Lima dekad Malaysia merdeka dan beberapa hari sahaja lagi untuk kita
menyambut hari Malaysia iaitu pada 16 september, sepanjang tempoh ini
kita menyaksikan usaha membina sebuah negara bangsa yang harmoni umpama menemui jalan buntu dan perpaduan kaum dilihat rapuh.
Pasca Pilihan Raya Umum ke-13 ( PRU 13 ) rakyat Malaysia di dendang
hebat isu-isu sensitiviti kaum seperti ‘Kalimah Allah’, ‘Rampasan Bible’
dan ‘model bergambar separa bogel di Ipoh’.
Kerisauan yang
timbul adalah kepada generasi baru dan keadaan Malaysia sepuluh tahun
mendatang, sekiranya generasi kini tidak mampu mengatasi pergolakan yang
berlaku, pastinya generasi akan datang cacat nilai perpaduannya.
Dr Rahmat Ghazali, Ketua Pusat Pengajian Pascaijazah Fakulti Komunikasi
Dan Pengajian Media UITM, menyatakan dalam artikel beliau ‘Isu
Perpaduan Kaum Di Malaysia’ bahawa Malaysia menggunakan elemen-elemen
pendekatan yang berbeza untuk membina perpaduan kaum bebanding
pendekatan yang dicadang oleh pemikir-pemikir barat.
Britain
misalnya mengamalkan konsep ‘Melting Pot’ iaitu budaya etnik minoriti
akan terlebur dan tercerna dengan budaya etnik dominan.
Pengamalan di Malaysia tidak meleburkan apa-apa budaya etnik tetapi
mempersatukan kepelbagaian budaya dan warna kulit dalam satu
persekitaran yang sama seumpama ‘Salad Bowl’.
Menilai realiti
politik dan sosial hidup masyarakat Malaysia, pastinya untuk mewujudkan
perpaduan kaum yang utuh adalah perkara yang mencabar, terutamanya
apabila berhadapan dengan tiga etnik yang memiliki jati diri dan sejarah
tersendiri.
Persefahaman Yang Lemah
Kejadian model
bergambar separa bogel di Ipoh Perak, boleh dijadikan kayu ukur kepada
tahap kesefahaman antara kaum di Malaysia adalah lemah.
Muhammad Hisyam Bin Mohamad, fellow Pusat Kajian Ekonomi Dan
Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyatakan
pengamalan pendidikan kini gagal melahirkan pelajar yang mempunyai asas
perpaduan yang kukuh, kerana pendidikan di Malaysia lebih tertumpu
kepada kecemerlangan menjawab soalan peperiksaan.
Masih wujud
sikap tidak memahami sensitiviti budaya, mencemari norma budaya tempatan
yang baik, mengutuk dan memperlekeh amalan ibadat agama lain.
Di universiti para mahasiswa Melayu hanya bergaul sesama Melayu,
mahasiswa Cina bergaul sesama Cina, mahasiswa India sesama India, warga
peribumi sesame mereka. Sikap-sikap ini merencatkan lagi proses
persefahaman.
Pendekatan Politik Dari Usaha Menjadi Racun.
Para politikus di seru agar berhenti mempergunakan pergolakan yang berlaku bagi memenuhi nafsu politik mereka.
Isu pertembungan kaum bukanlah sesuatu yang boleh di hujah didalam
suatu perdebatan, tetapi sewajibnya diselesaikan didalam perbincangan
meja bulat yang harmoni. Sejarah membuktikan Pauline Hanson dan P.W
Bortha yang mengamalkan politik perkauman penghujung karier politik
mereka adalah kehinaan.
Tun Dr Mahathir Mohammad, pada 1995
mendifinisikan ‘Bangsa Malaysia membawa maksud rakyat yang dikenali
sebagai membawa identiti Malaysia, menuturkan bahasa Melayu dan
meluhurkan Perlembagaan. Untuk merialisasikan bangsa Malaysia, rakyat
harus mula menerima kewujudan masing-masing seada-adanya, tanpa mengira
kaum dan agama’.
Maka dapat disimpulkan beberapa perkara:
1. Mahasiswa perlu membawa langkah perubahan, mewujudkan suatu budaya baru bermula dari mahasiswa itu sendiri.
2. Mahasiswa dan anak muda harus matang mendepani isu-isu berbaur
perkauman yang berlaku di Malaysia, penilaian wajib berdasarkan fakta,
tiada berkepentingan dan jauh dari emosi.
3. Pemahaman perlu
diterjemahkan melalui pengamalan aktiviti-aktiviti di universiti, bukan
sekadar teoritas didalam bilik kuliah.
4. Pimpinan pelajar, dan
persatuan-persatuan berasaskan agama dan kaum, perlu mengambil serius
berkenaan mewujudkan anjakan paradigma pada kalangan mahasiswa.
Ahmad ‘Aqiel Abd Rahim
Exco Intergrasi Dan Kenegaraan PMIUM
No comments:
Post a Comment