Thursday 2 October 2014

Cerpen : Peluang Kedua



PELUANG KEDUA
KARYA: NUR AQILAH BINTI ABD RAHIM (HQ)
PERUBATAN
TAHUN PERTAMA

* * *


                        “You dah siap belum? I dah nak gerak ni”, tanya Fina sewaktu menghubungi Khairi.

                        “Belum! Kejap lagi sayang. Amboi! First date dah excited eh dia”, balas Khairi sambil tersengih namun tidak dapat dilihat oleh buah hati pengarang jantungnya itu.

                        “Mestilah. Hehe. You handsome handsome okay. I amik you kat tempat biasa tau.”

                        “Beres. Eh kejap! You cakap apa kat mama and papa you? Dorang tahu ke you nak ngedate ngan I ni?”. Risau juga Khairi ingin ber’dating’ dengan anak dara orang. Yalah, anak orang berada katakan.


                        “I tipulah kat dorang. I cakap I nak meet up Emma, lagipun Emma tengah cuti ni. Alah pandai-pandai la I. You tak payah risau okay. I’ll do anything for you, darling. Cepat siap okay. I on my way”, jawab Fina. Betul lah, bila dah cinta sanggup ditipunya ibu bapa yang dari kecil membesarkannya tanpa sebarang kekurangan.

                        Hari ini merupakan hari pertama untuk Fina dan Khairi keluar berdua-duaan umpama pasangan yang selalu menyakitkan mata umum di pusat membeli-belah kala ini. Hujung minggu di mana Khairi dan Fina masing-masing sanggup untuk pulang dari tempat belajar mereka semata-mata untuk bertemu dan bermadu asmara.

                        Rakan-rakan Fina tidak ramai yang tahu akan hubungannya dengan Khairi apatah lagi ibu bapanya. Fina yang sering digeruni oleh lelaki lain asbab keturunan yang hartawan dan perwatakannya umpama jinak-jinak merpati; sukar didekati oleh lelaki lain. Kecuali Khairi. Entah apa yang ada pada Khairi. Rupa sederhana dan bukanlah dari keluarga yang berada. Cuma gayanya ada. Bersosial dan sweet talker. Merokok dan bershisha sudah sebati dengan dirinya. Cuba disembunyikan daripada Fina namun Fina tidaklah terlalu naïf untuk ditipu. Sungguhpun begitu, Fina masih inginkan Khairi. Syaitan berjaya merasuknya, mungkin.





* * *

“ I love you, always”, bisik Khairi ditelinga Fina yang ditutup tudung.

Terkedu Fina tatkala belakangnya dirangkul manja oleh Khairi, teman lelaki yang sangat dicintainya. Ingin menolak, iman Fina telahpun luntur. Lantas dibalas kepada Khairi senyuman yang manja buat insan tersayang.
           
“ Me too, sweetheart”, balas Fina dengan senyumannya yang sangat manis jika dilihat oleh mana-mana lelaki. Iman lelaki mana yang tidak tergoyah dengan senyumannya yang menawan, ditambah pula lesung pipit yang comel dipipi Fina yang gebu; hanya lelaki yang betul-betul beriman sahaja yang tidak akan goyah melihat senyuman itu, atau mungkin hanya menundukkan pandangan lantas beristighfar.

“ Jomlah masuk wayang. Dah nak start ni, sayang”, kata Khairi yang bertubuh tinggi tegap dan berperwatakan menarik sambil menarik tangan Fina dan berjalan beriringan menuju ke pawagam. Fina hanya akur pada buah hatinya itu. Tidaklah sehandsome Fizo Omar mahupun Fahrin Ahmad. Tetapi apabila syaitan telah mencantikkan Khairi di mata Fina, jangankan Fizo Omar mahupun Fahrin Ahmad, Shah Rukh Khan pun tidak dipandang oleh Fina.

Ketika di pawagam, Fina dan Khairi duduk di ‘couple seet’. First date katakan. Setelah lebih setahun bercinta, akhirnya dapat jua mereka bertemu untuk keluar bersama-sama. Selama ini mereka hanya menghubungi melalui ‘Whatsapp’ dan saling berhubung setiap malam atau setiap pagi melalui panggilan telefon. Tiada yang lebih indah bagi pasangan yang bercinta daripada menatap dan keluar berdua-duaan bersama insan yang tercinta sehingga dilupakan terus Dia yang Maha Pencipta Cinta.

Khairi dan Fina tidaklah jangkal ilmu agama. Sebaliknya masing-masing sebelum ini pernah ditarbiah dan berusrah di sekolah asrama masing-masing. Kedua-duanya tahu hukum lelaki dan perempuan berdua-duaan itu dosa dan mereka juga tahu bersentuhan dengan bukan mahram adalah dosa. Namun, tatkala diuji antara cinta manusia dan cinta Ilahi, siapa sahaja tak rebah? Walhal bukan hendak memberontak, Fina yang merupakan naqibah bagi usrahnya berasa tertekan kerana  sudah penat untuk berpura-pura baik di hadapan anak-anak usrahnya. Dia sering sahaja melihat kakak-kakak naqibahnya yang turut rebah jatuh pada bab ikhtilat dan cinta kepada ajnabi. Jadi sangkanya setelah tamat persekolahan itulah masa yang terbaik untuk menjadi dirinya yang sebenar.

Jika dulu di sekolah asramanya, Fina sering dilabel oleh ajnabi sebagai perempuan yang sangat pemalu dan selalu mengenakan jilbab labuh, masuk sahaja program asasi di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia, terus ditinggalkannya. Tudung singkat dan jarang menjadi pilihan agar sentiasa kelihatan cantik dimata Khairi yang menyambung pengajiannya di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan pada peringkat diploma kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak memberangsangkan.
           
Fina dan Khairi saling mengenali sejak dibangku sekolah rendah lagi. Entah syaitan mana yang menghasut mereka sehingga perhubungan mereka masih kekal meskipun pada menengah rendah masing-masing terpisah kerana belajar di sekolah asrama yang berbeza. Tatkala pulang dari asramalah yang mereka nanti-nantikan. Meskipun pada awal perhubungan Fina sangat tegas lebih-lebih lagi apabila sering ditarbiah tentang ikhtilat manakala Khairi pula sekadar ahli usrah yang sekejap hadir sekejap tidak di sekolahnya hanya mengikut sahaja ketegasan Fina itu. Sangka Khairi, satu hari nanti Fina pasti akan jatuh hati padanya kerana dia kenal sangat Fina yang susah untuk mempunyai kawan lelaki kerana sifat pemalunya itu.

Benarlah syaitan tidak akan mengalah sehinggalah pada tingkatan empat, mereka saling meluahkan rasa cinta. Lantas, hubungan itu disembunyikan oleh sesiapa seboleh mungkin. Yalah, Khairi turut risau jika nama buah hatinya tercemar; sudahlah naqibah, bercinta pula. Sehinggalah tamat SPM, hubungan yang mula-mula tegas kerana title bekas naqibah yang dipegang oleh Fina lama-lama menjadi-jadi melampaunya. Saling mengungkapkan rindu dan cinta walhal Fina tahu itu sudah jauh melanggar ikhtilat yang dulu sering disampaikan kepada anak-anak usrahnya.


* * *

Dalam bilik pawagam yang sangat sejuk dan gelap, Fina membuangkan segala fikiran-fikiran silamnya yang menjerit mencari Ilahi. Dia pura-pura berasa selesa dan bahagia kerana berada di sisi kekasih tercintanya yang sedari tadi menggenggam erat tangannya. Hati Fina berbisik, “ Betul ke apa yang aku buat ni. . . Tapi aku bahagia sangat” . Dipejamkan matanya untuk melupakan bisikan hatinya yang mencari kebenaran sambil mendakap Khairi. Khairi tekejut bukan kepalang kerana dia tahu Fina tahu akan batasnya namun iman Khairi telahpun terhakis dari kebenaran justeru membiarkan sahaja Fina berbuat begitu padanya.


* * *


“Astarghfirullahaladzhim . . . . “ terjaga Fina dari  mimpi masa lalunya. Dia bingkas bangun setelah mendapati jam telefon pintarnya menunjukkan pukul 4.15 pagi. Dia membaca doa bangun tidur lantas bergerak menuju ke tandas setelah mengemaskan katilnya. Diambil wuduk dengan tertibnya sambil hatinya membisik, “ Ya Allah, lupakan aku tentang kisah laluku”. Didirikan solat tahajjud dan solat taubat. Seusai solat taubat, matanya basah lencun. Mujurlah Fina jenis yang lembut hati dan mudah mengalirkan air mata. Tambah-tambah pada waktu sang Pencipta sedang menarik lembut dirinya kembali padaNya.




Fina akhirnya akur pada perpisahannya dengan Khairi dua bulan yang lalu lantaran sifat Fina yang kuat mengongkong dan terlampau cemburu. Puas dipujuk lelaki yang dahulunya dirasakan sangat istimewa dalam hidupnya namun dia penat akhirnya. Menyedari rakan-rakannya menyokong Fina untuk meninggalkan masa lalu itu dan sering memotivasikannya untuk kembali ke pangkal jalan membuatkan Fina lebih kuat. Jujur pada awalnya Fina sangat lemah kerana hidupnya dulu selalu digantungkan kepada Khairi,lelaki yang sangkanya mampu membimbingnya sebaliknya menjadikan dia semakin liar. Fina sering menipu ibu bapanya sewaktu bersama Khairi untuk keluar rumah. Walhal ibu bapanya sangat menyayanginya kerana Fina tidak pernah menghampakan mereka dalam pelajaran. Pelajar perfect score katakan. Namun, seperfect mana yang dia mampu bertahan kerana akhirnya dia gagal dalam menjadi seorang muslimah yang bertakwa. Bukan dia lupa bahawa dia pernah menjadi ketua usrah, tetapi dia telahpun akur segalanya dahulu bisikan syaitan yang selalu diturutinya. Boleh sahaja dia lawan bisikan itu kerana dia jauh berkuasa kepada setiap perbuatannya namun masa lalu telahpun berlalu.

Kini Fina bangkit melupakan masa lalunya dan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik. Setiap tingkahnya kini dirasa bagai diperhati dan ditegur sehinggakan apabila terbangun awal-awal pagi, disangkanya Allah mengejutkannya untuk bangun mengabdikan diri padaNya. Subhanallah. Rakan yang selalu menasihatinya, Athirah kagum melihat perubahan drastik Fina itu. Fina menjadi semakin rajin turun ke surau meskipun sepanjang semester pertama dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke surau.

Athirah merupakan rakannya yang paling rapat di program asasi itu, sopan dan berakhlak mulia. Bukan tidak ditegur Fina sebelum ini namun sudah berbuih mulutnya tetapi hatinya tidak pula berhenti mendoakan sahabatnya itu untuk kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah, tatkala melihat Fina berubah, Athirahlah yang menjadi insan yang paling gembira kerana doanya telah didengar Allah. Tidak berhenti disitu, Athirah terus memotivasikan Fina kala waktu sedih Fina. Dia sedar, siapa sahaja yang tidak kecewa apabila cinta yang terjalin terputus asbab diri sendiri namun diingatkan Fina, untuk menjadi kuat kerana Allah dan melepaskan cinta manusia demi cinta Allah.


* * *

“ Ya Allah, ya Tuhanku. Terima kasih ya Habibi. Kau kembalikan aku kepada fitrahku. Inilah yang selama ini aku cari. Inilah yang selama ini aku rindui. Allahu, peganglah hati ini. Hati ini milikMu ya Allah. Jangan biarkan aku jauh lagi dariMu. Allahumma aameen”. Menitis air mata Fina tatkala berdoa setelah selesai solat taubat. Dia sedar kalau bukan kerana kuasa Allah, hubungannya dengan Khairi tidak mungkin akan terputus. Kalau bukan kerana Allahlah pemilik hati ini, tidak mungkin hati Khairi akan berpaling kerana kini dia sudah mendapatkan pengganti Fina.




Pada awalnya, Fina tidaklah setabah mana. Dilihat pasangan-pasangan lain keluar berdua-duaan di luar tatkala keluar bersama rakan-rakan, Fina terbayang akan pasangan itu adalah dia dan Khairi. Seolah-olah hatinya keliru betul kah ada perpisahan antara mereka berdua namun akhirnya Fina lali. Melihat akan pasangan yang berdua-duaan, didoakannya agar mereka kembali pada jalanNya. Kerana dia yakin, dirinya yang dahulunya teruk, terkandas dan terikutkan bisikan syaitan mampu bangkit, tidak mustahil orang lain juga boleh berubah pulang ke pangkal jalan. Kadangkala Fina malu sendiri apabila melihat anak-anak usrahnya yang masing-masing sudah menyambung pengajian di tempat yang berbeza menjadi jauh lebih baik daripada dirinya sendiri. Sedari Fina itulah hikmah hidupnya. Dia belajar daripada kehidupan yang dilaluinya sendiri.

Fina akur ajaibnya ujian Allah bukan untuk melemahkan, sebaliknya dia menjadi hambaNya yang lebih kuat. Lebih kuat melawan nafsu dan lebih kuat melawan godaan syaitan. Dia kembali menjadi Fina yang tegas dalam ikhtilat dan pergaulan dengan ajnabi. Pakaiannya juga sudah lebih labuh. Sesiapa sahaja boleh mengatakan dia berubah secara drastik, namun dia sahaja yang tahu dahulunya dia memang sebegitu rupa sewaktu di sekolah asrama. Terdengar juga bisikan sumbang dari rakan-rakan yang cuba untuk menjatuhkannya. Sempat didengar, “ Dah putus cinta terus nak jadi ustazah. Ceh !” dan macam-macam lagi. Dipekakkan telinganya sambil hati terus beristighfar memohon keampunan pada Allah.


Fina sudah mendapatkan apa yang hatinya tercari-cari selama ini. Kembali kepada sang Pencipta setelah putus cinta mungkin klise didengar namun andainya itulah jalan cerita bagi seorang hambaNya untuk kembali kepada Allah, begitulah caranya. Untungnya Fina tidaklah menjadi seperti mereka yang usai putus cinta terus mencari cinta lain. Sebaliknya Allah menggerakkan hatinya untuk terus kembali pulang kepada Sang Pencipta Cinta. Dia sangat bersyukur kerana telahpun kembali ke pangkal jalan meskipun pada awalnya terpaksa tertatih mendaki. Fina sedar syurga tidak mampu dibayar oleh wang ringgit justeru dia tekadkan niat untuk kekal pada landasan ini.


Mengenangkan sahabatnya, Athirah, dia sangat terharu akan pengorbanan sahabatnya itu, yang tidak berhenti menasihatinya. Bukan itu sahaja, Athirah sanggup menundakan kerjanya demi mendengar luahan kekecewaan Fina tatkala dia diberitahu akan Khairi sudah menemukan pengganti. Athirah sanggup mendengar Fina kerana dia yakin satu hari nanti Fina akan mendengar nasihat-nasihatnya untuk kembali kepada Pencipta. Fina tersedar akan betapa manisnya ukhuwah atas nama Allah kerana sudah tentulah sahabatnya itu tidak akan berbuat demikian melainkan kerana Allah. Didoakan sahabatnya agar menjadi jirannya di syurga Firdaus kelak kerana dia tahu tiada yang lebih indah daripada bersahabat sehingga ke syurga yang tertinggi.


* * *

“Assalamualaikum, mama dah bangun ke?”, tanya Fina yang menghubungi mamanya di rumah.

“Waalaikumussalamwarahmatullah. Dah sayang. Awalnya Fina bangun?”, tanya Puan Raudah.

“Saja bangun awal ma. Mama, papa mana?” .

“Papa tengah siap-siap tu nak subuh dekat surau,” balas mama Fina.

“Oklah mama. Fina nak siap-siap jugak solat kat surau. Mama doakan Fina dimudahkan urusan ya ma?”, manja Fina umpama anak bongsu walhal dia mempunyai dua orang adik di bawahnya.

“In shaa Allah sayang. Jaga diri,”.


Begitulah rutinnya hari-hari. Jikalau dulu setiap pagi dihubunginya Khairi untuk mendengar suara ajnabi itu, kini Fina semakin kerap menghubungi ibu bapanya. Baginya itulah sumber pahala yang termurah untuk dia peroleh, iaitu sering berhubung mendengar suara insan yang telah banyak berbakti padanya. Sudah dicampakkan masa silam itu jauh-jauh. Yang tinggal hanyalah tekad untuk menjadi muslimah yang dicemburui oleh para bidadari syurga.

 Tidak ada orang yang baik yang tiada masa lalu dan tidak ada orang yang jahat yang tiada masa depan. Apa yang mereka perlukan adalah ruang dan peluang untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Itulah yang digunakan oleh Fina, ruang dan peluang. Sedari nafasnya masih berbaki, dia tidak ingin mensia-siakan setiap detik yang diberi tanpa istighfar mahupun mengingatiNya. Bukan harta, rupa, pangkat mahupun keturunan yang dilihat Allah, sebaliknya iman, amal dan taqwa.


* * *

“Assalamualaikum” , Fina memberi salam sambil mengetuk pintu bilik Athirah yang hanya selang dua bilik dari biliknya.

“Waalaikumussalam, Fina. Awalnya awak. Sekejap ya “, balas Athirah yang sedang mencapai telekungnya sambil tersenyum.

“Takpe, saya tunggu ni. Belum azan subuh lagipun”.

Setiap pagi, setiap waktu Fina usahakan untuk solat berjemaah di surau. Athirahlah yang menemaninya; tanpa rungutan sebaliknya hatinya sering berbunga melihat perubahan Fina itu.

“Athirah, terima kasih ya. Selama ini, saya tahu awak selalu doakan saya. Sehingga sekarang, saya rasa tenang sangat”, kata Fina setelah mereka sampai di ruang solat muslimah di surau bawah blok kediaman mereka.

“Tak ada apa lah Fina. Janganlah buat saya terharu pagi-pagi begini. Satu je yang saya harap. Saya harap awak mampu kekal di landasan ini ya, Fina. Andai kita berjauhan masa degree nanti, saya harap awak terus kekal dengan semangat awak ini”, balas Athirah lembut menusuk ke hati Fina. Benarlah, kata-kata yang lahir daripada hati dapat dirasai oleh mereka yang mendengar dengan hati sehingga mengalir lembut ke sanubari.

“In shaa Allah. Saya harap Allah akan terus pinjamkan saya kekuatan yang saya ada ini,” jawab Fina dengan wajah yang tenang. Baginya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya Fina menperoleh sahabat sebaik Athirah.



* * *

Kata Saidina Umar al-Khattab, “mereka yang mempunyai masa lalu yang gelap berpeluang mencipta masa depan yang  terbilang”. Tiada siapa tahu apa yang menanti pada hari esok. Kutiplah pengajaran pada setiap peristiwa lalu hidup kita sebagai kekuatan untuk menjadi hambaNya yang lebih bertakwa kelak.

Wallahu ‘alam.


















No comments:

Post a Comment