Sunday, 8 March 2015





Beberapa hari yang lepas, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia telah diumumkan di seluruh Malaysia. Saat itu, pelbagai aksi ditonjolkan. Ada yang tersenyum gembira, ada juga yang menangis kecewa. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Bagi yang kurang berjaya dan tidak mencapai target yang diimpikan, jangan kecewa. Jadikan keputusan lalu dan kegagalan itu sebagai pendorong untuk lebih berjaya. Perjalanan anda masih jauh.Ucapkan syukur atas segala keputusan yang telah ditetapkan Allah. Penuntut ilmu yang paling beruntung adalah yang paling berkat ilmunya.
Tips untuk mendapat keberkatan ilmu antaranya :
1. Betulkan niat dalam menuntut ilmu
2. Baca doa sebelum memulakan pengajian ( ucapan Basmallah dan doa penenrang hati )
3. Meminta maaf dan memaafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum tidur.
4. Hindarkan perkara-perkara yang boleh merosakkan hati seperti mengumpat, tidur terlalu banyak, menonton video-video porno dan sebagainya.
Di Malaysia sahaja, terdapat pelbagai pilihan hala tuju selepas SPM seperti A-level, Asasi, Matrikulasi, Sijil dan Diploma. Jangan biarkan rasa kecewa itu membunuh semangat anda untuk mencapai kejayaan. Sebenarnya, nilai cemerlang itu bukan terletak pada kejayaan akademik sahaja, bahkan yang hakikinya adalah cemerlang akhlak. Berapa ramai remaja yang cemerlang, namun pabila ditanya tentang ilmu-ilmu fardhu ain, masih ramai yang tidak tahu. Agak menyedihkan, kerana nilai agama seolah-olah dipinggirkan dalam jiwa anak-anak muda sekarang. Sepatutnya, anak-anak terdidik untuk mengenali Islam sejak setahun jagung lagi. Sebaliknya, ibu bapa lebih memfokuskan ilmu dunia berbanding ilmu akhirat. Natijahnya, hidup anak-anak kosong tanpa belaian iman.
Ada segelintir ibu bapa yang terlalu mementingkan akademik, sehinggakan anak-anak berasa tertekan lalu menyebabkan mereka murung dan kurang bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Tidak salah, namun biarlah ilmu agama menjadi tiang hidup kita. Buktinya, Rasulullah S.A.W sendiri, merupakan contoh terbaik pencinta ilmu. Bukan sahaja ilmu dunia seperti jual beli, bahkan ilmu ukhrawi juga tidak dipinggirkan. Baginda dijadikan rujukan segala ilmu dan dianggap buku bergerak dek ilmu yang dimiliknya. Ilmu-ilmu baginda ditonjolkan melalui akhlak dan peribadi Baginda yang menenangkan hati sesiapa sahaja, termasuklah orang bukan Islam.
Akhir kalam, teruskan perjuangan anda dalam menuntut ilmu, kerana ilmu Allah itu luas.
“ Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tetapi ilmu akan semakin bertambah. “; Saidina Ali bin Abi Talib
Nazifah Nazri
Timb Exco Akademik dan Intelektual PMIUM


No comments:

Post a Comment