Sunday 28 December 2014

KENYATAAN MEDIA MISI BANJIR MAHASISWA


KENYATAAN MEDIA MISI BANJIR MAHASISWA
ISNIN, 29 DISEMBER 2014
Bencana Banjir, Mahasiswa Turun ke Lapangan
Bencana banjir yang menimpa beberapa buah negeri di Malaysia terutama di Pantai Timur merupakan antara sejarah terbesar kejadian bencana di negara ini. Sehingga hari ini, angka yang dicatatkan bagi jumlah mangsa banjir melibatkan lebih 100,000 mangsa. Ketika bantuan dari seluruh negara giat disalurkan, mahasiswa juga tidak terkecuali dalam mengambil peranan sebagai aktivis kemanusiaan dalam misi membantu masyarakat yang terlibat dalam musibah tersebut. Setakat ini sahaja, beberapa pasukan telah dihantar ke beberapa lokasi banjir di Perak dan Kelantan, seperti yang telah diusahakan oleh pasukan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Mahasiswa juga tidak ketinggalan dalam membantu pihak-pihak tertentu menyediakan barang-barang bantuan untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Walaubagaimanapun, tenaga yang diperlukan bagi membantu mangsa banjir masih tidak mencukupi. Sememangnya ramai di kalangan mahasiswa yang benar-benar ingin menawarkan diri menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir, namun disebabkan fasa sekarang ini merupakan minggu peperiksaan akhir semester, kebanyakan mahasiswa menghadapi kekangan untuk ke lokasi banjir.
Atas dasar tanggungjawab serta kesedaran yang tinggi terhadap nilai kemanusiaan, perjuangan mahasiswa membantu masyarakat tidak akan terhenti begitu sahaja. Musim peperiksaan bukanlah alasan untuk mahasiswa berhenti dari berbakti. Permohonan menduduki peperiksaan khas akan cuba didapatkan bagi sukarelawan yang terpaksa ke lokasi banjir atas keperluan mendesak mangsa-mangsa yang sedang bertarung nyawa menagih bantuan di sana.
Justeru, pada hari ini, akan dilancarkan Misi Banjir Mahasiswa (MBM) yang ditubuhkan sendiri oleh mahasiswa dan akan dikelola 100% oleh mahasiswa. Misi ini telah disambut baik oleh GAMIS, PMIUM, KOMNAS, BERSATU PERAK serta MAJLIS PERMUAFAKATAN MAHASISWA SELANGOR (MPMS) dan kami akan bekerjasama untuk menjayakan misi ini. Gerakan Misi Banjir Mahasiswa ini bakal menghimpunkan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa seluruh Malaysia, dan pergerakannya berpusat di UM yang akan diketuai oleh Khairol Najib Hashim sebagai Pengarah Operasi. Menerusi medium ini, para sukarelawan mahasiswa akan dihantar ke pusat-pusat operasi banjir, pusat pengumpulan barang bantuan, pusat pemindahan mangsa banjir dan juga ke lokasi banjir di setiap negeri yang terlibat dalam bencana banjir ini.
Situasi mangsa-mangsa banjir yang tidak terurus bakal mendapat perhatian daripada pasukan sukarelawan mahasiswa yang akan sedaya upaya mengusahakan bantuan dari sudut kewangan dan keperluan asas, serta sokongan moral dan pembinaan aspek kerohanian dalam fasa mereka menghadapi musibah ini. Tindakan penubuhan Misi Banjir Mahasiswa ini juga sememangnya menyambut baik seruan Dato Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II Malaysia yang menyatakan bahawa semua universiti awam dan swasta di negara ini digesa menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa banjir.
Mahasiswa Desak Kerajaan Malaysia Isytihar Darurat
Berikutan kondisi negeri-negeri yang mengalami bencana banjir di tahap yang kritikal terutamanya negeri Kelantan, mahasiswa dengan ini mendesak Kerajaan Persekutuan agar mengisytiharkan darurat ke atas negeri-negeri berkenaan. Umum mengetahui bahawa keadaan di Kelantan adalah parah sehingga mencatatkan jumlah kematian yang kian meningkat di beberapa buah lokasi. Rakyat negeri Kelantan juga mewakili peratusan terbesar daripada jumlah mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.
Merujuk kepada Perkara 25 Arahan no.20, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara oleh Majlis Keselamatan Negara, Kerajaan Malaysia sepatutnya telah mengisytiharkan darurat di negeri-negeri yang terjejas teruk akibat bencana banjir ini. Keengganan pihak Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat seakan-akan bertentangan dengan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh mereka sendiri.
Mengulas berkaitan respon Perdana Menteri yang enggan mengisytiharkan darurat seperti yang dituntut oleh rakyat dengan alasan untuk membolehkan rakyat mendapatkan insurans, mahasiswa sebagai rakyat sama sekali tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Adalah tidak relevan tuntutan darurat dinafikan dengan jawapan semudah itu. Di mana rasionalnya kerajaan sekiranya menganggap semua rakyat mempunyai insuran yang terjamin? Bagaimana halnya dengan rakyat miskin di pedalaman yang tidak pernah mempunyai sebarang jaminan insuran?
Sekiranya pengisytiharan darurat bencana dibuat, maka keseluruhan aset Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi aspek pengurusan bencana. Oleh itu, mahasiswa yakin bahawa pengisytiharan darurat bakal menatijahkan usaha-usaha bantuan dan menyelamat yang lebih efisien di mana setiap agensi kerajaan akan mengeluarkan arahan dengan lebih mudah tanpa keterikatan dengan birokrasi yang membebankan, sekali gus memakan masa. Kerahan bagi usaha menyelamat oleh pihak polis dan tentera juga akan lebih menyeluruh.
Kami mahasiswa juga berharap agar bantuan dari semua pihak terutama pihak Kerajaan Persekutuan tetap diteruskan walaupun setelah fasa pasca-bencana banjir bagi proses baikpulih dan pembinaan semula.
Di kesempatan ini, saya, Khairol Najib Bin Hashim membuka seluas-luasnya ruang kepada mahasiswa dari seluruh kampus di Malaysia untuk turut menawarkan diri sebagai sukarelawan mahasiswa dengan menyertai Misi Banjir Mahasiswa ini.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Hotline MBM di talian 0133020329.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,
Khairol Najib Hashim
Pengarah Operasi
Misi Banjir Mahasiswa
Disokong oleh :
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Kelab Komuniti Anak Negeri Sembilan (KOMNAS))
Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU)
Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS)

No comments:

Post a Comment