Saturday 4 October 2014

Perutusan Khas Presiden PMIUM : Aidil Adha dan pengorbanan



Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

Subhanallah, Alhamdullilah, Allahuakbar.

      Segala kesyukuran kepada Allah S.W.T atas lindungan dan rahmat kasih-sayangNya kita masih lagi berada di muka bumi ini. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan sahabat baginda.

      Alhamdullilah, umat Islam  menyambut Hari Raya Aidil Adha atau lebih sinonim di Malaysia dengan Hari Raya Korban hari ini. Hari Raya Aidil Adha adalah satu anugerah bermakna daripada Allah kepada semua umat Islam di muka bumi ini. Sebagaimana yang umat Islam ketahui Hari Raya Aidil Adha memberi makna untuk menyingkap kembali sejarah yang tercatat dalam Al-Quran mengenai Hari Raya Korban iaitu kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail . 2 per 3 daripada isi Al Quran menyingkap sejarah yang penuh hikmah untuk dijadikan panduan dan ibrah kepada kita semua. Semoga kisah ketaatan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim kepada Allah dijadikan sebagai benih dan bibit taqwa dalam diri.

      Nabi lbrahim diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihkan anaknya sendiri yakni Nabi Ismail. Naluri seorang ayah jika difikir secara logiknya tidak mampu untuk dilakukan. Namun, ujian seberat ini mampu dilalui kerana ketaatan yang sempurna kepada Allah. Pengorbanan kedua-dua Nabi Allah ini dapat memperlihatkan tiada apa-apa yang mengatasi selain daripadaNya. Keimanan kepada Allah adalah perkara yang utama dalam diri setiap mukmin. 

      Sifat pengorbanan daripada sorotan sejarah ini perlu dihayati dan dipasak dalam diri sebagai bekalan untuk menjadi insan yang berguna kepada Allah dan masyarakat sekeliling. Sebagai mahasiswa, jadikan sejarah pengorbanan ini pemangkin untuk kita bergerak dalam melakukan kerja-kerja dakwah dalam masyarakat. Pengorbanan jiwa dan harta sangat diperlukan supaya kita semua mampu menjadi ‘jurutera masyarakat dan ummah’ yang diredhai oleh Allah.

      Justeru, marilah bersama-sama kita menjadikan aidil adha sebagai satu langkah permulaan untuk kita maju ke hadapan sebagai mukmin yang berjaya dan rela berkorban harta dan jiwa kerana Allah. Semoga Allah merahmati setiap langkah yang kita lakukan pada hari ini.


Khairol Najib Hashim,
Preseiden PMIUM 14/15


No comments:

Post a Comment