikiranku.
                                                          ********
Zinnirah menampar lembut bahuku. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah dahulu kerana ada urusan penting yang harus diselesaikannya. Aku mengangguk lembut. Dewan kuliah 211 sudah lengang dengan pelajar. Aku mengagahkan juga diri untuk bangun. Aku berjalan agak perlahan menuju ke Mahattoh.
Ketika dalam perjalanan pulang, aku singgah sebentar di Raudhah Sakinah. Aku menoleh ke sebelah kanan. Aku tersenyum sendirian lalu menghampiri pohon tamar. Aku berhenti di situ. Memejam rapat mataku. Pohon tamar inilah menjadi saksi. Saksi jalinan ukhuwah kami bersemi.


     “Assalamualaikum…”
     “Waalaikummussalam..”
     “Kaifahaluki?”
     “Alhamdulillah ana bikhoir.”
     “Ana  Khaulah Al-Azwar..wa enti?”
     “Ana Mariam… min Malizi..”
     “Malizi?”
     “Na’am..wa min enti?”
     “Ana min Damsyik…”
Ukhuwah kami bersemi hanya sebegitu. Pertemuan yang ringkas tetapi penuh bermakna. Pertemuan di bawah pohon tamar ini yang menguatkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Setiap kali ada masa terluang, pohon tamar inilah menjadi tempat kami berehat sementara menunggu kelas seterusnya bermula. Ingin sekali aku mengulang kembali kisah kami dahulu. Kisah yang penuh suka dan duka.
Merindui kehangatan pelukan seorang sahabat dari bumi Damsyik, aku duduk bersandar di bawah pohon tamar itu. Sejuk sangat. Alangkah indahnya jika aku dapat menikmati kesejukan bumi Mesir ini bersama-sama Khaulah. Aku segera membuka lembaran surat daripadanya yang ku terima sebulan yang lepas.



Salam sayang buat ukhtiku,
Apa khabar dirimu Mariam? Khaulah harap Mariam senantiasa sihat dan ceria selalu walaupun tanpa kehadiran Khaulah di sisi. Khaulah sekeluarga baik-baik sahaja di sini. Allah, betapa rindunya Khaulah pada Mariam. Rindu pada ukhuwah yang kian lama terjalin bersama. Rindu juga pada bumi Kairo. Subhanallah..tidak terbendung lagi rasa rindu yang kian mekar ini. Tetapi apakan dayaku, hanya kepada Allah sahajalah aku titipkan rasa rindu ini.
Sahabat,
Bagaimana kehidupanmu sekarang? Khaulah agak sibuk menguruskan adik-adik. Mereka masih trauma. Kendatipun sudah 2 tahun peristiwa hitam itu berlalu, namun kenangan abi dan ummi masih menghantui diri mereka. Adik-adik Khaulah masih belum mampu menerima hakikat bahawa abi dan ummi sudah pergi menemui Illahi. Terkadang Khaulah menangis sendirian melihat mereka. Khaulah sebak mengenangkan nasib kami sekeluarga. Khaulah kasihan melihat adik-adik. Mereka masih kecil dan tidak mengerti apa-apa lagi. Allah benar-benar menguji diri kami sekeluarga.
Khaulah perlu menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam membesarkan adik-adik. Sejak belakangan ini, serangan Israel di Syria semakin menjadi-jadi. Semakin banyak pembunuhan berlaku. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Ketakutan menghantui adik-adik Khaulah. Siang dan malam air matalah yang menemani kami. Mariam, bagaimana Khaulah mahu membesarkan adik-adik dengan suasana ralat yang sebegini rupa?


Walau apa-apa pun, Khaulah tidak berasa gentar Mariam. Sejak dari kecil sehinggalah Khaulah tumbuh dan membesar menjadi seorang gadis, bumi Damsyik ini masih dijajah. Khaulah sudah lali dengan keadaan sebegini. Andai kematian datang menjemput Khaulah, Khaulah tidak gentar sahabatku sayang kerana inilah realiti kehidupan kami di sini. Khaulah redha dengan segala ketentuan-Nya.
Mariam,
Sahabatku dunia dan akhirat. Mungkin ini adalah warkah terakhirku buatmu. Kekangan waktu dan kesibukanku menyebabkan masa terluang amat terbatas. Khaulah lebih banyak meluangkan masa untuk adik-adik dan gerakan mujahidah di sini. Akhawat merupakan aset penting dalam perjuangan di sini. Khaulah juga turut bersedia menyerahkan khidmat diri untuk perjuangan gerakan mujahidah di sini dalam membantu gerakan mujahidin. Doakan diri kami syahid di medan perjuangan dengan redha Ilahi, Insyaallah.
Akhir kalam, Khaulah mengharapkan doamu senantiasa mengiringiku di sini dalam meneruskan perjuangan menegakkan kembali bumi Syria yang semakin lemah dinodai oleh rejim Zionis. Mariam, doakan bumi Syria! Khaulah sayang akan Mariam tetapi apakan daya, kita terpaksa berpisah demi kebaikan bersama. Namun begitu, titipkan sahaja doamu pada Allah, Insyaallah dimakbulkan oleh-Nya.
Salam rindu daripadaku,
~Khaulah Al-Azwar~
                                                          ********

Aku menapak selangkah demi selangkah di sebalik kedinginan bumi Kairo menuju ke Mahattoh. Subhanallah…sejuknya. Sudah berlapis-lapis baju sejuk ku pakai. Namun, kesejukan bumi Kairo ini masih terasa mencucuk-cucuk sekujur tubuhku. Kepalaku sudah mulai terasa berdeyut-denyut. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Pandanganku menjadi kabur. Bayangan Raudhah Sakinah sudah lenyap dari pandangan mataku.
Hanya deruman enjin kereta yang ku dengar dari arah belakang. Aku cuba untuk menyeimbangkan posisi tubuhku namun aku gagal. Deruman enjin kereta itu semakin jelas kedengaran. Aku terasa tubuhku seperti diasak sesuatu. Ya Allah! Aku meraung kesakitan. Akhirnya aku rebah menyembah bumi.
Mariam telah dikejarkan ke Mustashfah Saidina Hussein. Zinnirah mengiringinya dengan tangisan. Air matanya berjuraian. Kesedihan di hati tidak dapat dibendung lagi. Wajahnya kelihatan sugul. Mariam ditempatkan di wad ICU. Kondisinya amat kritikal. Dia mengalami pendarahan yang agak teruk di kepala.
     “Maafkan saya, saudari ini sahabat kepada Mariam?”
     “Ya doktor, saya Zinnirah. Sahabat baik Mariam. Bagaimana keadaannya sekarang, doktor? Baik-baik sahaja bukan?”
Doktor Muhammad sudah menunduk. Wajahnya tampak sedih. Seakan berat mahu memberitahu kondisi Mariam pada saat itu. Zinnirah menunggu dengan tenang jawapan daripada beliau.


     “Maafkan saya Zinnirah. Mariam mengalami pendarahan yang teruk di kepala. Dia kehilangan banyak darah dan sekarang dia sedang koma. Dia sedang bertarung dengan maut.”
Zinnirah terduduk. Terasa seakan ada sesuatu menghimpit jiwanya. Dia amat terkejut dengan berita itu. Kesedihan di jiwa tidak dapat dibendung. Air mata yang mengalir tidak mampu diseka lagi. Esak tangisnya jelas kedengaran memecah kesunyian ruangan ICU.
Zinnirah menapak pulang disebalik kedinginan bumi Mesir, membawa sekeping hati yang sedang lara. Perasaan sebak yang melanda tidak mampu ditenangkan lagi. Sesampai di rumah, dia terus menuju ke ruang tamu lalu menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Dia termenung sejenak memikirkan keadaan sahabatnya.
Ya Allah, betapa hebatnya ujian yang kau timpakan ke atas sahabatku ini. Mariam adalah seorang hambamu yang setia dalam bersahabat. Sekian lama dia berpisah dengan Khaulah, merindui belaian kasih sayang daripada seorang sahabat yang dirinduinya dan tika itulah kau uji dia dengan pelbagai macam musibah.
Alat kawalan jauh yang terletak di atas meja tidak jauh dari sofa itu dicapainya. Membuka siaran televisyen berita Jam 8 malam. Berita yang dipaparkan adalah mengenai peperangan di Damsyik, Syria. Peperangan yang sudah sekian lama tidak berkesudahan. Dia menumpukan sepenuh perhatian ke kaca televisyen. Matanya dibuka besar-besar. Telinganya dipasang rapi. Alangkah terkejutnya dia saat mendengar berita itu. Berita yang amat memilukan hatinya dan juga buat Mariam.          



‘Khaulah Al-Azwar, pelajar tahun 3 yang masih menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir dikhabarkan telah kembali ke rahmatullah sewaktu tentera Israel datang membedil bumi Damsyik.’ Hatinya tidak semena-mena menjadi sebak. Terasa ada sesuatu yang mengasak jiwanya. Seakan-akan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Dia menundukkan wajah lantas duduk memeluk sekujur tubuhnya. Matanya sudah berkaca. Ada air mata yang mengalir di pipi. Esak tangisnya sukar lagi untuk dihentikan. Di situ jugalah dia menangisi pemergian seorang sahabat yang amat dirinduinya.
                                                         ********
Seminggu berlalu begitu sahaja. Sepanjang itulah Zinnirah tabah menjaga Mariam dengan penuh kasih sayang. Setiap hari seusai tamat kuliah, Zinnirah pasti melawat Mariam dan saat itulah dia kerap kali menangis tika menatap wajah lesu Mariam. Seminggu Mariam terlantar di hospital, Zinnirahlah yang tetap setia menemani dan menjenguknya. Siang dan malam bersilih ganti, Zinnirah tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan diri Mariam serta menunaikan solat sunat hajat demi keselamatan dirinya.
     “Zinnirah, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai keadaan Mariam.” Doktor Muhammad memulakan bicara.
     “Ya doktor, apa dia?”
Riak wajah doktor Muhammad sudah mulai berubah. Wajahnya yang tenang itu tadi kembali menjadi runsing. Seakan ada sesuatu yang buruk yang ingin disampaikan olehnya mengenai kondisi Mariam. Seraut air muka kesedihannya itu jelas terpapar.
    

     “Sebelum itu saya mohon maaf sekiranya berita yang ingin saya sampaikan ini akan membuatkan Zinnirah sedih. Saya terpaksa memaklumkan hal ini kepada saudari. Setelah pihak kami menjalankan pemeriksaan ke atas Mariam, pihak hospital mendapati bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang agak serius dan paru-paru berair. Jangka masa untuk dia bertahan hidup adalah lebih kurang sebulan sahaja lagi.”
Zinnirah sudah kehilangan kata-kata. Hatinya memberontak seolah-olah mahu menjerit sepuas hati melepaskan segala kesulitan yang dihadapinya. Air mata yang deras mengalir tidak mampu diseka lagi. Doktor Muhammad cuba menenangkannya.
     “Harapnya Zinnirah dapat bersabar. Perbanyakkanlah istighfar dan memohon doa kepada Allah. Mudah-mudahan saudari Mariam akan cepat sembuh dengan izin-Nya dan dipermudahkan segala urusannya, Insyaallah.”
Zinnirah mengangguk tanda akur dengan nasihat dan kata-kata semangat daripada Doktor Muhammad lalu meminta izin untuk keluar terlebih dahulu. Dia menapak keluar menuju ke ruangan bilik Mariam. Jauh di sudut hatinya, terasa amat pilu mengenangkan nasib diri Mariam. Namun kesedihan di hati masih belum terubat lagi. Zinnirah duduk di sisinya. Menggenggam erat tangan Mariam.
     “Mariam, bangunlah sayang. Hampir seminggu Mariam tidak sedarkan diri. Mariam perlu kuat. Bangkitlah sahabatku. Zinnirah tidak sanggup lagi melihat keadaan Mariam sebegini rupa setiap hari.” 
Hatinya menjadi sebak. Dia menundukkan wajahnya. Ada air mata yang mengalir di pipi. Tiba-tiba genggaman tangan Mariam bergerak-gerak. Zinnirah lantas mengangkat wajahnya. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajah kegembiraannya jelas terlihat.
    
     “Mariam! Syukur Alhamdulillah Mariam sudah sedar.”
     “Zinnirah, Mariam di mana sekarang?”
     “Mariam di hospital sekarang. Hampir seminggu Mariam terlantar di sini. Mariam koma tidak sedarkan diri.”
     “Apa yang sudah terjadi pada Mariam?”
     “Mariam tidak ingat apa-apa?” soal Zinnirah.
Mariam hanya menggelengkan kepalanya.
     “Mariam kemalangan sewaktu pulang dari Raudhah Sakinah. Ada orang bawa Mariam ke sini.”
     “Doktor ada beritahu apa-apa maklumat tentang kesihatan Mariam?”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia berasa berat hati untuk memberitahu Mariam tentang penyakit kroniknya itu. Zinnirah tidak mahu melihat Mariam sedih lagi. Namun Zinnirah kuatkan juga semangatnya. Jika hal ini dirahsiakan, lama kelamaan akan ketahuan juga akhirnya. Mariam perlu tahu penyakit yang dihidapinya.  Zinnirah mula mengatur kata-kata. Matanya dipejam rapat. Tangan Mariam digenggam erat.
     “Mariam sayang, maafkan Zinnirah seandainya perkara yang ingin Zinnirah sampaikan ini akan menambahkan lagi kesedihan di hati Mariam. Zinnirah sebenarnya tidak sanggup untuk memberitahu Mariam tentang perihal ini akan tetapi Zinnirah terpaksa juga memaklumkannya.”
    

     “Apa dia Zinnirah? Tolong beritahu Mariam!” Mariam berkeras ingin tahu.
Air muka Zinnirah tampak pilu. Matanya berkaca-kaca. Terasa berat untuk memberitahu Mariam keadaannya yang sebenar. Namun digagahkan jua hatinya.
     “Mariam, doktor memaklumkan bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang serius dan paru-paru berair.”
Mariam terkedu. Dia terlalu kaget dengan berita itu. Dia amat tidak menyangka. Ternyata Allah benar-benar menguji dirinya. Lantas air matanya jatuh setitis demi setitis. Perasaan hiba yang melanda di jiwa tidak mampu ditenangkan lagi. Mariam redha atas segala ketentuan-Nya.
                                                         ********
Mariam keseorangan di biliknya. Dia menoleh ke luar jendela. Salji sedang lebat turun. Subhanallah..cantiknya! Kelihatan dua orang kanak-kanak perempuan sedang seronok bermain bersama. Bahagianya mereka. Alangkah indahnya jika Khaulah dapat bersama-sama berada di sisiku tatkala ini. Menemaniku kian hari dan menghabiskan sisa-sisa hidupku bersama-samanya. Ya Allah! Rindunya aku pada Khaulah.
Zinnirah mengetuk pintu. Tombol pintu dipulasnya. Dia menapak masuk.
     “Mariam, ini Zinnirah belikan bubur untuk Mariam. Mari makan. Zinnirah suapkan ya.”
Mariam mengangguk tanda akur. Zinnirah mengukir senyuman. Beberapa sudu bubur disuapkan ke mulut Mariam.
     

     “Zinnirah, sudah lama Mariam tidak dengar khabar berita tentang Khaulah. Bagaimana keadaannya sekarang? Mariam rindu sangat pada Khaulah.”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia tidak mampu meneruskan kata-kata. Dia menjadi runsing. Bagaimana dia mahu beritahu Mariam hal yang sebenar mengenai Khaulah sedangkan dirinya sedang bertarung dengan sakit? Tidak sanggup rasanya untuk Zinnirah memberitahu Mariam. Zinnirah termangu seketika.
     “Zinnirah??” Mariam menyapa.
Jauh di sudut hatinya tidak sanggup melihat Mariam sedih lagi. Namun dikuatkan juga semangatnya. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah mulai mengalir.
     “Erk…Mariam, sebenarnya…Khaulah telah syahid sewaktu serangan Israel di bumi Syria seminggu yang lalu. Zinnirah mendapat tahu daripada berita di kaca tv.”
Mariam amat terkejut dengan berita itu. Riak wajahnya berubah menjadi sebak. Dia menunduk. Terdiam seribu bahasa. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan di bibirnya. Air mata sudah jatuh berguguran. Kesedihan di hati masih belum terubat lagi namun telah datang berita yang begitu memilukan jiwanya. Peritnya hati ibarat dihiris dengan sembilu.
Mariam kehilangan seorang sahabat yang amat disayanginya. Ternyata Allah lebih menyayangimu wahai sahabatku. Sekian lama Allah mengujimu dengan pelbagai mehnah. Pemergian ummi dan abi yang sangat dicintai. Kesulitan hidup dalam membesarkan adik-adik. Namun engkau tetap tabah tatkala onak dan duri datang menerpa dirimu. Tidak sesekali kau gentar bersemuka malah menentang musuh-musuh Islam yang muncul di hadapanmu. Ternyata jiwamu amat kental sahabatku. Semoga Allah merahmati rohmu di alam sana.

Mariam terbatuk-batuk. Segumpal darah telah keluar dari mulutnya. Zinnirah naik cemas. Dia segera mencapai sehelai kain lalu mengesat mulut Mariam.
     “Zinnirah, Mariam nak solat.”
Zinnirah angguk tanda faham. Dia segera membantu Mariam mengambil wudhuk. Mariam menggunakan debu tanah untuk bertayammum. Dia hanya solat berbaring di atas katil. Zinnirah menjadi imam. Mariam mengikut setiap gerak gerinya. Dia mengangkat takbir lalu beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Seusai sahaja solat, Zinnirah bangkit meluru ke arah Mariam. Namun dia mendapati Mariam sudah pergi meninggalkan dunia buat selama lamanya. Air mata sudah mengalir. Lantas diambilnya sehelai selimut lalu menutupi sekujur tubuh Mariam. Suasana berubah menjadi hening. Zinnirah mengesat air matanya. Dia redha atas segala ketentuan yang telah ditakdirkan oleh-Nya.
Benarlah Ya Allah… Mariam dan Khaulah saling mencintai dan menyayangi. Engkau telah memakbulkan doa mereka berdua.
   “ Damailah kalian di alam sana. Semoga syahid mengiringimu wahai sahabatku…”



Sebarang terbitan karya@artikel sila emelkan ke pmium123@gmail.com
PMIUM | inspirasi bersama


Tuesday, 23 December 2014

Kepelbagaian Ideologi dan Agama


Oleh: Kamal Sandera



Pada pandangan mata aku kewujudan pelbagai agama merupakan satu rahmat Allah buat semua manusia. Aku terfikir Allah boleh sahaja menjadikan semua orang di dunia ini beragama Islam, tapi pasti ada sebab mengapa Allah tidak berbuat demikian. Kerana pada aku Allah ingin mengajar dan mahukan manusia yang merupakan ciptaan-Nya hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh benci kepada seseorang hanya kerana atas nama agama. Tidak boleh benci Yahudi kerana dia seorang Yahudi. Yang perlu dibenci adalah fahaman Zionisme. Jangan jadikan agama sebagai alasan untuk bermusuhan sesama manusia.

Melihat kepada situasi di Malaysia pada hari ini, sentimen agama semakin berleluasa. Aku dapat melihat semakin wujudnya kebencian terhadap penganut beragama Kristian sebagai contoh. Kita risau sekiranya kalimah ‘Allah’ digunakan dalam Bible, kitab milik orang Kristian, akan berlakunya gejala murtad. Orang Islam akan terkeliru. Ini satu andaian yang kurang berasas. Kalau individu itu murtad sekalipun, jangan marah pada institusi agama yang dia pilih, tapi tanyalah pada dirinya mengapa dia memilih untuk murtad. Jangan kerana kalimah ‘Allah’ kita menyemai sikap benci-membenci dalam kalangan sesama kita. Yang penting kita mengamalkan ajaran Allah, bukan mempertahankan nama-Nya. Andainya Ultraman punya Tuhan dan mengaku Tuhannya juga bernama Allah, apa  yang kita akan lakukan?

Ideologi

Aku juga turut melihat betapa di Malaysia, rakyatnya begitu sensitif dengan perkataan liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan seanggkatannya. Asal berbeza pendapat dengan pegangan yang kita anuti akan dicap dengan perkataan-perktaan ini. Melihat kepada kenyataan Marina Mahathir baru-baru ini berkaitan isu hudud, apabila beliau menyatakan hudud mampu memecahbelahkan masyarakat, ramai dalam kalangan golongan pemimpin-pemimpin NGO yang bersifat Melayu-Islamik menyelar beliau. Golongan ini menyifatkan Marina Mahatihir sebagai jahil dan liberal dalam agama. Kewujudan orang seperti Marina Mahathir dikatakan mampu menggugat akidah orang Islam.

Jawapan aku mudah. Bukan Marina Mahathir merasakan prinsip-prinsip yang termaktub dalam hudud mampu memecahbelahkan umat Islam, tapi beliau khuatir terhadap cara pelaksanaan hudud yang ingin di bawa oleh PAS kerana aku juga terfikir akan perkara ini. Sebagai contoh hudud yang dilaksanakan di Brunei menyatakan bahawa Sultan tidak boleh dikenakan tindakan hudud atas alasan Sultan tidak pandai berbuat salah.(kalau aku salah sila betulkan). Persoalannya, apakah hudud yang ingin di bawa oleh PAS? Aku masih menantikan jawapannya.

Berbalik kepada isu ini, sifat keraguan yang terdapat dalam diri golongan seperti Marina Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Keraguan akan sentiasa wujud dalam diri manusia seperti kata Francis Bacon dalam karyanya The Advancement of Learning yang menyatakan terdapat dua jenis keraguan iaitu keraguan untuk melindungi daripada kebatilan dan yang kedua untuk memanjangkan inkuiri akal manusia agar dapat berfikir dengan baik. Maka janganlah kita mudah menuduh beliau sebagai liberal. Aku khuatir peristiwa yang menimpa Farag Fouda yang dibunuh oleh puak pelampau Islam akan berlaku di Malaysia.

Berkenaan dengan ideologi, suka untuk aku kongsikan pandangan aku bahawa ideologi yang seperti aku nyatakan di atas kadang kala mampu membawa perkara yang positif. Sebagai contoh, kelahiran idea sekular telah membebaskan Eropah dari kongkongan geraja. Pembebasan ini telah memberi ruang kepada masyarakat Eropah untuk memilih mazhab agama mereka. Secara tidak langsung Islam dapat memasuki benua Eropah secara perlahan-lahan. Mungkin tanpa idea sekular, Eropah masih lagi dibelenggu oleh institusi gereja. Begitu juga dengan idea liberal yang memberi kita peluang untuk berkawan dengan orang yang bukan bergama Islam. Memahami agama mereka. Kita juga harus menggunakan peluang ini untuk membantu mereka yang bukan Islam bagi memahami keindahan agama Islam. Jangan sekadar mengajak mereka datang ke masjid untuk melihat keindahan seni bina masjid, tetapi sebaliknya menceritakan dan menunjukkan kepada mereka tentang keindahan solat berjemaah di dalam masjid itu sendiri.

Apa yang ingin aku nyatakan adalah, buanglah sikap ekstrimis dalam diri. Belajar menghormati pandangan dan kepercayaan orang lain. Adalah sesuatu yang melampau dengan menuduh perayaan sesuatu agama adalah bertujuan untuk menyebarkan agama meraka. Setiap manusia punya pandangan tesendiri. Jangan kita mudah tersinggung dengan pendapat orang lain kerana sikap ini akan sentiasa menyebabkan kita terus berada dalam keadaan jumud seperti mana yang dinyatakan oleh Salman Rushdie dalam The Satanic Verse.

Ulasan kebangkitan mahasisiwa.

Aku merupakan mahasiswa tahun pertama di Universiti Malaya. Ini adalah pandangan peribadi aku berkenaan Occupy UM. Aku tidak kisah dengan tindakan mereka beroccupy. Kerana aku percaya meraka cuba menegakkan keadilan yang mereka idamkan. Cuma aku tidak bersetuju dengan tindakan membakar gambar TNC.

Aku juga ingin mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan tidak ada ayat al-quran yang menyuruh kita berdemonstrasi. Mungkin Tun ada makna yang tersirat yang tidak kita ketahui. Namun harus kita hormati pandangan beliau. Tapi kenyataan ini menimbulkan satu tanda tanya: Bagaimana pula dengan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel selama hari ini? Barang kali Tun mempunyai 
premis yang bereza dalam isu ini.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi pelajar tahun pertama Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Sebarang kesalahan dan kecacatan atau tersilap fakta harap dapat beri teguran sebagai penambahbaikan. Sesungguhnya kesempurnaan hanyalah milik Allah yang hakiki.


Sunday, 7 December 2014

Cerpen & Puisi: Mahasiswa Perintis Negara

Tajuk Puisi: Mahasiswa Perintis Negara

Mahasiswa, engkau bagai telur yang masih belum menetas,
Engkau bagai bunga yang baru bertunas,
Engkau bagai anak bulan yang baru timbul,
Pelbagai perasaan bercampur baur yang timbul,
Itulah naluri seorang mahasiswa,
Namun, adakah ianya berwibawa?
Adakah ianya berpatutan?
Adakah ianya mengikut peredaran?
Masa, itulah yang dimaksudkan,
Peredaran masa yang tidak berkekalan,
Fikir, fikirlah sedalamnya,
Fikir, fikirlah sebaiknya,
Benar, benar kau berjasa,
Namun, janganlah kau membuang masa,
Lakukanlah yang sepatutnya,
Kerana kau masih belum berjaya,
Kerana kau harus berusaha,
Menampilkan Mahasiswa Perintis Negara.



CERPEN
                               

Setahun sudah berlalu, hatiku dikunjung pilu. Entah mengapa, di pagi yang dingin ini, aku, Fadhli, yang kini bergelar Mahasiswa di salah sebuah universiti terkemuka, terkenangkan perjuanganku semasa berada di salah sebuah institusi yang tidak begitu terkemuka suatu masa dahulu. Di saat itu, segala tugasan bagai “dicincang halus” apabila diterima daripada para pensyarah. Masa berganti masa, hari berganti hari, aku tetap berada di suatu sudut, melakukan pekerjaanku sebagai seorang Mahasiswa. Gah ku rasakan dengan panggilan Mahasiswa. Namun, adakah kekukuhan yang ada pada diriku kini mampu melalui cabaran-cabaran hidup di alam selepas alam Mahasiswa yang seakan-akan “peluru tentera Israel” yang menghujani dari semasa ke semasa.
                                    Gayanya, persoalan ini timbul hasil daripada pengalaman mendengar dan melihat sendiri satu persatu teman seperjuangan pada suatu ketika dahulu yang pernah bersama-sama berkongsi bantal, bersama-sama menjamu selera, bersama-sama bersuka ria, dan bersama-sama di dalam perjuangan yang menggunakan sebatang pen dan akal sebelum memulakan langkah-langkah perjuangan, gugur di medan peperangan.
                                    Perlahan-lahan aku bangun dari baringanku di atas tilam yang empuk yang disediakan oleh pihak pengurusan kolej kediamanku. Aku duduk di atas kerusi sambil jari-jemari ku menekan butang-butang yang ada pada komputer ribaku yang membolehkan ku mencari informasi yang menarik mengenai dunia pekerjaan di Malaysia.
                                    Carianku tidak mengecewakan kerana bila ditaip sahaja sesuatu topik, pastinya deretan rangkaian oleh pelbagai laman sesawang dapat dilihat. Kepelbagaian informasi terhasil daripada kepelbagaian bangsa dan negara menunjukkan betapa mudahnya misi mencari informasi dapat dilakukan pada masa kini. Teknologi yang semakin maju dan semakin pesat sehinggakan anak kecil yang baru sahaja pandai membaca, mampu menelaah kepelbagaian teknologi yang ada di negara yang semakin popular pada tahun 2014 kini hasil dari kepelbagaian tragedi di peringkat global.
                                    “Hang dok buat pa?” Terdengar sayup di belakangku. Aku pandang rakan sebilikku yang baru bangun dari tidur.
                                                “Aku tengah online la der….” Aku menjawab baik soalannya. Dia memandangku dengan wajah yang pasrah dan amarah. Aku fahami bisikan hatinya. Dia mahukan cahaya dimansuhkan buat sementara waktu. Aku pun kembali ke kamar.
                                    Mentari terbit tinggi di bahagian atas kepala. Kebaikannya ialah, hari ini merupakan hari ahad. Kelewatan bangkit dari lena yang nyenyak tidak menjadi satu masalah bagi mahasiswa mahupun mahasiswi kerana tiada komitmen di fakulti pada kebiasaannya pada hari sebegini. Namun, sebagai mahasiswi, kebiasaannya, ianya agak memalukan kerana bergelar wanita bukanlah mudah kerana segala gerak-geri sering dinilai dan dipertikai dari pelbagai lapisan masyarakat lebih-lebih lagi golongan wanita itu sendiri yang sememangnya mementingkan disiplin dan peradaban yang baik sama ada belum atau sudah kahwin kerana wanita sememangnya permata yang indah di dunia yang menjadi pengganti bidadari syurgawi.
                                    Aku kembali terjaga. Aku laksanakan hasratku untuk melabur di Bank Rakyat, Bank Pilihan Anda, buat seketika. Selesai melaksanakan hasratku, aku kembali melakukan kajian mengenai realiti kehidupan graduasi-graduasi di Malaysia. Aku terbaca pelbagai cerita-cerita yang menarik di mana antaranya graduasi yang masih menganggur setelah bertahun lamanya bergraduasi dari universiti-universiti, kolej-kolej dan lain-lain institusi pengajian tinggi yang ada di Malaysia mahupun luar negara. Ianya begitu menarik. Ianya adalah realiti kerana aku sendiri pun tahu bahawa sememangnya ramai yang tidak mempunyai pekerjaan yang mengikut kelayakan sehingga kini.
                                    Aku keluar bersiar-siar. Aku duduk di suatu sudut di Tasik Varsiti. Aku terdengar perbualan sekumpulan mahasiswi yang membincangkan topik pekerjaan selepas bergraduasi. Bukanlah niatku untuk mencari tahu apa yang dibincangkan, tetapi, nada vokal yang mantap menjadikan telingaku dengar satu persatu patah perkataan yang dikeluarkan dari bibir manis gadis ini. Terangsang seketika.
                                    “Saya kalau boleh, habis belajar ni, saya nak apply kerja di company-company terkemuka je… Yelah… Kita pun keluar dari universiti terkemuka kan?” Rangsangan yang ada mulai kendur.
                                    “Mak ai…. Camtu lak???” Suara hatiku berbicara. wanita itu menyambung lagi sambil memastikan perjalanan kumpulan ini berterusan meninggalkan kawasan yang dikuasai olehku ketika itu. Hahahahha.
                                    “Saya tak nak la nanti orang kata saya kerja biasa-biasa je…” Disambungnya lagi. Aku yang mendengar, seakan-akan mahu melemparkan kasut saiz 8 ke wajah ayu wanita ini.
                                    “Kau biar betul! Sekarang nak cari kerja pun susah, kau nak berlagak pulak…Gila punya orang…Jangan sampai tak kerja sudah….” Hatiku berbisik tanpa disedari oleh ku. Romantis bunyinya. Hahahhaha.
                                    Aku pulang ke bilik. Setibanya di bilik indahku, aku terima panggilan dari seorang rakan sekampung. Aku menjawab panggilan terbabit.
                                    “Ya, bang… Lama tak dengar cerita… Sayang rindu abang…” Kataku padanya, sekadar gurauan. Ianya perkara biasa di antara rakan-rakan ku.
                                    “Ala yang… Abang bukan apa.. Busy sikit…Hhahaha..Hotak hang!” Rakan ku melayan gurauan ku sambil tertawa di hujungnya. Aku pun bertanya khabar dan berbual panjang bersama rakanku itu. Setelah sekian lama berbual, dia nyatakan sesuatu kepadaku.
                                    “Aku sekarang ni, tengah berjinak-jinak dalam bisnes…” Kata rakanku itu. Aku terpersona dengan kata-katanya.
                                    “Wah…. Hebat… Asyuk tu…. Bisnes apa tu?” Aku bertanya.
                                    “Bisnes elektrikal.” Jawabnya.
                                    “Bagus… Bagus… Hang ada sijil elektrik kan?” Aku memastikan satu butiran mengenai rakanku ini.
                                    “Ya… Aku sijil ja…Bukan cam hang.. Ada diploma..” Katanya kepadaku. Hatiku terguris kerana merasakan dia berasa rendah diri terhadapku. Air mata hampir mengalir. Aku tarik nafas sedalamnya.
                                    “Alamak ai… Ke situ pula… Come on la! Tak semestinya aku lebih baik dari hang….” Aku katakan padanya. Kami meneruskan perbualan sehingga aku perlu keluar untuk melakukan tugasan pentingku. Perbualan kami ditamatkan olehku dengan baik.
                                    Dalam perjalan ke lokasi tugasanku, aku terfikir akan apa yang dibualkan bersama rakan sekampung tadi melalui panggilan telefon.
                                    “Bisnes… Sijil…. Ada sijil buat bisnes… Okay juga… Ada ijazah… Kerja dengan orang… Hmmm?????” Aku terfikir. Realiti kehidupan kini makan gaji adalah lebih sengsara berbanding berniaga. Namun, perniagaan yang tidak bermaya adalah lebih sengsara berbanding makan gaji. Penantian untuk mendapatkan kerja adalah sesuatu yang memenatkan berbanding penyediaan perniagaan yang konsisten.
                                    “Hmmm????” Aku masih berfikir.
                                    “Adakah baik untukku melakukan perkara yang sama?”Aku masih berfikir. Maka, adalah lebih baik diukur baju pada badan sendiri dan tepuk dada tanya selera. Persoalannya? Mampukah aku bersama menjadi usahawan? Jika ya, pasti akan aku usahakan demi masa depan ku yang lebih baik kerana sememangnya mempunyai kelulusan bukanlah sesuatu yang patut dibanggakan. Namun, pendapatan yang baik adalah sesuatu yang patut disyukuri oleh setiap insan.




NAMA PENUH: AHMAD FADHLI BIN AB WAHAB @ MASRI
NAMA PENA: FADHLI WAHAB
FAKULTI: FAKULTI SAINS KOMPUTER & TEKNOLOGI MAKLUMAT
TAHUN PENGAJIAN: 2