Sunday 27 July 2014

Kalam Pimpinan :Perutusan Khas Aidilfitri Presiden PMIUM



      Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan. Alhamdullilah, hari ini  kita menyambut kedatangan Syawal sebagai tanda kemenangan kita dalam perjuangan dengan penuh ketaatan terhadapNya sepanjang Ramadhan.

     Perjuangan dalam bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai satu jihad dalam setiap diri individu. Hal ini kerana jihad itu sendiri membawa maksud bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Bagi umat Islam, berpuasa itu bukan sahaja berjihad dalam menahan nafsu daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan sentiasa menjaga fizikal dan mental ke arah disiplin yang bersenjatakan iman dan taqwa.


         Anggaplah apa yang sering kita lakukan yakni pertambahan nilai ibadah dan penghindaran daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini adalah satu langkah dan latihan berterusan untuk melakukan perubahan terhadap diri kita. Teruskan momentum positif sepanjang bulan Ramadhan ini dengan penuh konsisten dan memperoleh keberkatan serta keredhaan daripada Allah. Sesungguhnya, kemenangan yang lebih besar ialah apabila kita mampu mengekalkan momentum positif yang dikecapi sepanjang Ramadhan ini dalam penghayatan erti keabdian kepada Allah.


     Namun, jangan dilupakan akan sesuatu iaitu kemenangan perjuangan panji-panji Islam dalam proses pembelaan maruah Islam dan umat Islam diseluruh dunia. Pada awal Ramadhan ini, seperti sebelumnya, Palestin masih belum lagi sunyi daripada keganasan serangan rejim Zionis. Betapa ramai umat Islam yang diragut nyawanya saat yang pada ketika ini ramai umat Islam lain hanya mampu melihat dan mendengar tanpa berbuat apa-apa.


      Dalam menyambut kedatangan Aidilfitri yang mulia ini, kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang mampu meruntun hati kita sebagai menjaga hubungan dengan Allah dan manusia (Hablum min Allah, Hablum min Nas). Saat ini, kebergantungan kepada Allah untuk memohon perlindungan dan memberi kekuatan kepada rakyat Palestin dalam titipan doa di samping menjalankan tanggungjawab kita dalam kesediaan menjadi muslim sejati menjadi keutamaan.


      Apakah peranan kita sebagai muslim untuk menolong mangsa keganasan rejim Zionis yang masih lagi berlaku sejak dari 1948 lagi? Ianya bukan hanya bermusim; bukan 20 tahun,30 tahun, 40 tahun tapi sehingga perjuangan kebebasan yang dibelenggu kemelut penindasan ini selesai. Kita hanya marhaen tapi mampu membawa perubahan besar dalam keadaan ini walaupun dalam kondisi yang minima iaitu boikot. Saya di peringkat PMIUM melihat ini sebagai salah satu jalan untuk menunjukkan solidariti kita terhadap rakyat Palestin.


     Seterusnya, marilah kita sama-sama mengimarah dan mewujudkan kembali budaya ziarah-menziarahi sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang kian menjadi pudar. Bina kembali ikatan kasih sayang sempena Aidilfitri ini. “Yang jauh dekat-dekatkan, yang dekat, rapat-rapatkan”. Aidilfitri adalah antara ruang untuk merapatkan silaturrahim melalui budaya ziarah-menziarah dan memohon keampunan. Anak-anak yang merantau jauh dari kampung akan pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana seperti ini.


    Namun, dalam menyambut kemeriahan Syawal jangan dilupakan kepada batas-batas dalam bermuamalah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menjaga tutur bicara`dengan mengeluarkan kata-kata yang baik tanpa menyinggung perasaan orang lain. Pertuturan yang baik mampu untuk mengekalkan keharmonian dalam perhubungan. Selain itu, bersalam-salaman dengan hanya orang yang dibenarkan oleh syarak. Penganjuran untuk bermaaf-maafan pada hari raya bukanlah bermaksud perlu bersalaman dengan orang lain yang berlainan jantina dan bukan muhrim.


     Akhir kalam, kita adalah insan yang kerdil yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Di hari raya yang mulia ini kita seharusnya bermuhasabah dan menginsafi diri akan keadaan ini serta mensyukuri atas segala kerahmatan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.


Selamat hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Khairol Najib Hashim,

Presiden PMIUM.

~PMIUM Inspirasi Bersama~



No comments:

Post a Comment