Tuesday, 23 December 2014

Kepelbagaian Ideologi dan Agama


Oleh: Kamal Sandera



Pada pandangan mata aku kewujudan pelbagai agama merupakan satu rahmat Allah buat semua manusia. Aku terfikir Allah boleh sahaja menjadikan semua orang di dunia ini beragama Islam, tapi pasti ada sebab mengapa Allah tidak berbuat demikian. Kerana pada aku Allah ingin mengajar dan mahukan manusia yang merupakan ciptaan-Nya hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh benci kepada seseorang hanya kerana atas nama agama. Tidak boleh benci Yahudi kerana dia seorang Yahudi. Yang perlu dibenci adalah fahaman Zionisme. Jangan jadikan agama sebagai alasan untuk bermusuhan sesama manusia.

Melihat kepada situasi di Malaysia pada hari ini, sentimen agama semakin berleluasa. Aku dapat melihat semakin wujudnya kebencian terhadap penganut beragama Kristian sebagai contoh. Kita risau sekiranya kalimah ‘Allah’ digunakan dalam Bible, kitab milik orang Kristian, akan berlakunya gejala murtad. Orang Islam akan terkeliru. Ini satu andaian yang kurang berasas. Kalau individu itu murtad sekalipun, jangan marah pada institusi agama yang dia pilih, tapi tanyalah pada dirinya mengapa dia memilih untuk murtad. Jangan kerana kalimah ‘Allah’ kita menyemai sikap benci-membenci dalam kalangan sesama kita. Yang penting kita mengamalkan ajaran Allah, bukan mempertahankan nama-Nya. Andainya Ultraman punya Tuhan dan mengaku Tuhannya juga bernama Allah, apa  yang kita akan lakukan?

Ideologi

Aku juga turut melihat betapa di Malaysia, rakyatnya begitu sensitif dengan perkataan liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan seanggkatannya. Asal berbeza pendapat dengan pegangan yang kita anuti akan dicap dengan perkataan-perktaan ini. Melihat kepada kenyataan Marina Mahathir baru-baru ini berkaitan isu hudud, apabila beliau menyatakan hudud mampu memecahbelahkan masyarakat, ramai dalam kalangan golongan pemimpin-pemimpin NGO yang bersifat Melayu-Islamik menyelar beliau. Golongan ini menyifatkan Marina Mahatihir sebagai jahil dan liberal dalam agama. Kewujudan orang seperti Marina Mahathir dikatakan mampu menggugat akidah orang Islam.

Jawapan aku mudah. Bukan Marina Mahathir merasakan prinsip-prinsip yang termaktub dalam hudud mampu memecahbelahkan umat Islam, tapi beliau khuatir terhadap cara pelaksanaan hudud yang ingin di bawa oleh PAS kerana aku juga terfikir akan perkara ini. Sebagai contoh hudud yang dilaksanakan di Brunei menyatakan bahawa Sultan tidak boleh dikenakan tindakan hudud atas alasan Sultan tidak pandai berbuat salah.(kalau aku salah sila betulkan). Persoalannya, apakah hudud yang ingin di bawa oleh PAS? Aku masih menantikan jawapannya.

Berbalik kepada isu ini, sifat keraguan yang terdapat dalam diri golongan seperti Marina Mahathir bukanlah sesuatu yang baru. Keraguan akan sentiasa wujud dalam diri manusia seperti kata Francis Bacon dalam karyanya The Advancement of Learning yang menyatakan terdapat dua jenis keraguan iaitu keraguan untuk melindungi daripada kebatilan dan yang kedua untuk memanjangkan inkuiri akal manusia agar dapat berfikir dengan baik. Maka janganlah kita mudah menuduh beliau sebagai liberal. Aku khuatir peristiwa yang menimpa Farag Fouda yang dibunuh oleh puak pelampau Islam akan berlaku di Malaysia.

Berkenaan dengan ideologi, suka untuk aku kongsikan pandangan aku bahawa ideologi yang seperti aku nyatakan di atas kadang kala mampu membawa perkara yang positif. Sebagai contoh, kelahiran idea sekular telah membebaskan Eropah dari kongkongan geraja. Pembebasan ini telah memberi ruang kepada masyarakat Eropah untuk memilih mazhab agama mereka. Secara tidak langsung Islam dapat memasuki benua Eropah secara perlahan-lahan. Mungkin tanpa idea sekular, Eropah masih lagi dibelenggu oleh institusi gereja. Begitu juga dengan idea liberal yang memberi kita peluang untuk berkawan dengan orang yang bukan bergama Islam. Memahami agama mereka. Kita juga harus menggunakan peluang ini untuk membantu mereka yang bukan Islam bagi memahami keindahan agama Islam. Jangan sekadar mengajak mereka datang ke masjid untuk melihat keindahan seni bina masjid, tetapi sebaliknya menceritakan dan menunjukkan kepada mereka tentang keindahan solat berjemaah di dalam masjid itu sendiri.

Apa yang ingin aku nyatakan adalah, buanglah sikap ekstrimis dalam diri. Belajar menghormati pandangan dan kepercayaan orang lain. Adalah sesuatu yang melampau dengan menuduh perayaan sesuatu agama adalah bertujuan untuk menyebarkan agama meraka. Setiap manusia punya pandangan tesendiri. Jangan kita mudah tersinggung dengan pendapat orang lain kerana sikap ini akan sentiasa menyebabkan kita terus berada dalam keadaan jumud seperti mana yang dinyatakan oleh Salman Rushdie dalam The Satanic Verse.

Ulasan kebangkitan mahasisiwa.

Aku merupakan mahasiswa tahun pertama di Universiti Malaya. Ini adalah pandangan peribadi aku berkenaan Occupy UM. Aku tidak kisah dengan tindakan mereka beroccupy. Kerana aku percaya meraka cuba menegakkan keadilan yang mereka idamkan. Cuma aku tidak bersetuju dengan tindakan membakar gambar TNC.

Aku juga ingin mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang menyatakan tidak ada ayat al-quran yang menyuruh kita berdemonstrasi. Mungkin Tun ada makna yang tersirat yang tidak kita ketahui. Namun harus kita hormati pandangan beliau. Tapi kenyataan ini menimbulkan satu tanda tanya: Bagaimana pula dengan demonstrasi mengutuk kekejaman Israel selama hari ini? Barang kali Tun mempunyai 
premis yang bereza dalam isu ini.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi pelajar tahun pertama Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Sebarang kesalahan dan kecacatan atau tersilap fakta harap dapat beri teguran sebagai penambahbaikan. Sesungguhnya kesempurnaan hanyalah milik Allah yang hakiki.


No comments:

Post a Comment