Wednesday 11 February 2015

Cerpen: UKHUWAH KAMI BERTAUT DI FIRDAUSI

Cuaca begitu panas. Matahari amat terik sekali seolah-olah berada sejengkal di atas kepala. Pada kebiasaannya bumi Mesir mengalami musim panas pada bulan April. Peluhku sudah mulai mengalir. Lantas aku segera mengatur langkah menuju ke Mahattoh Soleh Ja’fari. Di kejauhan kelihatan ramai para pelajar Fakulti Syariah wal Qanun sudah beratur menunggu ketibaan bas untuk pulang ke rumah sewa masing-masing. Tiba-tiba satu suara menyapaku dari arah belakang. Aku segera menoleh.
     “Mariam..rindu sama enti!”
     “Khaulah! Rindu sama enti juga.”
Aku memeluk erat sahabat baikku Khaulah. Senyuman paling manis aku hadiahkan buatnya. Gadis kelahiran bumi Damsyik ini tampak manis dengan busana Arabnya.
     “Mariam..sudah lama enti tidak belanja ana minum ‘asir’.”
     “Yakah? Asyik ana sahaja belanja enti. Apa kata enti pula belanja ana kali ini.”
Aku tersenyum. Sengaja aku mengusik Khaulah. Keningku diangkat sedikit.
     “Erm..baiklah. Jom ana belanja enti makan di Mat’am Syubrawi”
     “Betul ni?”
Khaulah mencekak pinggangnya sambil mencemikkan muka.
     “Betul la.”


Aku ketawa kecil melihat gelagat Khaulah lantas mencubit pipinya.
     “Yeah! Khaulah belanja. Syukran jiddan ukhti,” jawabku sambil melontarkan senyuman kepadanya.
Kami segera meninggalkan Mahattoh lalu meneruskan langkah menuju ke Mat’am Syubrawi. Tidak semena-mena kepalaku terasa berat. Sakit bukan kepalang. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Aku cuba menyeimbangkan posisi badanku namun gagal. Akhirnya aku rebah di sisi Khaulah. Khaulah segera memangku diriku.
     “Mariam…!”
Aku hanya tersenyum menatap wajah manisnya itu.
     “Kenapa ni? Mariam sakit ke?”
    “Tak lah, Mariam ok. Cuma sakit kepala sikit je. Mungkin oleh sebab pancaran matahari sangat terik hari ni.”
     “Kalau begitu mari kita pulang rehat ya?”
Khaulah cuba memujukku. Aku angguk lemah tanda akur dengan kata-katanya. Khaulah segera memapahku. Aku terus tersenyum melihatnya. Dia kehairanan melihatku.
     “Ada orang tu tak dapat belanja Mariam hari ni.”
     “Alaa kesiannya dia, lain kali ya?”
     “Janji?” Sengaja aku mengusiknya.
     “Ya, Khaulah janji.” Katanya sambil mengangkat tangan.

Aku hanya ketawa kecil. Memeluk erat sahabatku. Subhanallah..indahnya persahabatan kami! Dialah temanku yang sentiasa di sisi tika susah dan senang.
                                                         ********
Pagi Jumaat yang dingin. Kawasan jami’ah Al-Azhar lengang dengan lautan manusia. Aku toleh ke luar tingkap. Salji sedang lebat turun. Ya Allah, sejuknya! Sejuk sangat sehingga terasa seperti mencucuk-cucuk tulang rusuk. Terbit perasaan malas untuk pergi ke kuliah pada pagi ini. Alangkah nikmatnya jika aku melelapkan mata ketika cuaca sebegini rupa. Namun ku gagahkan juga untuk bangun. Aku cuba untuk buang sifat malas yang bersarang di dalam diri ini.
Aku segera mencapai baju sejuk dan beg galasku lalu menapak perlahan keluar berjalan menuju ke Fakulti Syariah wal Qanun seorang diri di sebalik kesejukan pagi bumi Mesir. Membawa sekeping hati yang terlalu merindui susuk tubuh Khaulah. Sudah 2 tahun lamanya berlalu tetapi kenangan itu masih tersemat di kalbuku. Setelah sekian lama kami bina persahabatan indah ini, akhirnya ukhuwah kami diuji.
     “Mariam…”
     “Ya Khaulah, kenapa?”
Aku kehairanan memandang wajah sugul Khaulah. Aku merasakan seakan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Aku genggam erat tangannya. Ada air mata yang mengalir di pipinya.
     “Mariam..Khaulah terpaksa pergi..”
     “Hah? Pergi mana?”
    
“Khaulah perlu segera pulang ke Syria. Abi dan Ummi Khaulah sudah syahid. Tiada siapa yang mahu menjaga adik-adik Khaulah. Mereka keseorangan.”
Khaulah sudah menunduk. Air matanya terus mengalir. Dia tidak langsung menatap wajahku. Hatiku menjadi sebak melihat keadaannya. Ya Allah..inikah ujian persahabatan yang Engkau berikan kepada kami? Ya Allah..terasa peritnya untuk aku hadapi ujianmu ini. Sesungguhnya aku sangat mencintai sahabatku ini ya Allah.
     “Pergilah Khaulah…”
Khaulah mendongak memandangku. Mata kami bertaut. Aku sudah tidak dapat menahan lagi kesedihan yang melanda. Aku peluk erat sekujur tubuhnya. Ya Allah…mampukah aku? Mampukah aku untuk berpisah dengan seorang sahabat yang amat aku sayangi? Hatiku sebak. Air mataku sudah mulai mengalir. Ku genggam erat rantai pemberian Khaulah kepadaku. Terukir namaku dan dia di situ. Sungguh aku amat merinduimu Khaulah!
                                                         ********
Aku melangkah masuk ke dewan kuliah 211. Dr Hassan sudah mula bersyarah di hadapan. Aku agak lambat sedikit hari ini. Aku toleh ke kiri dan ke kanan. Banyak tempat yang kosong. Ramai pelajar yang tidak hadir pada pagi ini. Mungkin oleh sebab salji amat tebal di luar sana. Kelihatan Zinnirah, sahabat serumahku duduk seorang diri. Lantas aku memilih untuk duduk di sisinya.
Sudah hampir sejam Dr Hassan bersyarah di hadapan. Namun tiada satu perkara pun yang melekat di mindaku. Hanya wajah Khaulah yang bermain di fikiran. Aku memandang Dr Hassan dengan pandangan kaku. Sejak dari tadi kepalaku sudah terasa sakit. Sakit bukan kepalang seolah-olah dicucuk dengan duri yang tajam. Kitab Fiqh Muqorron segera ku tutup rapat.
     “Mariam! Mariam!”
Kedengaran suara Dr Hassan berteriak memanggil namaku. Aku tersentak dari lamunan. Semua mata di situ memandang ke arahku. Aku tertunduk malu. Arghh! Malunya aku. Macam manalah aku boleh berangan sebentar tadi. Zinnirah, sahabat serumahku menyapa sambil melontarkan senyuman.
     “Berangan ya?”
     “Taklah”, sepatah aku menjawab.
     “Habis tu? Teringat akan Khaulah?” Zinnirah tersenyum.
Aku mengangguk lemah. Wajahku kelihatan sugul. Aku benar-benar rindu akan Khaulah. Rindu akan ukhuwah yang sekian lama terjalin indah. Rindu akan segala memori lalu yang masih segar dalam kotak fikiranku.
                                                          ********
Zinnirah menampar lembut bahuku. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah dahulu kerana ada urusan penting yang harus diselesaikannya. Aku mengangguk lembut. Dewan kuliah 211 sudah lengang dengan pelajar. Aku mengagahkan juga diri untuk bangun. Aku berjalan agak perlahan menuju ke Mahattoh.
Ketika dalam perjalanan pulang, aku singgah sebentar di Raudhah Sakinah. Aku menoleh ke sebelah kanan. Aku tersenyum sendirian lalu menghampiri pohon tamar. Aku berhenti di situ. Memejam rapat mataku. Pohon tamar inilah menjadi saksi. Saksi jalinan ukhuwah kami bersemi.


     “Assalamualaikum…”
     “Waalaikummussalam..”
     “Kaifahaluki?”
     “Alhamdulillah ana bikhoir.”
     “Ana  Khaulah Al-Azwar..wa enti?”
     “Ana Mariam… min Malizi..”
     “Malizi?”
     “Na’am..wa min enti?”
     “Ana min Damsyik…”
Ukhuwah kami bersemi hanya sebegitu. Pertemuan yang ringkas tetapi penuh bermakna. Pertemuan di bawah pohon tamar ini yang menguatkan lagi hubungan persahabatan antara kami. Setiap kali ada masa terluang, pohon tamar inilah menjadi tempat kami berehat sementara menunggu kelas seterusnya bermula. Ingin sekali aku mengulang kembali kisah kami dahulu. Kisah yang penuh suka dan duka.
Merindui kehangatan pelukan seorang sahabat dari bumi Damsyik, aku duduk bersandar di bawah pohon tamar itu. Sejuk sangat. Alangkah indahnya jika aku dapat menikmati kesejukan bumi Mesir ini bersama-sama Khaulah. Aku segera membuka lembaran surat daripadanya yang ku terima sebulan yang lepas.



Salam sayang buat ukhtiku,
Apa khabar dirimu Mariam? Khaulah harap Mariam senantiasa sihat dan ceria selalu walaupun tanpa kehadiran Khaulah di sisi. Khaulah sekeluarga baik-baik sahaja di sini. Allah, betapa rindunya Khaulah pada Mariam. Rindu pada ukhuwah yang kian lama terjalin bersama. Rindu juga pada bumi Kairo. Subhanallah..tidak terbendung lagi rasa rindu yang kian mekar ini. Tetapi apakan dayaku, hanya kepada Allah sahajalah aku titipkan rasa rindu ini.
Sahabat,
Bagaimana kehidupanmu sekarang? Khaulah agak sibuk menguruskan adik-adik. Mereka masih trauma. Kendatipun sudah 2 tahun peristiwa hitam itu berlalu, namun kenangan abi dan ummi masih menghantui diri mereka. Adik-adik Khaulah masih belum mampu menerima hakikat bahawa abi dan ummi sudah pergi menemui Illahi. Terkadang Khaulah menangis sendirian melihat mereka. Khaulah sebak mengenangkan nasib kami sekeluarga. Khaulah kasihan melihat adik-adik. Mereka masih kecil dan tidak mengerti apa-apa lagi. Allah benar-benar menguji diri kami sekeluarga.
Khaulah perlu menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam membesarkan adik-adik. Sejak belakangan ini, serangan Israel di Syria semakin menjadi-jadi. Semakin banyak pembunuhan berlaku. Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini. Ketakutan menghantui adik-adik Khaulah. Siang dan malam air matalah yang menemani kami. Mariam, bagaimana Khaulah mahu membesarkan adik-adik dengan suasana ralat yang sebegini rupa?


Walau apa-apa pun, Khaulah tidak berasa gentar Mariam. Sejak dari kecil sehinggalah Khaulah tumbuh dan membesar menjadi seorang gadis, bumi Damsyik ini masih dijajah. Khaulah sudah lali dengan keadaan sebegini. Andai kematian datang menjemput Khaulah, Khaulah tidak gentar sahabatku sayang kerana inilah realiti kehidupan kami di sini. Khaulah redha dengan segala ketentuan-Nya.
Mariam,
Sahabatku dunia dan akhirat. Mungkin ini adalah warkah terakhirku buatmu. Kekangan waktu dan kesibukanku menyebabkan masa terluang amat terbatas. Khaulah lebih banyak meluangkan masa untuk adik-adik dan gerakan mujahidah di sini. Akhawat merupakan aset penting dalam perjuangan di sini. Khaulah juga turut bersedia menyerahkan khidmat diri untuk perjuangan gerakan mujahidah di sini dalam membantu gerakan mujahidin. Doakan diri kami syahid di medan perjuangan dengan redha Ilahi, Insyaallah.
Akhir kalam, Khaulah mengharapkan doamu senantiasa mengiringiku di sini dalam meneruskan perjuangan menegakkan kembali bumi Syria yang semakin lemah dinodai oleh rejim Zionis. Mariam, doakan bumi Syria! Khaulah sayang akan Mariam tetapi apakan daya, kita terpaksa berpisah demi kebaikan bersama. Namun begitu, titipkan sahaja doamu pada Allah, Insyaallah dimakbulkan oleh-Nya.
Salam rindu daripadaku,
~Khaulah Al-Azwar~
                                                          ********

Aku menapak selangkah demi selangkah di sebalik kedinginan bumi Kairo menuju ke Mahattoh. Subhanallah…sejuknya. Sudah berlapis-lapis baju sejuk ku pakai. Namun, kesejukan bumi Kairo ini masih terasa mencucuk-cucuk sekujur tubuhku. Kepalaku sudah mulai terasa berdeyut-denyut. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Pandanganku menjadi kabur. Bayangan Raudhah Sakinah sudah lenyap dari pandangan mataku.
Hanya deruman enjin kereta yang ku dengar dari arah belakang. Aku cuba untuk menyeimbangkan posisi tubuhku namun aku gagal. Deruman enjin kereta itu semakin jelas kedengaran. Aku terasa tubuhku seperti diasak sesuatu. Ya Allah! Aku meraung kesakitan. Akhirnya aku rebah menyembah bumi.
Mariam telah dikejarkan ke Mustashfah Saidina Hussein. Zinnirah mengiringinya dengan tangisan. Air matanya berjuraian. Kesedihan di hati tidak dapat dibendung lagi. Wajahnya kelihatan sugul. Mariam ditempatkan di wad ICU. Kondisinya amat kritikal. Dia mengalami pendarahan yang agak teruk di kepala.
     “Maafkan saya, saudari ini sahabat kepada Mariam?”
     “Ya doktor, saya Zinnirah. Sahabat baik Mariam. Bagaimana keadaannya sekarang, doktor? Baik-baik sahaja bukan?”
Doktor Muhammad sudah menunduk. Wajahnya tampak sedih. Seakan berat mahu memberitahu kondisi Mariam pada saat itu. Zinnirah menunggu dengan tenang jawapan daripada beliau.


     “Maafkan saya Zinnirah. Mariam mengalami pendarahan yang teruk di kepala. Dia kehilangan banyak darah dan sekarang dia sedang koma. Dia sedang bertarung dengan maut.”
Zinnirah terduduk. Terasa seakan ada sesuatu menghimpit jiwanya. Dia amat terkejut dengan berita itu. Kesedihan di jiwa tidak dapat dibendung. Air mata yang mengalir tidak mampu diseka lagi. Esak tangisnya jelas kedengaran memecah kesunyian ruangan ICU.
Zinnirah menapak pulang disebalik kedinginan bumi Mesir, membawa sekeping hati yang sedang lara. Perasaan sebak yang melanda tidak mampu ditenangkan lagi. Sesampai di rumah, dia terus menuju ke ruang tamu lalu menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Dia termenung sejenak memikirkan keadaan sahabatnya.
Ya Allah, betapa hebatnya ujian yang kau timpakan ke atas sahabatku ini. Mariam adalah seorang hambamu yang setia dalam bersahabat. Sekian lama dia berpisah dengan Khaulah, merindui belaian kasih sayang daripada seorang sahabat yang dirinduinya dan tika itulah kau uji dia dengan pelbagai macam musibah.
Alat kawalan jauh yang terletak di atas meja tidak jauh dari sofa itu dicapainya. Membuka siaran televisyen berita Jam 8 malam. Berita yang dipaparkan adalah mengenai peperangan di Damsyik, Syria. Peperangan yang sudah sekian lama tidak berkesudahan. Dia menumpukan sepenuh perhatian ke kaca televisyen. Matanya dibuka besar-besar. Telinganya dipasang rapi. Alangkah terkejutnya dia saat mendengar berita itu. Berita yang amat memilukan hatinya dan juga buat Mariam.          



‘Khaulah Al-Azwar, pelajar tahun 3 yang masih menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir dikhabarkan telah kembali ke rahmatullah sewaktu tentera Israel datang membedil bumi Damsyik.’ Hatinya tidak semena-mena menjadi sebak. Terasa ada sesuatu yang mengasak jiwanya. Seakan-akan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Dia menundukkan wajah lantas duduk memeluk sekujur tubuhnya. Matanya sudah berkaca. Ada air mata yang mengalir di pipi. Esak tangisnya sukar lagi untuk dihentikan. Di situ jugalah dia menangisi pemergian seorang sahabat yang amat dirinduinya.
                                                         ********
Seminggu berlalu begitu sahaja. Sepanjang itulah Zinnirah tabah menjaga Mariam dengan penuh kasih sayang. Setiap hari seusai tamat kuliah, Zinnirah pasti melawat Mariam dan saat itulah dia kerap kali menangis tika menatap wajah lesu Mariam. Seminggu Mariam terlantar di hospital, Zinnirahlah yang tetap setia menemani dan menjenguknya. Siang dan malam bersilih ganti, Zinnirah tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan diri Mariam serta menunaikan solat sunat hajat demi keselamatan dirinya.
     “Zinnirah, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai keadaan Mariam.” Doktor Muhammad memulakan bicara.
     “Ya doktor, apa dia?”
Riak wajah doktor Muhammad sudah mulai berubah. Wajahnya yang tenang itu tadi kembali menjadi runsing. Seakan ada sesuatu yang buruk yang ingin disampaikan olehnya mengenai kondisi Mariam. Seraut air muka kesedihannya itu jelas terpapar.
    

     “Sebelum itu saya mohon maaf sekiranya berita yang ingin saya sampaikan ini akan membuatkan Zinnirah sedih. Saya terpaksa memaklumkan hal ini kepada saudari. Setelah pihak kami menjalankan pemeriksaan ke atas Mariam, pihak hospital mendapati bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang agak serius dan paru-paru berair. Jangka masa untuk dia bertahan hidup adalah lebih kurang sebulan sahaja lagi.”
Zinnirah sudah kehilangan kata-kata. Hatinya memberontak seolah-olah mahu menjerit sepuas hati melepaskan segala kesulitan yang dihadapinya. Air mata yang deras mengalir tidak mampu diseka lagi. Doktor Muhammad cuba menenangkannya.
     “Harapnya Zinnirah dapat bersabar. Perbanyakkanlah istighfar dan memohon doa kepada Allah. Mudah-mudahan saudari Mariam akan cepat sembuh dengan izin-Nya dan dipermudahkan segala urusannya, Insyaallah.”
Zinnirah mengangguk tanda akur dengan nasihat dan kata-kata semangat daripada Doktor Muhammad lalu meminta izin untuk keluar terlebih dahulu. Dia menapak keluar menuju ke ruangan bilik Mariam. Jauh di sudut hatinya, terasa amat pilu mengenangkan nasib diri Mariam. Namun kesedihan di hati masih belum terubat lagi. Zinnirah duduk di sisinya. Menggenggam erat tangan Mariam.
     “Mariam, bangunlah sayang. Hampir seminggu Mariam tidak sedarkan diri. Mariam perlu kuat. Bangkitlah sahabatku. Zinnirah tidak sanggup lagi melihat keadaan Mariam sebegini rupa setiap hari.” 
Hatinya menjadi sebak. Dia menundukkan wajahnya. Ada air mata yang mengalir di pipi. Tiba-tiba genggaman tangan Mariam bergerak-gerak. Zinnirah lantas mengangkat wajahnya. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajah kegembiraannya jelas terlihat.
    
     “Mariam! Syukur Alhamdulillah Mariam sudah sedar.”
     “Zinnirah, Mariam di mana sekarang?”
     “Mariam di hospital sekarang. Hampir seminggu Mariam terlantar di sini. Mariam koma tidak sedarkan diri.”
     “Apa yang sudah terjadi pada Mariam?”
     “Mariam tidak ingat apa-apa?” soal Zinnirah.
Mariam hanya menggelengkan kepalanya.
     “Mariam kemalangan sewaktu pulang dari Raudhah Sakinah. Ada orang bawa Mariam ke sini.”
     “Doktor ada beritahu apa-apa maklumat tentang kesihatan Mariam?”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia berasa berat hati untuk memberitahu Mariam tentang penyakit kroniknya itu. Zinnirah tidak mahu melihat Mariam sedih lagi. Namun Zinnirah kuatkan juga semangatnya. Jika hal ini dirahsiakan, lama kelamaan akan ketahuan juga akhirnya. Mariam perlu tahu penyakit yang dihidapinya.  Zinnirah mula mengatur kata-kata. Matanya dipejam rapat. Tangan Mariam digenggam erat.
     “Mariam sayang, maafkan Zinnirah seandainya perkara yang ingin Zinnirah sampaikan ini akan menambahkan lagi kesedihan di hati Mariam. Zinnirah sebenarnya tidak sanggup untuk memberitahu Mariam tentang perihal ini akan tetapi Zinnirah terpaksa juga memaklumkannya.”
    

     “Apa dia Zinnirah? Tolong beritahu Mariam!” Mariam berkeras ingin tahu.
Air muka Zinnirah tampak pilu. Matanya berkaca-kaca. Terasa berat untuk memberitahu Mariam keadaannya yang sebenar. Namun digagahkan jua hatinya.
     “Mariam, doktor memaklumkan bahawa Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang serius dan paru-paru berair.”
Mariam terkedu. Dia terlalu kaget dengan berita itu. Dia amat tidak menyangka. Ternyata Allah benar-benar menguji dirinya. Lantas air matanya jatuh setitis demi setitis. Perasaan hiba yang melanda di jiwa tidak mampu ditenangkan lagi. Mariam redha atas segala ketentuan-Nya.
                                                         ********
Mariam keseorangan di biliknya. Dia menoleh ke luar jendela. Salji sedang lebat turun. Subhanallah..cantiknya! Kelihatan dua orang kanak-kanak perempuan sedang seronok bermain bersama. Bahagianya mereka. Alangkah indahnya jika Khaulah dapat bersama-sama berada di sisiku tatkala ini. Menemaniku kian hari dan menghabiskan sisa-sisa hidupku bersama-samanya. Ya Allah! Rindunya aku pada Khaulah.
Zinnirah mengetuk pintu. Tombol pintu dipulasnya. Dia menapak masuk.
     “Mariam, ini Zinnirah belikan bubur untuk Mariam. Mari makan. Zinnirah suapkan ya.”
Mariam mengangguk tanda akur. Zinnirah mengukir senyuman. Beberapa sudu bubur disuapkan ke mulut Mariam.
     

     “Zinnirah, sudah lama Mariam tidak dengar khabar berita tentang Khaulah. Bagaimana keadaannya sekarang? Mariam rindu sangat pada Khaulah.”
Zinnirah terkaku sebentar. Dia tidak mampu meneruskan kata-kata. Dia menjadi runsing. Bagaimana dia mahu beritahu Mariam hal yang sebenar mengenai Khaulah sedangkan dirinya sedang bertarung dengan sakit? Tidak sanggup rasanya untuk Zinnirah memberitahu Mariam. Zinnirah termangu seketika.
     “Zinnirah??” Mariam menyapa.
Jauh di sudut hatinya tidak sanggup melihat Mariam sedih lagi. Namun dikuatkan juga semangatnya. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah mulai mengalir.
     “Erk…Mariam, sebenarnya…Khaulah telah syahid sewaktu serangan Israel di bumi Syria seminggu yang lalu. Zinnirah mendapat tahu daripada berita di kaca tv.”
Mariam amat terkejut dengan berita itu. Riak wajahnya berubah menjadi sebak. Dia menunduk. Terdiam seribu bahasa. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan di bibirnya. Air mata sudah jatuh berguguran. Kesedihan di hati masih belum terubat lagi namun telah datang berita yang begitu memilukan jiwanya. Peritnya hati ibarat dihiris dengan sembilu.
Mariam kehilangan seorang sahabat yang amat disayanginya. Ternyata Allah lebih menyayangimu wahai sahabatku. Sekian lama Allah mengujimu dengan pelbagai mehnah. Pemergian ummi dan abi yang sangat dicintai. Kesulitan hidup dalam membesarkan adik-adik. Namun engkau tetap tabah tatkala onak dan duri datang menerpa dirimu. Tidak sesekali kau gentar bersemuka malah menentang musuh-musuh Islam yang muncul di hadapanmu. Ternyata jiwamu amat kental sahabatku. Semoga Allah merahmati rohmu di alam sana.

Mariam terbatuk-batuk. Segumpal darah telah keluar dari mulutnya. Zinnirah naik cemas. Dia segera mencapai sehelai kain lalu mengesat mulut Mariam.
     “Zinnirah, Mariam nak solat.”
Zinnirah angguk tanda faham. Dia segera membantu Mariam mengambil wudhuk. Mariam menggunakan debu tanah untuk bertayammum. Dia hanya solat berbaring di atas katil. Zinnirah menjadi imam. Mariam mengikut setiap gerak gerinya. Dia mengangkat takbir lalu beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Seusai sahaja solat, Zinnirah bangkit meluru ke arah Mariam. Namun dia mendapati Mariam sudah pergi meninggalkan dunia buat selama lamanya. Air mata sudah mengalir. Lantas diambilnya sehelai selimut lalu menutupi sekujur tubuh Mariam. Suasana berubah menjadi hening. Zinnirah mengesat air matanya. Dia redha atas segala ketentuan yang telah ditakdirkan oleh-Nya.
Benarlah Ya Allah… Mariam dan Khaulah saling mencintai dan menyayangi. Engkau telah memakbulkan doa mereka berdua.
   “ Damailah kalian di alam sana. Semoga syahid mengiringimu wahai sahabatku…”



Sebarang terbitan karya@artikel sila emelkan ke pmium123@gmail.com
PMIUM | inspirasi bersama


No comments:

Post a Comment