Sunday, 21 December 2014

Siswa desak M'sia bantah Interpol buru Al-Qaradawi

Persatuan Mahasiswa Islam Univerisiti Malaya (PMIUM) hari ini mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan rasmi membantah tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan waran tangkap memburu Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Timbalan Exco Politik dan Hal Ehwal Semasa Anis Syafiqah Binti Md Yusof berkata kerajaan tidak wajar berdiam diri terhadap "kezaliman dan penganiayaan" terhadap tokoh Islam itu, kerana dikaitkan penglibatannya dalam gerakan Islam Ikhwanul Muslimin.

Apatah lagi, kata Anis, tindakan itu melibatkan sosok yang menjadi rujukan masyarakat dunia kerana ketinggian ilmunya.

"Apakah wajar kerajaan Malaysia berdiam diri atas kezaliman yang menimpa ulama besar ini sedangkan beliau pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai tokoh Maal Hijrah satu ketika dahulu?

"Oleh itu, PMIUM tetap dengan pendirian membantah tindakan Interpol ini sekali gus mendesak serta menuntut kerajaan Malaysia agar mengeluarkan kenyataan yang jelas bagi membantah tindakan Interpol terhadap Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi," katanya.

Dilaporkan Interpol mengeluarkan waran tangkap itu selepas Dr Yusuf, 88, dikaitkan dengan kegiatan Ikhwanul Muslimin. Beliau dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir untuk pendakwaan dan pensabitan hukuman.

Warganegara Mesir dan Qatar itu antaranya dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri daripada penjara, serta aktiviti vendalisme dan kecurian.

Dalam kenyataan medianya, Anis turut mendesak Malaysia bersatu dengan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) bagi mengecam tindakan zalim Interpol itu sekaligus mendepani isu itu demi masa depan institusi keilmuan Islam.

"Sekiranya Malaysia mampu membawa suara solidariti dalam isu negara Islam yang tertindas seperti Palestin, mengapa tidak dalam hal ini," katanya.

Selain siswa, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar antara yang menyuarakan bantahan terhadap tindakan itu dan mendesak Malaysia bertegas dalam isu ini.

Sumber: http://m.malaysiakini.com/news/284187.html

No comments:

Post a Comment