Friday 5 December 2014

Pilihanraya Kampus Universiti Malaya

Pilihanraya kampus Universiti Malaya yang telah membuka tirainya bermula 1 Disember dan berakhir pada 4 Disember 2014. Sejajar dengan kampus-kampus lain, aktiviti pemilihan majlis perwakilan mahasiswa ini sememangnya menjadi tradisi tahunan bagi kampus Universiti Malaya. Pilihanraya kampus adalah satu medium penting bagi mahasiswa memilih kepimpinan mahasiswa yang berperanan menjadi jurubicara mereka, di samping majlis perwakilan mahasiswa inilah yang akan mengangkat nasib mereka di kampus Uni Malaya ini.

Dalam Islam, soal kepimpinan bukanlah satu perkara yang remeh. Jika kita menyingkap kembali kisah di zaman sahabat dalam peristiwa Saqifah Bani Saadah, kita dapat melihat dengan jelas peri pentingnya agenda memilih kepimpinan. Dalam peristiwa tersebut, hanya segelintir sahaja sahabat, khususnya ahli keluarga Baginda Rasulullah SAW yang menguruskan jenazah Baginda. Selebihnya menuju ke kediaman Saad bin Ubadah bagi memilih khalifah untuk menggantikan Rasulullah SAW.

Lembaran sejarah juga menunjukkan, soal kepimpinan antara faktor utama yang mencetuskan pelbagai ketegangan. Ada manusia yang sanggup berbunuhan –termasuk ahli keluarga sendiri- hanya kerana merebut kedudukan. Hal ini berlaku bilamana nafsu serakah menguasai diri dan tidak meletakkan semangat wahyu dan agenda nilai di hadapan.

Mahasiswa selaku kelompok yang dilihat masyarakat sebagai golongan bijak pandai perlu membuktikan kematangan mereka dalam soal memilih kepimpinan. Kematangan yang dimaksudkan termasuklah bijak dalam menimbangtara baik dan buruk, celik dalam menilai dan tidak bersikap semberono serta sedar akan hak dan tanggungjawab. Kejelikkan politik yang diamalkan sebahagian politikus dalam Negara hari ini perlu dijadikan sempadan oleh mahasiswa.

Dengan ini, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ingin menyeru kepada mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya sekalian untuk cakna dengan fatrah pilihanraya kampus yang telah bermula semalam (1 Disember 2014) dan hari pengundian (4 Disember 2014). Berpartisipasilah dengan menunaikan tanggungjawab dan kewajipan anda sebagai pengundi.

Undi anda penentu kepimpinan mahasiswa di kampus tercinta ini. Pilihlah dengan bijak.

Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)





No comments:

Post a Comment