Saturday 20 December 2014

MAHASISWA MUAK TAFSIRAN PALSU TUN M



Lagi, pentafsir al Quran jadian berpangkat Tun mengguna pakai Al Quran untuk membantutkan nilai kemahasiswaan. Sudah muak mendengar tafsiran seorang yang hanya semata-mata akal menjadi rujukannya. Dahulu melontarkan kepada marhaen didalam satu forum dengan dakwaan, mana ada hudud di dalam Al Quran. Ia hanyalah rekaan ulama sahaja. Kini sekali lagi dengan megah ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Melayu Islam Menuju Wawasan 2020’ pada Konvensyen Kepimpinan Melayu Muda Nusantara (NUSA’14) di Kuala Lumpur  berkata, manada ayat di dalam Al Quran yang menyuruh pergi berdemo.

Sudahlah wahai Tun, sudah 40 tahun kamu merantai serta memandomkan anak muda yang bergelar mahasiswa dengan Auku itu. Dek kerana kamu takut dengan "Mahasiswa Progresif" yang membawa suara kebenaran, yang membela masyarakat tempatan dan yang mahu menumbangkan kezaliman, kamu cipta racun Auku yang merapuhkan serta melembabkan Generasi muda kamu sendiri.

Racun kamu hanya mampu melemahkan namun tidak sekali mematikan semangat Mahasiswa. Desakan demi desakan mahasiswa lakukan, Racun Auku dipinda dan terus dipinda dan 2012 di bawah kepimpinan Dato Saifudin Abdullah, rombakan terbesar didalam Auku dilakukan.

Jika anak kecil boleh lah di permainan dengan hujah palsu berkenaan. Tapi ini mahasiswa. Golongan yang punya idealisme, intelektualisme yang merupakan aset penting kebanggaan sesebuah negara. Al Quran tidak diturunkan dan hanya untuk dibaca serta difahami. Di sebaliknya ada banyak ilmu yang perlu kita pelajari dan kuasai untuk memahami dan melaksanakan tuntutan di dalamnya.

Siapa kata didalam Al Quran tidak ada  seruan berdemo? Buka al Quran dan baca surah al imran ayat 104 yang mana menyatakan, "dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Kami mahasiswa. Mahu jadi orang yang berjaya. Justeru itu, kami tidak jemu dan lelah memperjuangkan kebaikan dan menumbangkan kezaliman dan kemungkaran. Demo itulah salah satu wasilah(cara) untuk menyampaikan mesej kepada penzalim bahawasanya kezaliman itu akan terus menerus ditentang.

Muhammad Syazmee Sapian
Mahasiswa Tahun 1 Universiti Malaya

Aktivis Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

PMIUM | Inspirasi Bersama

No comments:

Post a Comment