Sunday, 21 December 2014

ULAMA DUNIA DIBURU : PMIUM GESA KERAJAAN MALAYSIA BANTAH TINDAKAN INTERPOL TERHADAP SYEIKH YUSUF AL-QARADHAWI



Sebagai salah sebuah Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia yang berpendirian membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah (waran tangkap) kepada Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan ini menggesa Kerajaan Malaysia agar turut menyatakan kesungguhan membantah pemburuan serta penganiayaan terhadap tokoh ulama’ dunia itu.

PMIUM melihat bahawa keadaan ini seakan-akan memberi gambaran yang lebih besar sepertimana kezaliman yang berlaku terhadap mangsa-mangsa yang dikenakan Akta Hasutan di Malaysia. Malah lebih dahsyat lagi apabila tindakan tersebut melibatkan sosok yang menjadi rujukan masyarakat dunia atas ketinggian ilmunya. Sememangnya penglibatan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin merupakan asbab utama pihak musuh menjadikan beliau sebagai sasaran. Apakah wajar Kerajaan Malaysia berdiam diri atas kezaliman yang menimpa ulama’ besar ini sedangkan beliau pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai Tokoh Maal Hijrah satu ketika dahulu?

Oleh itu, PMIUM tetap dengan pendirian membantah tindakan Interpol ini sekali gus mendesak serta menuntut Kerajaan Malaysia agar :
1.         Mengeluarkan kenyataan yang jelas bagi membantah tindakan Interpol terhadap Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
2.         Bersatu dengan negara-negara anggota dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam mengecam tindakan zalim Interpol terhadap Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia tersebut.

Justeru, atas sensitiviti yang tinggi terhadap masa depan institusi keilmuan Islam, PMIUM optimis dalam mengharapkan respon dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh Kerajaan Malaysia yang mengakui Islam sebagai agama rasmi negara dalam mendepani isu ini. Sekiranya Malaysia mampu membawa suara solidariti dalam isu negara Islam yang tertindas seperti Palestin, mengapa tidak dalam hal ini.  

Anis Syafiqah Binti Md Yusof
Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Sesi 2014/2015

PMIUM | Inspirasi Bersama

No comments:

Post a Comment