Sunday 7 September 2014

Kalam Presiden PMIUM: SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS, MAKNAKAN ZAMAN MAHASISWA

      Permulaan September sememangnya sinonim dengan fasa kemasukan mahasiswa universiti-universiti tempatan ke kampus masing-masing.

       Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan ini mengucapkan selamat memulakan semester baru buat semua mahasiswa seluruh kampus, terutama mahasiswa tahun pertama yang baru sahaja selesai menjalani Minggu Haluan Siswa bermula 1 September yang lalu.

      Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh warga PMIUM ingin merakamkan jutaan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Hal Ehwal Pelajar serta para Pemudahcara Mahasiswa yang telah bertungkus lumus menjayakan Minggu Haluan Siswa.

      Semoga segala aktiviti yang bermanfaat membuahkan hasil yang positif.

       Buat mahasiswa yang masih dalam proses menyesuaikan diri, semangat yang masih mekar dan segar tidak seharusnya terhenti bersama-sama pengakhiran Minggu Haluan Siswa yang kalian ikuti.

      Saban hari pasti akan dilalui pengalaman demi pengalaman baru yang mematangkan. Kenalpasti hala tuju dan nilailah sebaiknya realiti yang bakal ditempuhi di medan ilmu ini agar tidak tersasar jauh dari matlamat.

       Saya juga ingin menyeru diri saya dan rakan-rakan mahasiswa agar tidak mensia-siakan zaman kemahasiswaan yang sedang kita lalui ini dengan hanya mengisi ruang dan peluang yang ada dengan rutin ‘kelas-kafe-katil’ tanpa mengutip sebanyak mungkin pengalaman yang ada.
       Gunakan ruang dan peluang yang ada ini semaksima mungkin.

      Manfaatkan majlis-majlis ilmu, usrah dan pelbagai bentuk aktiviti lapangan yang bermanfaat sebagai nilai tambah pembinaan sahsiah diri.

      Pilihan di tangan kita, maka buatlah pilihan yang terbaik. Akhir kata, selamat memaknakan zaman mahasiswa.



Khairol Najib Bin Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment