Tuesday 23 December 2014

Bencana Banjir : Kerahan semua pihak membantu mangsa banjir




Bencana banjir yang melanda Pantai Timur kini semakin parah . Beberapa kawasan dijangka akan tenggelam rentetan dari hujan yang tidak berhenti.Justeru, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM) menggesa kerahan semua pihak di setiap peringkat untuk membantu mangsa banjir. Agamawan, ahli profesional, ahli politik dan Mahasiswa diminta untuk bersatu membantu mangsa banjir. 


Bagi ahli Politik terutama Pakatan Rakyat perlu hentikan segera pergelutan dalaman mereka dan fokus bantu mangsa banjir. Pemimpin mereka sepatutnya memikirkan bagaimana ingin memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Keutamaan sekarang adalah memastikan mangsa banjir mendapat perlindungan dan makanan secukupnya.

Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pimpinan Pas sepatutnya memikirkan masalah perparitan yang menjadi antara punca masalah banjir ini. Jika Kerajaan Kelantan bersungguh untuk melaksanakan Undang-undang Hudud maka mereka juga sepatutnya perlu bersungguh memastikan masalah banjir ini dapat diselesaikan. Buktikan Negeri tersebut benar-benar membawa imej islam yang secara menyeluruh .PMIUM gesa agar Kerajaan Negeri Kelantan tubuhkan satu jawatankuasa mengkaji masalah perparitan ini.

Sehubungan dengan itu, PMIUM turut menggesa agar Kerajaan pusat juga perlu segera gerakkan jentera pasukan penyelamat pusat untuk membantu mangsa banjir . Hentikan segala kenyataan politik murahan yang langsung tiada faedah dan menumpukan perhatian kepada masalah banjir .

Ketepikan soal perbezaan politik dengan kerajaan negeri dan laksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan pusat yang berkhidmat untuk seluruh Malaysia.

Kepada PR dan BN, sesungguhnya rakyat kini tengah menderita dan ditimpa kesusahan. Ujian dari tuhan sepatutnya ditempuh bersama-sama dan bukannya sekadar berjanji semasa Pilihan Raya. Bekhidmatlah untuk Rakyat dan bukannya menyusahkan rakyat.

PMIUM juga meminta agar semua pihak tidak kira latar belakang berganding bahu membantu dengan segala kemampuan yang ada. Mangsa-mangsa banjir itu juga adalah saudara-saudara kita yang bernaung di bawah satu negara yang kita cinta, Malaysia. Kesusahan mereka adalah kesusahan kita bersama. 

Sabda Rasulullah :Sesiapa yang tidak mengambil berat dengan urusan muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka(At-Tabari)


Mohamad Luqman Nul Haqim bin Zul Razali
Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa 
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM

PMIUM | Inspirasi Bersama

1 comment: