Usai hukuman telah dijatuhkan kepada 8 orang Mahasiswa Universiti Malaya oleh pihak pentadbiran yang dikenali sebagai HEP. Antara hukuman yang paling berat yang dikenakan, Saudara Fahmi Zainol, bekas Presiden PMUM ses...i 2013/2014 digantung sebanyak 2 semester serta merta dan denda RM600. Manakala saudara Safwan Shamsuddin digantung satu semester dan denda sebanyak RM300. Kemudian, yang lain diberi amaran keras oleh pihak pentadbiran Universiti Malaya serta denda RM150. Hukuman ini sangat berat dikenakan bagi mahasiswa yang mahukan perjuangan kebebasan akademik. Inilah perjuangan mahasiswa, terpaksa berhadapan dengan mehnah dan tribulasi.
Persis perjuangan tokoh besar Assyahid Sayyid Qutb. Sosok tubuh yang pernah dipenjara demi perjuangan dakwah Islamiyah serta meninta ilmu untuk mencerahkan pemikiran akal manusia semasa berhadapan dengan regim Mesir. Susuk tubuh ini juga sekali lagi dipenjara setelah bebas tidak sampai setahun setengah dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Ini mehnah dantribulasi buat ikon Ikhwanul Muslimin.
Perjuangan merupakan satu usaha yang sungguh-sungguh demi mencapai objektifnya. Oleh itu, perjuangan juga bererti jihad. Rasulullah telah bersabda; "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim." Inilah perjuangan Mahasiswa dalam mencapai objektifnya iaitu kebebasan akademik. Justeru, isu UM8 ini juga adalah satu perjuangan yang punyai mehnah dan tribulasinya tersendiri kerana sudah menjadi sunnatullah didunia ini.
Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."
Akhir kalam, marilah kita sama-sama menjadi muslim yang ada kesedaran serta keyakinan dalam perjuangan. Perjuangkan demi agama Islam yang mementingkan kebenaran supaya Islam tertegak diatas muka bumi ini.
Wallahualam.
Shareefuddin Jamaluddin
Exco Dakwah dan Kebajikan,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya
#InspirasiBersama
No comments:
Post a Comment