Thursday 15 January 2015

CUTI SEM: MAHASISWA PERLU TERUS 'HIDUP'

Cuti semester sudah tiba. Bagi kebanyakan mahasiswa, inilah waktu yang paling ditunggu-tunggu, setelah hampir 5 bulan berhempas pulas dengan kuliah dan musim peperiksaan. Di sini saya sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bercuti kepada semua ahli PMIUM dan mahasiswa/wi Universiti Malaya.
Baginda Rasulullah SAW sudah lama mengingatkan kita semua melalui hadithnya :
من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه
Mafhumnya, sebahagian daripada keelokan bagi seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.
Justeru, tidak wajarlah bagi kita untuk membazirkan masa sepanjang cuti semeseter ini dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat dan 'tidur' tanpa memikirkan dunia, hanya mahu 'bangun' sewaktu semester seterusnya dibuka. Kita perlu terus 'hidup', melakukan perkara-perkara yang menepati nama 'mahasiswa' yang sedang kita sandang.
BERKHIDMAT KEPADA UMMAH
Isu kemanusiaan merupakan isu sejagat. Ia tidak mengira bangsa, agama dan pegangan politik. Semua pihak, sepatutnya, mestilah mempunyai kesedaran untuk membantu dan menyumbang sesuatu kepada ummah. Nilai kemanusiaan ini perlu terus subur dalam diri seorang mahasiswa, tambahan pula di waktu cuti semester ini.
Sesuai dengan musim pasca banjir ini, amat baiklah jika seluruh mahasiswa Universiti Malaya mengambil peluang untuk berkhidmat dan menyertai misi-misi pasca banjir terutamanya di Pantai Timur. Universiti Malaya sendiri sudah melancarkan dan menghantar beberapa kumpulan khusus bagi membantu membersihkan sekolah-sekolah yang terlibat dengan banjir. Kepimpinan pelajar Universiti Malaya, yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan-persatuan Anak Negeri pula bergabung bagi menubuhkan Skuad Kemanusiaan UM dan mereka sedang aktif bergerak dan menghantar skuad banjir. PMIUM pula mengambil inisiatif menubuhkan Misi Banjir Mahasiswa (MBM) bersama-sama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan beberapa persatuan lain. Terbaru, skuad MBM melancarkan Perkampungan Harapan Mahasiswa 13-20 Januari 2015 di Dabong, Kelantan.
Ambillah peluang cuti semester ini untuk berkhidmat kepada keluarga masing-masing dan masyarakat terdekat. Surau-surau dan masjid perlu dilazimi, anak muda yang berpeleseran di kampung perlu didekati, dan jangan lupa untuk menyumbang kepada guru-guru di sekolah masing-masing.
BAIKI DAN REFLEKSI DIRI, TERUS PACU DIRI UNTUK UMMAH
Cuti ini amat sesuai bagi mahasiswa untuk meninjau kembali perjalanan selama hampir 5 bulan di semester lepas. Segala kesilapan dan kecuaian yang dilakukan perlulah disedari dan dibaiki, seterusnya memacu diri untuk perubahan di semester baru nanti.
Ambil masa untuk :
1) muhasabah kembali semester lepas, baik dari sudut pelajaran, kepimpinan, dan perkembangan diri.
2) lakukan R&D ringkas untuk mengenal pasti kekurangan dan kelebihan di semester lepas
3) kemaskini dan perbaharui perancangan yang telah dibuat untuk menghadapi semester baharu dan kehidupan mendatang
Buku-buku perlu terus dibaca, ilmu yang sudah dipelajari perlu terus dikembangkan dan diamalkan, bidang-bidang ilmu baharu perlu terus diterokai, perkembangan spiritual, intelek, minda dan potensi diri perlu terus digilap.
Semoga cuti semester ini mampu membawa sinar baharu kepada diri mahasiswa, keluarga, masyarakat, ummah dan seluruh warga Universiti Malaya khasnya.
Selamat bercuti !
Khairol Najib Hashim,
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
PMIUM II INSPIRASI BERSAMA
MAHASISWA UNTUK MASYARAKAT



No comments:

Post a Comment