Thursday, 12 February 2015

PERGIMU BERSAMA TANGISAN



Tanggal 12 Februari 2015 bersamaan 23 rabi’ul akhir 1436Hijrah, dunia dikejutkan dengan 3 berita yang menyayat hati. Pertama, tragedi Chapelhill yang mengorbankan 3 orang pelajar Islam diUtara Carolina, Amerika Syarikat. Kedua, kematian dua orang guru; iaitu Datuk Hasbullah Awang dan Datuk Bentara Setia Tuan Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Biarpun mereka berdua di dalam bidang yang berbeza,namun kehilangan tersebut amat dirasai.

Jam 12.20 tengah hari,  pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang, 63, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau berkhidmat dengan saluran Astro Arena sejak Januari 2014 setelah berhenti berkhidmat sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Beliau dianggap guru dalam bidang penyiaran Malaysia. Ramai yang mengagumi kreadibilitinya.

Tepat jam 9.45malam pula, dunia sekali lagi dikejutkan dengan pemergian murobbi sepanjang zaman, Datuk Bentara Setia Tuan Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Kehilangannya , sememangnya dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Kelantan. Siapa sangka, di saat penghuninya masih bersedih dengan musibah banjir yang melanda bumi serambi mekah itu, mereka sekali lagi diuji dengan kehilangan yang cukup besar ini.

Ada hikmahnya mengapa diaturkan sedemikian rupa. Sengaja Allah ingin membersihkan bumi itu daripada dosa sang penghuni, agar kita mampu mengerti nilai hidup. Sengaja Allah mengambil insan itu di saat kita masih perlukannya, agar dapat mengerti nilai akhirat. Namun, yang paling menyentuh hati, tarikh pemergiannya bersamaan dengan tarikh kematian Syahid Hassan al-Banna.

Arwah, sepanjang hidupnya disifatkan sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara menegakkan keadilan dan berpendirian tegas dalam menjalankan amal ma’ruf nahi mungkar. Kehilangannya tiada galang ganti. Hidupnya hanyalah untuk Islam. Zaman mudanya, hanya dipenuhi dengan hal-hal berkaitan ukhrawi sahaja.

Benarlah, Islam itu datang dengan keadaan asing dan bakal kembali dengan asing jua. Buat semua  syabab, contohilah beliau. Jenamakan Islam dalam diri, tonjolkan kebaikan sepanjang masa.

Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW. Bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’.

Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.”
(Hadith riwayat Muslim)

Rita Nursuhaila Ridzuan
Timbalan Pengerusi HEWI PMIUM

             


PMIUM | INSPIRASI BERSAMA
MAHASISWI PENCETUS KEBANGKITAN WANITA


No comments:

Post a Comment