Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan.
Alhamdullilah, hari ini kita menyambut kedatangan
Syawal sebagai tanda kemenangan kita dalam perjuangan dengan penuh ketaatan
terhadapNya sepanjang Ramadhan.
Perjuangan dalam
bulan Ramadhan boleh dianggap sebagai satu jihad dalam setiap diri individu.
Hal ini kerana jihad itu sendiri membawa maksud bersungguh-sungguh dalam
melakukan sesuatu. Bagi umat Islam, berpuasa itu bukan sahaja berjihad dalam
menahan nafsu daripada makan dan minum tetapi juga menahan diri daripada
melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan sentiasa menjaga fizikal
dan mental ke arah disiplin yang bersenjatakan iman dan taqwa.
Anggaplah apa
yang sering kita lakukan yakni pertambahan nilai ibadah dan penghindaran
daripada perkara-perkara yang ditegah oleh Allah dalam bulan Ramadhan ini
adalah satu langkah dan latihan berterusan untuk melakukan perubahan terhadap
diri kita. Teruskan momentum positif sepanjang bulan Ramadhan ini dengan penuh
konsisten dan memperoleh keberkatan serta keredhaan daripada Allah.
Sesungguhnya, kemenangan yang lebih besar ialah apabila kita mampu mengekalkan
momentum positif yang dikecapi sepanjang Ramadhan ini dalam penghayatan erti
keabdian kepada Allah.
Namun, jangan
dilupakan akan sesuatu iaitu kemenangan perjuangan panji-panji Islam dalam
proses pembelaan maruah Islam dan umat Islam diseluruh dunia. Pada awal
Ramadhan ini, seperti sebelumnya, Palestin masih belum lagi sunyi daripada
keganasan serangan rejim Zionis. Betapa ramai umat Islam yang diragut nyawanya
saat yang pada ketika ini ramai umat Islam lain hanya mampu melihat dan
mendengar tanpa berbuat apa-apa.
Dalam menyambut
kedatangan Aidilfitri yang mulia ini, kita seharusnya mengambil pengajaran dan
iktibar daripada peristiwa yang mampu meruntun hati kita sebagai menjaga
hubungan dengan Allah dan manusia (Hablum min Allah, Hablum min Nas). Saat ini,
kebergantungan kepada Allah untuk memohon perlindungan dan memberi kekuatan
kepada rakyat Palestin dalam titipan doa di samping menjalankan tanggungjawab
kita dalam kesediaan menjadi muslim sejati menjadi keutamaan.
Apakah peranan
kita sebagai muslim untuk menolong mangsa keganasan rejim Zionis yang masih
lagi berlaku sejak dari 1948 lagi? Ianya bukan hanya bermusim; bukan 20
tahun,30 tahun, 40 tahun tapi sehingga perjuangan kebebasan yang dibelenggu kemelut
penindasan ini selesai. Kita hanya marhaen tapi mampu membawa perubahan besar
dalam keadaan ini walaupun dalam kondisi yang minima iaitu boikot. Saya di
peringkat PMIUM melihat ini sebagai salah satu jalan untuk menunjukkan
solidariti kita terhadap rakyat Palestin.
Seterusnya,
marilah kita sama-sama mengimarah dan mewujudkan kembali budaya
ziarah-menziarahi sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang kian menjadi
pudar. Bina kembali ikatan kasih sayang sempena Aidilfitri ini. “Yang jauh
dekat-dekatkan, yang dekat, rapat-rapatkan”. Aidilfitri adalah antara ruang
untuk merapatkan silaturrahim melalui budaya ziarah-menziarah dan memohon
keampunan. Anak-anak yang merantau jauh dari kampung akan pulang ke kampung
halaman untuk merasai suasana seperti ini.
Namun, dalam
menyambut kemeriahan Syawal jangan dilupakan kepada batas-batas dalam
bermuamalah. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah menjaga tutur
bicara`dengan mengeluarkan kata-kata yang baik tanpa menyinggung perasaan
orang lain. Pertuturan yang baik mampu untuk mengekalkan keharmonian dalam
perhubungan. Selain itu, bersalam-salaman dengan hanya orang yang dibenarkan
oleh syarak. Penganjuran untuk bermaaf-maafan pada hari raya bukanlah bermaksud
perlu bersalaman dengan orang lain yang berlainan jantina dan bukan muhrim.
Akhir kalam, kita
adalah insan yang kerdil yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Di hari raya
yang mulia ini kita seharusnya bermuhasabah dan menginsafi diri akan keadaan
ini serta mensyukuri atas segala kerahmatan dan kasih sayang Allah terhadap
hamba-hambaNya.
Selamat hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.
Khairol Najib Hashim,
Presiden PMIUM.
~PMIUM Inspirasi Bersama~
No comments:
Post a Comment