Salam kemerdekaan ke-57 buat seluruh rakyat
Malaysia dan selamat datang wa marhaban minkum buat seluruh mahasiswa
bagi kemasukan 2014/2015 ke dalam keluarga besar Universiti Malaya.
Sebagai mahasiswa yang cintakan negara, kita perlu sedar bahawa
kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia
daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri
kepada Allah SWT,itulah makna kemerdekaan yang sebenar.
Kita
menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana
mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan
bukan mengabdikan diri kepadaNya. Kita halau mereka bukan kerana nama
dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang
menyeleweng dari petunjukNya.
Walaupun negara kita telah
dikatakan mencapai kemerdekaan sejak setengah abad yang lalu, tetapi
warisan penjajah masih lagi wujud dengan pemikiran serta jiwa yang
dipenjarakan dan ia sudah berakar umbi di dalam masyarakat kita.Oleh
kerana itu, saya menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi
selesai.
PMIUM yang telah ditubuhkan hampir setengah abad
telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam mendepani cabaran
fikrah dan globalisasi mengikut setiap peredaran zaman dengan mengambil
tindakan yang proaktif mengikut konteks semasa dengan prinsip yang malar
iaitu berpanjikan perjuangan Islam.
Tahun ini kita akan
menyambut kemerdekaan dengan bersederhana dek mengingati tragedi yang
menimpa negara kita yang telah mengorbankan ramai nyawa yang tidak
berdosa, dengan tragedi yang berlaku terhadap krew dan penumpang MH17
dan beberapa tragedi yang lain seperti kehilangan pesawat MH370 dan
kematian pejuang-pejuang negara di Lahad Datu dalam mempertahankan
kedaulatan Malaysia tercinta.
Saya juga menyokong 100% tindakan
yang diambil oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Menteri Komunikasi dan
Multimedia Malaysia yang telah mengambil inisiatif untuk menyesuaikan
hari kemerdekaan ke-57 mengikut kesesuaian susulan tragedi pesawat
Malaysia Airlines MH17 dan MH370 termasuk membatalkan acara tradisi
seperti Ambang Merdeka, acara hiburan dan pertunjukan bunga api.
Oleh itu, saya menyeru agar pihak Universiti Malaya membuat tindakan
susulan terhadap program Minggu Haluansiswa (MHS) pada sesi 2014/2015
dengan menyahut seruan kerajaan dalam membuat kesesuaian terhadap
program semasa MHS dijalankan bagi kemasukan para pelajar baru bagi sesi
2014/2015.
Saya juga menggesa agar MHS kali ini dapat
mengurangkan aktiviti yang berlebihan dan tidak bermanfaat sehingga
mengorbankan masa pelajar baharu. Tidak perlu untuk saya sebutkan
aktiviti yang tidak berfaedah tersebut kerana dengan akal yang waras
saya yakin setiap dari kita mampu membuat penilaian yang sebaiknya.
Sahabat-sahabat sekalian.
Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar baru yang
berjaya memasuki Universiti tertua ini. Manfaatkanlah segala masa yang
anda ada ketika bergelar sebagai mahasiswa dan libatkanlah diri bersama
dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Universiti serta Persatuan agar
dapat membuat diri kita menjadi insan yang berguna bukan hanya pada diri
sendiri. Bahkan berguna pada masyarakat dan negara.
Jadilah
mahasiswa yang bukan sekadar menelaah buku dalam bilik kuliah
semata-mata tetapi mampu hadir dalam hiruk-pikuk kehidupan masyarakat
dan boleh menyumbang sesuatu kepada mereka.
Umum mengetahui
Universiti Malaya dianggap oleh masyarakat sebagai “Mini Malaysia”.
Populasi kaumnya boleh disamakan menyerupai Negara Malaysia dengan
sekitar 60% pelajarnya adalah melayu dan selebihnya bangsa lain. PMIUM
anggap ini adalah peluang terbaik untuk kita sama-sama mengeratkan
hubungan sesama kaum dan agama agar mampu melahirkan masyarakat yang
harmoni dan sejahtera.
Disaat negara hari ini cubaan untuk
mengapi-apikan isu perkauman yang cuba dicetuskan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab Universiti Malaya sepatutnya mampu membuktikan perkara
sebaliknya. Buktikan yang pelajar kita mampu mengekalkan keharmonian
kaum dalam negara ini.
Ingatlah Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki
dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang
paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling
bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mengenali”
Salam Kemerdekaan ke-57 dan Selamat Datang buat Mahasiswa baru sesi 2014/2015
“Disini Lahirnya Sebuah Cinta”
Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment