Sunday, 27 July 2014

Kalam Pimpinan :Perutusan Khas Aidilfitri Presiden PMIUM



      Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan. Alhamdullilah, hari ini  kita menyambut kedatangan Syawal sebagai tanda kemenangan kita dalam perjuangan dengan penuh ketaatan terhadapNya sepanjang Ramadhan.

     Perjuangan dalam bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai satu jihad dalam setiap diri individu. Hal ini kerana jihad itu sendiri membawa maksud bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu. Bagi umat Islam, berpuasa itu bukan sahaja berjihad dalam menahan nafsu daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan sentiasa menjaga fizikal dan mental ke arah disiplin yang bersenjatakan iman dan taqwa.


         Anggaplah apa yang sering kita lakukan yakni pertambahan nilai ibadah dan penghindaran daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini adalah satu langkah dan latihan berterusan untuk melakukan perubahan terhadap diri kita. Teruskan momentum positif sepanjang bulan Ramadhan ini dengan penuh konsisten dan memperoleh keberkatan serta keredhaan daripada Allah. Sesungguhnya, kemenangan yang lebih besar ialah apabila kita mampu mengekalkan momentum positif yang dikecapi sepanjang Ramadhan ini dalam penghayatan erti keabdian kepada Allah.


     Namun, jangan dilupakan akan sesuatu iaitu kemenangan perjuangan panji-panji Islam dalam proses pembelaan maruah Islam dan umat Islam diseluruh dunia. Pada awal Ramadhan ini, seperti sebelumnya, Palestin masih belum lagi sunyi daripada keganasan serangan rejim Zionis. Betapa ramai umat Islam yang diragut nyawanya saat yang pada ketika ini ramai umat Islam lain hanya mampu melihat dan mendengar tanpa berbuat apa-apa.


      Dalam menyambut kedatangan Aidilfitri yang mulia ini, kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang mampu meruntun hati kita sebagai menjaga hubungan dengan Allah dan manusia (Hablum min Allah, Hablum min Nas). Saat ini, kebergantungan kepada Allah untuk memohon perlindungan dan memberi kekuatan kepada rakyat Palestin dalam titipan doa di samping menjalankan tanggungjawab kita dalam kesediaan menjadi muslim sejati menjadi keutamaan.


      Apakah peranan kita sebagai muslim untuk menolong mangsa keganasan rejim Zionis yang masih lagi berlaku sejak dari 1948 lagi? Ianya bukan hanya bermusim; bukan 20 tahun,30 tahun, 40 tahun tapi sehingga perjuangan kebebasan yang dibelenggu kemelut penindasan ini selesai. Kita hanya marhaen tapi mampu membawa perubahan besar dalam keadaan ini walaupun dalam kondisi yang minima iaitu boikot. Saya di peringkat PMIUM melihat ini sebagai salah satu jalan untuk menunjukkan solidariti kita terhadap rakyat Palestin.


     Seterusnya, marilah kita sama-sama mengimarah dan mewujudkan kembali budaya ziarah-menziarahi sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang kian menjadi pudar. Bina kembali ikatan kasih sayang sempena Aidilfitri ini. “Yang jauh dekat-dekatkan, yang dekat, rapat-rapatkan”. Aidilfitri adalah antara ruang untuk merapatkan silaturrahim melalui budaya ziarah-menziarah dan memohon keampunan. Anak-anak yang merantau jauh dari kampung akan pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana seperti ini.


    Namun, dalam menyambut kemeriahan Syawal jangan dilupakan kepada batas-batas dalam bermuamalah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menjaga tutur bicara`dengan mengeluarkan kata-kata yang baik tanpa menyinggung perasaan orang lain. Pertuturan yang baik mampu untuk mengekalkan keharmonian dalam perhubungan. Selain itu, bersalam-salaman dengan hanya orang yang dibenarkan oleh syarak. Penganjuran untuk bermaaf-maafan pada hari raya bukanlah bermaksud perlu bersalaman dengan orang lain yang berlainan jantina dan bukan muhrim.


     Akhir kalam, kita adalah insan yang kerdil yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Di hari raya yang mulia ini kita seharusnya bermuhasabah dan menginsafi diri akan keadaan ini serta mensyukuri atas segala kerahmatan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.


Selamat hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.


Khairol Najib Hashim,

Presiden PMIUM.

~PMIUM Inspirasi Bersama~



Saturday, 26 July 2014

Ucapan Khas Aidilfitri HEWI

     Selama sebulan menahan haus dan lapar, selama sebulan menahan hawa nafsu disiang harinya, selama sebulan melatih diri dari berkata-kata, mendengar dan melihat hal-hal yang dimurkai Allah.
      Diiringi pula dengan solat-solat sunat, berzikir, memperbanyak membaca dan memahami al-Quran, memberi makan fakir miskin dan membantu mereka yang berjuang di jalan Allah. 
     Mudah-mudahan ibadah puasa kita selama bulan Ramadhan dapat membawa hasil yang gemilang bagi kesihatan rohani dan jasmani kita serta semoga amalan-amalan yang dilaksanakan sepanjang berada di dalam madrasah Ramadhan diterima dan diredhai-Nya.
     Setelah menjalani ujian sepanjang bulan Ramadhan maka sudah sewajarnya kita menyambut ketibaan hari raya dengan penuh gembira sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran. 
     Bagi orang yang telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadhan, Syawal adalah detik kembali kepada asal fitrah tanpa sebarang dosa dan noda.
     Hari raya disambut dengan membesarkan Allah s.w.t dengan cara mengucap takbir dan tahmid dari malam hari raya hinggalah di pagi Syawal esok harinya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. 
     Zakat fitrah yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam seboleh-bolehnya hendaklah disampaikan kepada fakir miskin sebelum hari raya agar mereka dapat bersama-sama saudara Islam yang lain menyambut hari kebesaran ini dengan penuh bermakna.

     "Sesungguhnya berbahagialah dan jayalah orang yang membersihkan dirinya dengan mengeluarkan zakat fitrah, dan ia mengingati Allah dengan menyebut nama Allah lalu menunaikan solat." (Surah Al-A'la : 14 - 15)
     Hari kemenangan ini juga kita sambut dengan saling mengucapkan tahniah dan mendoakan antara satu sama lain, dan tidak lupa pula saling memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan terhadap sesama saudara muslimin dan muslimat.

     Memetik kata-kata Imam al-Ghazali : "Yang jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH, yang indah itu SALING MEMAAFKAN.”
     Akhir kalam, Hal Ehwal Mahasiswi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (HEWI PMIUM) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang beragama Islam khususnya serta semua muslimin dan muslimat di serata dunia.


~PMIUM Inspirasi Bersama~

KALAM PRESIDEN PMIUM: "Jangan Hina 'orang Sampah' "

Jangan Hina "Orang Sampah"
     Sebut sahaja sampah pasti gambaran najis, kotor, busuk dan seangkatan dengan berlegar dalam fikiran kita. Hakikatnya kehidupan seharian kita dengan sampah tidak dapat dipisahkan ibarat seperti "aur dengan tebing" ataupun "donat dengan gula".
     Pekerjaan berkaitan dengan sampah, samada (kontraktor, pemandu lori , pengutip, dan setaraf dengannya) selalu dipandang hina oleh masyarakat.

     Walhal pekerjaan inilah pekerjaan yang mulia, yang mana ianya merupakan Fardhu Kifayah bagi umat Islam. Dek kala, orang lain bekerjaya sebagai guru, doktor, Menteri, mahupun Sultan, tetapi "orang sampah" inilah golongan diperlukan oleh semua orang.
     Seorang ayah yang bekerja mengutip tin kosong, kotak-kotak dan botol-botol terpakai demi mencari sesuap nasi untuk menyara keluarganya.

     Walaupun pekerjaan ini dipandang jijik oleh masyarakat, tetapi pada hakikatnya pekerjaan inilah pekerjaan yang mulia di sisi Allah.
   
     Sudah pasti rezeki daripada pekerjaan ini lebih halal dan suci berbanding seorang wakil rakyat yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik terhadap masyarakat serta bebas dengan korupsi yang berleluasa.

     Sehubungan dengan itu, menjelang Syawal yang bakal tiba ini, sudah pasti setiap rumah akan menghasilkan banyak sampah samada sampah kering mahupun basah.

     Oleh itu, bungkuslah sampah itu dengan baik supaya memudahkan urusan pemungutan sampah dapat dijalankan dengan lebih efisien dan cermat.
      Saya sarankan, apabila lori sampah melalui kawasan perumahan ketika Aidilfitri ini, marilah kita ringankan tangan menghulurkan sedikit juadah ataupun sebungkus air minuman kepada "orang sampah" yang bertugas ketika Aidilfitri berlangsung itu.

     Hargailah usaha titik peluh mereka, dan kita bayangkan jika mereka bercuti sepanjang Aidilfitri ini, sudah pasti ianya mendatangkan kemudaratan kepada kita semua.


Khairol Najib Hashim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya
Unlike~PMIUM Inspirasi Bersama~

Friday, 25 July 2014

Puisi Syahadah


Berakhlaklah seindah nabi,
Musuh sanjungi kawan dekati,
Berbeza pandangan itu fitrah,
Penyatu hati ini ialah quran dan sunnah,
Kini,
semakin berbeza ,
Penganut syahadah kian hilang panduan,
Hilang akhlak dosa ditadah.
Fitnah dunia kian meranah.

Rifhan Mujaddid,
Aktivis PMIUM.

~PMIUM Inspirasi Bersama~

Fesyen


Karya: Aiman Maripat
           Aktivis PMIUM

Pautan:
https://www.facebook.com/511622952297347/photos/a.512365722223070.1073741827.511622952297347/523246044468371/?type=1&theater

Ramadhan Bersama Imam Syria: PMIUM Ucap Tahniah Kepada MAPIM.

 KL:    Khairol Najib Hashim mengucapkan sekalung tahniah kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) atas penganjuran program "Program Bersama Imam Syria".

     Seramai 9 orang imam tarawikh yang di undang khas daripada Aleppo,Syria sepanjang Ramadhan. Mereka di ketuai oleh Sheikh Mohammad Muaz, merupakan ulama yang terkenal di Aleppo. 

     Sheikh Mohammad Muaz dijemput untuk memberikan takzkirah dan ceramah agama.

     Menurut Khairol Najib Hashim, usaha MAPIM ini adalah usaha yang baik dalam kecaknaan terhadap isu kemanusiaan di Syria. 

     Dalam program ini, semua jemaah yang datang didedahkan mengenai penderitaan yang dialami oleh rakyat Syria.

     "Harapan kami ialah program-program seperti ini akan terus diadakan pada masa akan datang supaya membenihkan rasa cakna dalam jiwa masyarakat Malaysia khususnya terhadap apa yang sedang dialami oleh rakyat Syria", Khairol Najib Hashim, Presiden PMIUM.


bm.therakyatpost.com

Selamat maju jaya Malaysia! - Majulah sukan untuk Negara

     Selamat Maju Jaya diucapkan kepada atlet-atlet Malaysia sempena Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

     Untuk makluman umum, Sukan Komanwel kali ini bermula pada 23 July - 3 Ogos 2014. Ianya disertai seramai 4,560 atlet dari 71 buah negara yang akan bertanding untuk 18 jenis sukan dan 261 medal untuk diperoleh.

     Maskot yang dipilih pada kali ini adalah sejenis bunga thistle yang diberi nama Clyde, sempena sungai yang mengalir di Glasgow itu sendiri. Bunga itu sendiri melambangkan negara Scotland.

     Difahamkan ketika acara pembukaan perasmian, kontijen Malaysia telah mengibarkan bendera separuh tiang sempena peristiwa MH17.

     Pelanggan Astro dan NJOI diberi peluang untuk mengikuti liputan acara sukan terpilih melibatkan atlet tanah air secara khususnya menerusi Astro Arena Saluran 801. Manakala, seluruh rakyat Malaysia juga boleh menonton saluran Astro Arena menerusi Astro on the Go secara percuma.

     Doakan agar atlet Malaysia dipermudahkan urusan dan dapat mengharumkan nama negara, insyaallah.

     Apapun, Ramadan berbaki ini jangan dilupakan untuk terus istiqomah dalam amal ibadat kita. Semoga objektif puasa, iaitu menjadi insan bertaqwa dapat kita kecapi. Doakan juga untuk saudara kita di Palestin.