Saturday 16 August 2014

KENYATAAN TERBUKA PMIUM KEPADA PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) MENJELANG 17 OGOS


      Saya Khairol Najib selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menggesa agar PAS bangun daripada tidur dan membuat keputusan yang memihak kepada konsensus Pakatan Rakyat yang dipilih oleh majoriti rakyat Selangor.

      Saya juga menasihatkan agar PAS perlu lebih proaktif dalam mengendalikan krisis dengan membuat pendirian yang cepat dan menepati konteksnya demi survival politik PAS di Malaysia.

      Realitinya, tindakan 30 Adun menyokong Dr Wan Azizah selaku menteri besar yang baru, menunjukkan tiada lagi alasan untuk PAS terus menyokong Khalid. Hal ini merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri dan enakmen yang berkenaan dan bagi menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor.

      Tindakan ini sangat penting bagi mengembalikan tampuk pemerintahan Kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas dan bukannya kepada "kerajaan Khalid".

     Saya mengingatkan, agar PAS tidak mudah timbul tenggelam dengan krisis kedudukan Khalid dan mengorbankan prinsip yang lebih penting, nama baik, akhlak politik dan amanahnya atas nama PR yang ia perolehi daripada rakyat Selangor.

     Oleh itu, saya juga berharap agar pimpinan PAS membuat keputusan yang benar-benar rasional pada 17 Ogos ini berdasarkan hujah dan timbang tara yang masak dengan membuat keputusan untuk terus kekal bersama pakatan yang telah dibina oleh PAS bersama rakan-rakan poitiknya selama ini dalam memperjuangkan masa depan rakyat Malaysia yang lebih cerah.


Khairol Najib Hashim
Presiden PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya)

No comments:

Post a Comment