Tuesday, 9 December 2014

Nasib mahasiswa UM anjur program Anwar ditentukan malam ini

Bekas presiden PMUM Fahmi Zainol (tengah) paling banyak dihadapkan pertuduhan di antara lapan pelajar yang dibicarakan Universiti Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Disember, 2014.

Salah seorang daripada mereka, Adam Fistival Wilfrid, berkata perkara tersebut dimaklumkan kepada mereka oleh panel diketuai Prof Dr Zanariah Abdullah ketika prosiding tata tertib berlangsung sebentar tadi.
Alfred, pelajar jurusan Sains Komputer yang berdepan dua pertuduhan itu berkata, prosiding  bermula kira-kira jam 9 pagi tadi ‎membabitkan Fahmi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Mohammad Ammar Atan mengutuk perbicaraan tersebut ‎kerana pihak UM tidak mengikut prosedur betul.
Beliau berkata, kelapan-lapan mahasiswa sebelum ini menuntut pihak pengurusan UM memberi bukti terlebih dahulu kepada mereka dan diberi ruang mempertahankan diri.
"Namun ia tidak berlaku ketika ‎prosiding Fahmi tadi," katanya pada sidang media di UM, Kuala Lumpur hari ini.
Hal itu turut diakui Fahmi yang menyatakan tidak ada bukti jelas dikemukakan ketika prosiding, selain keratan akhbar ketika insiden itu berlaku.
"Bukti yang diberi tidak jelas, mereka hanya tunjuk keratan akhbar, kemudian pertuduhan saya dibaca satu-satu.
"Meskipun diberi peluang untuk menjelaskan ketika bukti dikemukakan namun ia tidak jelas, ini termasuk dengan keterangan saksi juga bercanggah mereka sendiri tidak mengaku mengambil gambar tersebut, " katanya.
Sementara itu Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Khairul Najib Hashim menjangkakan keputusan malam ini bakal menyaksikan salah-seorang daripada lapan pelajar itu dibuang universiti.
"Jangan terkejut kalau pada malam ini ada diantara UM8 ini bakal dibuang universiti," katanya.
Pada ‎7 November lalu, UM memulakan prosiding pertama tatatertib terhadap Fahmi dan kemudiannya pada 18 November.
Fahmi antara lapan mahasiswa (UM8) yang berdepan dengan pertuduhan paling banyak iaitu 8 dakwaan selepas Pengerusi Pro M, Safwan Shamsuddin, iaitu 3 pertuduhan.
Seorang lagi mahasiswa yang dikenakan pertuduhan, Haw Yo Hong daripada Fakulti Kejuruteraan berkata, tindakan pengurusan UM tidak mengemukakan bukti terlebih dulu amat tidak adil.
Seperti rakannya yang lain, beliau mempersoalkan ketelusan prosedur prosiding tersebut apabila pendakwaan notis diberikan oleh orang sama yang mengetuai panel dalam tatatertib tersebut.
"Sepatutnya kita diberi masa untuk lihat bukti tersebut, barulah pihak kita juga mempunyai masa meneliti dalam mempertahankan tindakan. Tetapi yang pelik, mereka tidak memberi kita masa. 
"Dan, bagaimana pendakwaan diberikan oleh orang sama yang mengetuai panel prosiding?" katanya.
Ditanya apakah langkah berikutnya yang akan mereka ambil sekiranya pengurusan UM menetapkan keputusan bersalah, Haw berkata, mereka merancang membawa kes itu ke peringkat rayuan mahkamah universiti.
"Kita akan membawa ke mahkamah rayuan sekiranya keputusan tidak memihak kepada kami," katanya. – 9 Disember, 2014.
Pautan asal: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nasib-mahasiswa-um-anjur-program-anwar-ditentukan-malam-ini

No comments:

Post a Comment