Wednesday 26 November 2014

DEBAT PRO-M, GERAK DIJANGKA HANGAT



Kuala Lumpur: Debat Pedana Presiden 2014 yang bakal menampilkan wakil dari Pro Mahasiswa Universiti Malaya (Pro-M UM) dan Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (GERAK) dijangka akan menaikkan lagi momentum kehangatan pilihanraya kampus UM (PRK UM).

Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Luqman Zul Razali berkata, program debat seperti ini sangat wajar diadakan di samping menambahkan kemeriahan PRK UM, ia juga sebagai medan bagi menyuburkan nilai demokrasi di kampus.

"Sesi lepas, UMESS telah mencipta sejarah dengan menyediakan ruang debat bagi kedua-dua pengerusi Pro-M UM dan GERAK. Dan pada sesi ini, UMESS sekali lagi menganjurkan debat dengan konsep yang sama. Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik", ujarnya.

Luqman juga menyebut, kedua-dua pendebat perlu memanfaatkan ruang ini bagi menceritakan kepada mahasiswa UM apa yang mereka ingin bawa dalam kepimpinan sesi ini dan menjauhi serangan peribadi.

"Kedua-dua pendebat perlu menyampaikan hujah masing-masing dengan matang. Ini peluang terbaik bagi menerangkan apa yang kedua-dua pihak bawa supaya mahasiswa dapat menilai", tegasnya.

Tambahnya, beliau di peringkat PMIUM mengharapkan PRK UM kali ini akan memperlihatkan politik kampus yang baru dan segar tanpa dipengaruhi sebarang unsur politik yang tidak sihat.

"Diharapkan PRK UM kali ini akan menjadi medan persaingan yang sihat. Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak politik luar yang kurang sihat. Mahasiswa selaku golongan cerdik pandai perlu menunjukkan mereka mampu berpolitik secara matang dan kompeten", jelasnya.

Esok, Sekretariat Mahasiswa Fakulti Ekonomi UM (UMESS) sekali lagi akan menganjurkan debat presiden sempena PRK UM yang dijadualkan pada minggu hadapan. Pro-M UM bakal diwakili pengerusinya Safwan Shamsuddin dan GERAK diwakili Wan Suhail. -mahasiswakini


No comments:

Post a Comment