PELUANG KEDUA
KARYA: NUR AQILAH BINTI ABD RAHIM (HQ)
PERUBATAN
TAHUN PERTAMA
* * *
“You
dah siap belum? I dah nak gerak ni”, tanya Fina sewaktu menghubungi Khairi.
“Belum!
Kejap lagi sayang. Amboi! First date dah excited eh dia”, balas Khairi sambil
tersengih namun tidak dapat dilihat oleh buah hati pengarang jantungnya itu.
“Mestilah.
Hehe. You handsome handsome okay. I amik you kat tempat biasa tau.”
“Beres.
Eh kejap! You cakap apa kat mama and papa you? Dorang tahu ke you nak ngedate
ngan I ni?”. Risau juga Khairi ingin ber’dating’ dengan anak dara orang. Yalah,
anak orang berada katakan.
“I
tipulah kat dorang. I cakap I nak meet up Emma, lagipun Emma tengah cuti ni.
Alah pandai-pandai la I. You tak payah risau okay. I’ll do anything for you,
darling. Cepat siap okay. I on my way”, jawab Fina. Betul lah, bila dah cinta
sanggup ditipunya ibu bapa yang dari kecil membesarkannya tanpa sebarang
kekurangan.
Hari
ini merupakan hari pertama untuk Fina dan Khairi keluar berdua-duaan umpama
pasangan yang selalu menyakitkan mata umum di pusat membeli-belah kala ini.
Hujung minggu di mana Khairi dan Fina masing-masing sanggup untuk pulang dari
tempat belajar mereka semata-mata untuk bertemu dan bermadu asmara.
Rakan-rakan
Fina tidak ramai yang tahu akan hubungannya dengan Khairi apatah lagi ibu
bapanya. Fina yang sering digeruni oleh lelaki lain asbab keturunan yang
hartawan dan perwatakannya umpama jinak-jinak merpati; sukar didekati oleh
lelaki lain. Kecuali Khairi. Entah apa yang ada pada Khairi. Rupa sederhana dan
bukanlah dari keluarga yang berada. Cuma gayanya ada. Bersosial dan sweet
talker. Merokok dan bershisha sudah sebati dengan dirinya. Cuba disembunyikan
daripada Fina namun Fina tidaklah terlalu naïf untuk ditipu. Sungguhpun begitu,
Fina masih inginkan Khairi. Syaitan berjaya merasuknya, mungkin.
* * *
“ I love you,
always”, bisik Khairi ditelinga Fina yang ditutup tudung.
Terkedu Fina tatkala belakangnya
dirangkul manja oleh Khairi, teman lelaki yang sangat dicintainya. Ingin
menolak, iman Fina telahpun luntur. Lantas dibalas kepada Khairi senyuman yang manja
buat insan tersayang.
“ Me too, sweetheart”, balas Fina
dengan senyumannya yang sangat manis jika dilihat oleh mana-mana lelaki. Iman
lelaki mana yang tidak tergoyah dengan senyumannya yang menawan, ditambah pula
lesung pipit yang comel dipipi Fina yang gebu; hanya lelaki yang betul-betul
beriman sahaja yang tidak akan goyah melihat senyuman itu, atau mungkin hanya
menundukkan pandangan lantas beristighfar.
“ Jomlah masuk wayang. Dah nak
start ni, sayang”, kata Khairi yang bertubuh tinggi tegap dan berperwatakan
menarik sambil menarik tangan Fina dan berjalan beriringan menuju ke pawagam.
Fina hanya akur pada buah hatinya itu. Tidaklah sehandsome Fizo Omar mahupun
Fahrin Ahmad. Tetapi apabila syaitan telah mencantikkan Khairi di mata Fina,
jangankan Fizo Omar mahupun Fahrin Ahmad, Shah Rukh Khan pun tidak dipandang
oleh Fina.
Ketika di pawagam, Fina dan Khairi
duduk di ‘couple seet’. First date katakan. Setelah lebih setahun bercinta,
akhirnya dapat jua mereka bertemu untuk keluar bersama-sama. Selama ini mereka
hanya menghubungi melalui ‘Whatsapp’ dan saling berhubung setiap malam atau
setiap pagi melalui panggilan telefon. Tiada yang lebih indah bagi pasangan
yang bercinta daripada menatap dan keluar berdua-duaan bersama insan yang
tercinta sehingga dilupakan terus Dia yang Maha Pencipta Cinta.
Khairi dan Fina tidaklah jangkal
ilmu agama. Sebaliknya masing-masing sebelum ini pernah ditarbiah dan berusrah
di sekolah asrama masing-masing. Kedua-duanya tahu hukum lelaki dan perempuan
berdua-duaan itu dosa dan mereka juga tahu bersentuhan dengan bukan mahram
adalah dosa. Namun, tatkala diuji antara cinta manusia dan cinta Ilahi, siapa
sahaja tak rebah? Walhal bukan hendak memberontak, Fina yang merupakan naqibah
bagi usrahnya berasa tertekan kerana sudah
penat untuk berpura-pura baik di hadapan anak-anak usrahnya. Dia sering sahaja
melihat kakak-kakak naqibahnya yang turut rebah jatuh pada bab ikhtilat dan
cinta kepada ajnabi. Jadi sangkanya setelah tamat persekolahan itulah masa yang
terbaik untuk menjadi dirinya yang sebenar.
Jika dulu di sekolah asramanya,
Fina sering dilabel oleh ajnabi sebagai perempuan yang sangat pemalu dan selalu
mengenakan jilbab labuh, masuk sahaja program asasi di salah sebuah universiti
terkemuka di Malaysia, terus ditinggalkannya. Tudung singkat dan jarang menjadi
pilihan agar sentiasa kelihatan cantik dimata Khairi yang menyambung pengajiannya
di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan pada peringkat diploma
kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak memberangsangkan.
Fina dan Khairi saling mengenali
sejak dibangku sekolah rendah lagi. Entah syaitan mana yang menghasut mereka
sehingga perhubungan mereka masih kekal meskipun pada menengah rendah
masing-masing terpisah kerana belajar di sekolah asrama yang berbeza. Tatkala
pulang dari asramalah yang mereka nanti-nantikan. Meskipun pada awal
perhubungan Fina sangat tegas lebih-lebih lagi apabila sering ditarbiah tentang
ikhtilat manakala Khairi pula sekadar ahli usrah yang sekejap hadir sekejap
tidak di sekolahnya hanya mengikut sahaja ketegasan Fina itu. Sangka Khairi,
satu hari nanti Fina pasti akan jatuh hati padanya kerana dia kenal sangat Fina
yang susah untuk mempunyai kawan lelaki kerana sifat pemalunya itu.
Benarlah syaitan tidak akan
mengalah sehinggalah pada tingkatan empat, mereka saling meluahkan rasa cinta.
Lantas, hubungan itu disembunyikan oleh sesiapa seboleh mungkin. Yalah, Khairi
turut risau jika nama buah hatinya tercemar; sudahlah naqibah, bercinta pula.
Sehinggalah tamat SPM, hubungan yang mula-mula tegas kerana title bekas naqibah
yang dipegang oleh Fina lama-lama menjadi-jadi melampaunya. Saling
mengungkapkan rindu dan cinta walhal Fina tahu itu sudah jauh melanggar
ikhtilat yang dulu sering disampaikan kepada anak-anak usrahnya.
* *
*
Dalam bilik pawagam yang sangat
sejuk dan gelap, Fina membuangkan segala fikiran-fikiran silamnya yang menjerit
mencari Ilahi. Dia pura-pura berasa selesa dan bahagia kerana berada di sisi
kekasih tercintanya yang sedari tadi menggenggam erat tangannya. Hati Fina
berbisik, “ Betul ke apa yang aku buat ni. . . Tapi aku bahagia sangat” .
Dipejamkan matanya untuk melupakan bisikan hatinya yang mencari kebenaran sambil
mendakap Khairi. Khairi tekejut bukan kepalang kerana dia tahu Fina tahu akan
batasnya namun iman Khairi telahpun terhakis dari kebenaran justeru membiarkan
sahaja Fina berbuat begitu padanya.
* *
*
“Astarghfirullahaladzhim . . . . “
terjaga Fina dari mimpi masa lalunya.
Dia bingkas bangun setelah mendapati jam telefon pintarnya menunjukkan pukul
4.15 pagi. Dia membaca doa bangun tidur lantas bergerak menuju ke tandas
setelah mengemaskan katilnya. Diambil wuduk dengan tertibnya sambil hatinya
membisik, “ Ya Allah, lupakan aku tentang kisah laluku”. Didirikan solat
tahajjud dan solat taubat. Seusai solat taubat, matanya basah lencun. Mujurlah
Fina jenis yang lembut hati dan mudah mengalirkan air mata. Tambah-tambah pada
waktu sang Pencipta sedang menarik lembut dirinya kembali padaNya.
Fina akhirnya akur pada
perpisahannya dengan Khairi dua bulan yang lalu lantaran sifat Fina yang kuat
mengongkong dan terlampau cemburu. Puas dipujuk lelaki yang dahulunya dirasakan
sangat istimewa dalam hidupnya namun dia penat akhirnya. Menyedari
rakan-rakannya menyokong Fina untuk meninggalkan masa lalu itu dan sering
memotivasikannya untuk kembali ke pangkal jalan membuatkan Fina lebih kuat.
Jujur pada awalnya Fina sangat lemah kerana hidupnya dulu selalu digantungkan
kepada Khairi,lelaki yang sangkanya mampu membimbingnya sebaliknya menjadikan
dia semakin liar. Fina sering menipu ibu bapanya sewaktu bersama Khairi untuk
keluar rumah. Walhal ibu bapanya sangat menyayanginya kerana Fina tidak pernah
menghampakan mereka dalam pelajaran. Pelajar perfect score katakan. Namun,
seperfect mana yang dia mampu bertahan kerana akhirnya dia gagal dalam menjadi
seorang muslimah yang bertakwa. Bukan dia lupa bahawa dia pernah menjadi ketua
usrah, tetapi dia telahpun akur segalanya dahulu bisikan syaitan yang selalu
diturutinya. Boleh sahaja dia lawan bisikan itu kerana dia jauh berkuasa kepada
setiap perbuatannya namun masa lalu telahpun berlalu.
Kini Fina bangkit melupakan masa
lalunya dan berusaha menjadi hamba Allah yang lebih baik. Setiap tingkahnya
kini dirasa bagai diperhati dan ditegur sehinggakan apabila terbangun awal-awal
pagi, disangkanya Allah mengejutkannya untuk bangun mengabdikan diri padaNya.
Subhanallah. Rakan yang selalu menasihatinya, Athirah kagum melihat perubahan
drastik Fina itu. Fina menjadi semakin rajin turun ke surau meskipun sepanjang
semester pertama dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke surau.
Athirah merupakan rakannya yang
paling rapat di program asasi itu, sopan dan berakhlak mulia. Bukan tidak
ditegur Fina sebelum ini namun sudah berbuih mulutnya tetapi hatinya tidak pula
berhenti mendoakan sahabatnya itu untuk kembali ke pangkal jalan.
Alhamdulillah, tatkala melihat Fina berubah, Athirahlah yang menjadi insan yang
paling gembira kerana doanya telah didengar Allah. Tidak berhenti disitu,
Athirah terus memotivasikan Fina kala waktu sedih Fina. Dia sedar, siapa sahaja
yang tidak kecewa apabila cinta yang terjalin terputus asbab diri sendiri namun
diingatkan Fina, untuk menjadi kuat kerana Allah dan melepaskan cinta manusia
demi cinta Allah.
* *
*
“ Ya Allah, ya Tuhanku. Terima
kasih ya Habibi. Kau kembalikan aku kepada fitrahku. Inilah yang selama ini aku
cari. Inilah yang selama ini aku rindui. Allahu, peganglah hati ini. Hati ini
milikMu ya Allah. Jangan biarkan aku jauh lagi dariMu. Allahumma aameen”.
Menitis air mata Fina tatkala berdoa setelah selesai solat taubat. Dia sedar
kalau bukan kerana kuasa Allah, hubungannya dengan Khairi tidak mungkin akan
terputus. Kalau bukan kerana Allahlah pemilik hati ini, tidak mungkin hati
Khairi akan berpaling kerana kini dia sudah mendapatkan pengganti Fina.
Pada awalnya, Fina tidaklah setabah
mana. Dilihat pasangan-pasangan lain keluar berdua-duaan di luar tatkala keluar
bersama rakan-rakan, Fina terbayang akan pasangan itu adalah dia dan Khairi.
Seolah-olah hatinya keliru betul kah ada perpisahan antara mereka berdua namun
akhirnya Fina lali. Melihat akan pasangan yang berdua-duaan, didoakannya agar
mereka kembali pada jalanNya. Kerana dia yakin, dirinya yang dahulunya teruk,
terkandas dan terikutkan bisikan syaitan mampu bangkit, tidak mustahil orang
lain juga boleh berubah pulang ke pangkal jalan. Kadangkala Fina malu sendiri
apabila melihat anak-anak usrahnya yang masing-masing sudah menyambung
pengajian di tempat yang berbeza menjadi jauh lebih baik daripada dirinya
sendiri. Sedari Fina itulah hikmah hidupnya. Dia belajar daripada kehidupan
yang dilaluinya sendiri.
Fina akur ajaibnya ujian Allah
bukan untuk melemahkan, sebaliknya dia menjadi hambaNya yang lebih kuat. Lebih
kuat melawan nafsu dan lebih kuat melawan godaan syaitan. Dia kembali menjadi
Fina yang tegas dalam ikhtilat dan pergaulan dengan ajnabi. Pakaiannya juga
sudah lebih labuh. Sesiapa sahaja boleh mengatakan dia berubah secara drastik,
namun dia sahaja yang tahu dahulunya dia memang sebegitu rupa sewaktu di
sekolah asrama. Terdengar juga bisikan sumbang dari rakan-rakan yang cuba untuk
menjatuhkannya. Sempat didengar, “ Dah putus cinta terus nak jadi ustazah. Ceh
!” dan macam-macam lagi. Dipekakkan telinganya sambil hati terus beristighfar
memohon keampunan pada Allah.
Fina sudah mendapatkan apa yang
hatinya tercari-cari selama ini. Kembali kepada sang Pencipta setelah putus
cinta mungkin klise didengar namun andainya itulah jalan cerita bagi seorang hambaNya
untuk kembali kepada Allah, begitulah caranya. Untungnya Fina tidaklah menjadi
seperti mereka yang usai putus cinta terus mencari cinta lain. Sebaliknya Allah
menggerakkan hatinya untuk terus kembali pulang kepada Sang Pencipta Cinta. Dia
sangat bersyukur kerana telahpun kembali ke pangkal jalan meskipun pada awalnya
terpaksa tertatih mendaki. Fina sedar syurga tidak mampu dibayar oleh wang
ringgit justeru dia tekadkan niat untuk kekal pada landasan ini.
Mengenangkan sahabatnya, Athirah, dia
sangat terharu akan pengorbanan sahabatnya itu, yang tidak berhenti
menasihatinya. Bukan itu sahaja, Athirah sanggup menundakan kerjanya demi
mendengar luahan kekecewaan Fina tatkala dia diberitahu akan Khairi sudah
menemukan pengganti. Athirah sanggup mendengar Fina kerana dia yakin satu hari
nanti Fina akan mendengar nasihat-nasihatnya untuk kembali kepada Pencipta. Fina
tersedar akan betapa manisnya ukhuwah atas nama Allah kerana sudah tentulah
sahabatnya itu tidak akan berbuat demikian melainkan kerana Allah. Didoakan
sahabatnya agar menjadi jirannya di syurga Firdaus kelak kerana dia tahu tiada
yang lebih indah daripada bersahabat sehingga ke syurga yang tertinggi.
* * *
“Assalamualaikum, mama dah bangun
ke?”, tanya Fina yang menghubungi mamanya di rumah.
“Waalaikumussalamwarahmatullah. Dah
sayang. Awalnya Fina bangun?”, tanya Puan Raudah.
“Saja bangun awal ma. Mama, papa
mana?” .
“Papa tengah siap-siap tu nak subuh
dekat surau,” balas mama Fina.
“Oklah mama. Fina nak siap-siap
jugak solat kat surau. Mama doakan Fina dimudahkan urusan ya ma?”, manja Fina
umpama anak bongsu walhal dia mempunyai dua orang adik di bawahnya.
“In shaa Allah sayang. Jaga diri,”.
Begitulah rutinnya hari-hari.
Jikalau dulu setiap pagi dihubunginya Khairi untuk mendengar suara ajnabi itu,
kini Fina semakin kerap menghubungi ibu bapanya. Baginya itulah sumber pahala
yang termurah untuk dia peroleh, iaitu sering berhubung mendengar suara insan
yang telah banyak berbakti padanya. Sudah dicampakkan masa silam itu jauh-jauh.
Yang tinggal hanyalah tekad untuk menjadi muslimah yang dicemburui oleh para
bidadari syurga.
Tidak ada orang yang baik yang tiada masa lalu
dan tidak ada orang yang jahat yang tiada masa depan. Apa yang mereka perlukan
adalah ruang dan peluang untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik. Itulah yang
digunakan oleh Fina, ruang dan peluang. Sedari nafasnya masih berbaki, dia
tidak ingin mensia-siakan setiap detik yang diberi tanpa istighfar mahupun
mengingatiNya. Bukan harta, rupa, pangkat mahupun keturunan yang dilihat Allah,
sebaliknya iman, amal dan taqwa.
* *
*
“Assalamualaikum” , Fina memberi
salam sambil mengetuk pintu bilik Athirah yang hanya selang dua bilik dari
biliknya.
“Waalaikumussalam, Fina. Awalnya
awak. Sekejap ya “, balas Athirah yang sedang mencapai telekungnya sambil
tersenyum.
“Takpe, saya tunggu ni. Belum azan
subuh lagipun”.
Setiap pagi, setiap waktu Fina
usahakan untuk solat berjemaah di surau. Athirahlah yang menemaninya; tanpa
rungutan sebaliknya hatinya sering berbunga melihat perubahan Fina itu.
“Athirah, terima kasih ya. Selama
ini, saya tahu awak selalu doakan saya. Sehingga sekarang, saya rasa tenang
sangat”, kata Fina setelah mereka sampai di ruang solat muslimah di surau bawah
blok kediaman mereka.
“Tak ada apa lah Fina. Janganlah
buat saya terharu pagi-pagi begini. Satu je yang saya harap. Saya harap awak
mampu kekal di landasan ini ya, Fina. Andai kita berjauhan masa degree nanti,
saya harap awak terus kekal dengan semangat awak ini”, balas Athirah lembut
menusuk ke hati Fina. Benarlah, kata-kata yang lahir daripada hati dapat
dirasai oleh mereka yang mendengar dengan hati sehingga mengalir lembut ke sanubari.
“In shaa Allah. Saya harap Allah
akan terus pinjamkan saya kekuatan yang saya ada ini,” jawab Fina dengan wajah
yang tenang. Baginya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya Fina
menperoleh sahabat sebaik Athirah.
* *
*
Kata Saidina Umar al-Khattab,
“mereka yang mempunyai masa lalu yang gelap berpeluang mencipta masa depan
yang terbilang”. Tiada siapa tahu apa
yang menanti pada hari esok. Kutiplah pengajaran pada setiap peristiwa lalu
hidup kita sebagai kekuatan untuk menjadi hambaNya yang lebih bertakwa kelak.
Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment