Tuesday, 23 December 2014

HUKUM UCAP SELAMAT TERHADAP PERAYAAN AGAMA LAIN


Malaysia merupakan negara yang unik kerana mempunyai berbilang agama serta bangsa. Populasi rakyat yang beragama Islam adalah yang paling dominan dan diikuti dengan agama Kristian, Budha dan Hindu. Namun, rakyat Malaysia boleh hidup harmoni dengan meraikan amalan-amalan yang digariskan oleh agama masing-masing. Hari perayaan merupakan hari yang menjadi satu tanda aras bahawa rakyat Malaysia mampu untuk saling menghormati antara satu sama lain kerana sejarah membuktikan Malaysia sehingga sekarang tidak berlaku lagi pergaduhan antara agama dalam meraikan Hari Raya masing-masing.
Justeru itu, perkara yang menjadi perbincangan orang Islam terhadap perkara ini adalah hukum samada boleh ataupun tidak bagi mengucapkan selamat hari raya terhadap agama lain. Hari ini kita hidup dengan masyarakat yang pelbagai agama, maka Islam sangat menitik beratkan soal keharmonian sesama manusia dalam memberi ucapan. Firman Allah swt : “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Pandangan yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w: “Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Namun, ada juga pandangan ulama yang mengharamkan ucapan tersebut seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Pandangan beliau ini berteraskan kepada perlakuan yang cenderung dengan amalan orang kafir serta seolah-olah meredhai agama lain. Hal ini berasaskan daripada firman Allah swt : "Sesungguhnya agama yang diterima disisi Allah ialah agama Islam" ( Surah Ali Imran, 19).
Akhir kalam, mahasiswa perlu mempunyai prinsip tetapi tidak jumud, terbuka tetapi tidak hanyut. PMIUM meraikan semua pendapat yang menjadi khilaf antara ulama. Kita boleh bersetuju dengan mana-mana pendapat kerana setiap daripada mereka mempunyai hujah serta dalil yang kukuh. Selagi akidah kita terjaga, maka tiada larangan untuk berbuat apa sahaja demi menjaga kerhormatan dan keharmonian antara satu dengan yang lain.

Muhamad Shareefuddin
Exco Dakwah Dan Kebajikan
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya(PMIUM

PMIUM | Inspirasi Bersama

No comments:

Post a Comment