Cuaca begitu
panas. Matahari amat terik sekali seolah-olah berada sejengkal di atas kepala. Pada
kebiasaannya bumi Mesir mengalami musim panas pada bulan April. Peluhku sudah
mulai mengalir. Lantas aku segera mengatur langkah menuju ke Mahattoh Soleh
Ja’fari. Di kejauhan kelihatan ramai para pelajar Fakulti Syariah wal Qanun
sudah beratur menunggu ketibaan bas untuk pulang ke rumah sewa masing-masing. Tiba-tiba
satu suara menyapaku dari arah belakang. Aku segera menoleh.
“Mariam..rindu sama enti!”
“Khaulah! Rindu sama enti juga.”
Aku memeluk erat
sahabat baikku Khaulah. Senyuman paling manis aku hadiahkan buatnya. Gadis
kelahiran bumi Damsyik ini tampak manis dengan busana Arabnya.
“Mariam..sudah
lama enti tidak belanja ana minum ‘asir’.”
“Yakah? Asyik ana sahaja belanja enti. Apa
kata enti pula belanja ana kali ini.”
Aku
tersenyum. Sengaja aku mengusik Khaulah. Keningku diangkat sedikit.
“Erm..baiklah.
Jom ana belanja enti makan di Mat’am Syubrawi”
“Betul ni?”
Khaulah
mencekak pinggangnya sambil mencemikkan muka.
“Betul la.”
Aku
ketawa kecil melihat gelagat Khaulah lantas mencubit pipinya.
“Yeah! Khaulah belanja. Syukran jiddan
ukhti,” jawabku sambil melontarkan senyuman kepadanya.
Kami
segera meninggalkan Mahattoh lalu meneruskan langkah menuju ke Mat’am Syubrawi.
Tidak semena-mena kepalaku terasa berat. Sakit bukan kepalang. Aku
memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Aku cuba menyeimbangkan posisi badanku
namun gagal. Akhirnya aku rebah di sisi Khaulah. Khaulah segera memangku
diriku.
“Mariam…!”
Aku
hanya tersenyum menatap wajah manisnya itu.
“Kenapa ni? Mariam sakit ke?”
“Tak lah, Mariam ok. Cuma sakit kepala
sikit je. Mungkin oleh sebab pancaran matahari sangat terik hari ni.”
“Kalau
begitu mari kita pulang rehat ya?”
Khaulah
cuba
memujukku. Aku angguk lemah tanda akur dengan kata-katanya. Khaulah segera
memapahku. Aku terus tersenyum melihatnya. Dia kehairanan melihatku.
“Ada orang tu tak dapat
belanja Mariam hari ni.”
“Alaa
kesiannya dia, lain kali ya?”
“Janji?”
Sengaja aku mengusiknya.
“Ya,
Khaulah janji.” Katanya sambil mengangkat tangan.
Aku
hanya ketawa kecil. Memeluk erat sahabatku. Subhanallah..indahnya persahabatan
kami! Dialah temanku yang sentiasa di sisi tika susah dan senang.
********
Pagi
Jumaat yang dingin. Kawasan jami’ah Al-Azhar lengang dengan lautan manusia. Aku
toleh ke luar tingkap. Salji sedang lebat turun. Ya Allah, sejuknya! Sejuk
sangat sehingga terasa seperti mencucuk-cucuk tulang rusuk. Terbit perasaan
malas untuk pergi ke kuliah pada pagi ini. Alangkah nikmatnya jika aku
melelapkan mata ketika cuaca sebegini rupa. Namun ku gagahkan juga untuk
bangun. Aku cuba
untuk buang sifat malas yang bersarang di dalam diri ini.
Aku
segera mencapai baju sejuk dan beg galasku lalu menapak perlahan keluar
berjalan menuju ke Fakulti Syariah wal Qanun seorang diri di sebalik kesejukan
pagi bumi Mesir. Membawa sekeping hati yang terlalu merindui susuk tubuh Khaulah.
Sudah 2 tahun lamanya berlalu tetapi kenangan itu masih tersemat di kalbuku. Setelah
sekian lama kami bina persahabatan indah ini, akhirnya ukhuwah kami diuji.
“Mariam…”
“Ya Khaulah, kenapa?”
Aku
kehairanan memandang wajah sugul Khaulah. Aku merasakan seakan ada sesuatu yang
hilang dalam dirinya. Aku genggam erat tangannya. Ada air mata yang mengalir di pipinya.
“Mariam..Khaulah terpaksa pergi..”
“Hah? Pergi mana?”
“Khaulah
perlu segera pulang ke Syria .
Abi dan Ummi Khaulah sudah syahid. Tiada siapa yang mahu menjaga adik-adik Khaulah.
Mereka keseorangan.”
Khaulah
sudah menunduk. Air matanya terus mengalir. Dia tidak langsung menatap wajahku.
Hatiku menjadi sebak melihat keadaannya. Ya Allah..inikah ujian persahabatan
yang Engkau berikan kepada kami? Ya Allah..terasa peritnya untuk aku hadapi
ujianmu ini. Sesungguhnya aku sangat mencintai sahabatku ini ya Allah.
“Pergilah Khaulah…”
Khaulah
mendongak memandangku. Mata kami bertaut. Aku sudah tidak dapat menahan lagi
kesedihan yang melanda. Aku peluk erat sekujur tubuhnya. Ya Allah…mampukah aku?
Mampukah aku untuk berpisah dengan seorang sahabat yang amat aku sayangi? Hatiku
sebak. Air mataku sudah mulai mengalir. Ku genggam erat rantai pemberian Khaulah
kepadaku. Terukir namaku dan dia di situ. Sungguh aku amat merinduimu Khaulah!
********
Aku
melangkah masuk ke dewan kuliah 211. Dr Hassan sudah mula bersyarah di hadapan.
Aku agak lambat sedikit hari ini. Aku toleh ke kiri dan ke kanan. Banyak tempat
yang kosong. Ramai pelajar yang tidak hadir pada pagi ini. Mungkin oleh sebab
salji amat tebal di luar sana .
Kelihatan Zinnirah, sahabat serumahku duduk seorang diri. Lantas aku memilih
untuk duduk di sisinya.
Sudah
hampir sejam Dr Hassan bersyarah di hadapan. Namun tiada satu perkara pun yang
melekat di mindaku. Hanya wajah Khaulah yang bermain di fikiran. Aku memandang
Dr Hassan dengan pandangan kaku. Sejak dari tadi kepalaku sudah terasa sakit. Sakit
bukan kepalang seolah-olah dicucuk dengan duri yang tajam. Kitab Fiqh Muqorron
segera ku tutup rapat.
“Mariam!
Mariam!”
Kedengaran
suara Dr Hassan berteriak memanggil namaku. Aku tersentak dari lamunan. Semua
mata di situ memandang ke arahku. Aku tertunduk malu. Arghh! Malunya aku. Macam
manalah aku boleh berangan sebentar tadi. Zinnirah, sahabat serumahku menyapa
sambil melontarkan senyuman.
“Berangan ya?”
“Taklah”,
sepatah aku menjawab.
“Habis
tu? Teringat akan Khaulah?” Zinnirah tersenyum.
Aku
mengangguk lemah. Wajahku kelihatan sugul. Aku benar-benar rindu akan Khaulah.
Rindu akan ukhuwah yang sekian lama terjalin indah. Rindu akan segala memori
lalu yang masih segar dalam kotak fikiranku.
********
Zinnirah
menampar lembut bahuku. Dia meminta izin untuk pulang ke rumah dahulu kerana
ada urusan penting yang harus diselesaikannya. Aku mengangguk lembut. Dewan
kuliah 211 sudah lengang dengan pelajar. Aku mengagahkan juga diri untuk
bangun. Aku berjalan agak perlahan menuju ke Mahattoh.
Ketika
dalam perjalanan pulang, aku singgah sebentar di Raudhah Sakinah. Aku menoleh
ke sebelah kanan. Aku tersenyum sendirian lalu menghampiri pohon tamar. Aku
berhenti di situ. Memejam rapat mataku. Pohon tamar inilah menjadi saksi. Saksi
jalinan ukhuwah kami bersemi.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikummussalam..”
“Kaifahaluki?”
“Alhamdulillah
ana bikhoir.”
“Ana Khaulah Al-Azwar..wa enti?”
“Ana
Mariam… min Malizi..”
“Malizi?”
“Na’am..wa
min enti?”
“Ana min Damsyik…”
Ukhuwah
kami bersemi hanya sebegitu. Pertemuan yang ringkas tetapi penuh bermakna. Pertemuan
di bawah pohon tamar ini yang menguatkan lagi hubungan persahabatan antara kami.
Setiap kali ada masa terluang, pohon tamar inilah menjadi tempat kami berehat sementara
menunggu kelas seterusnya bermula. Ingin sekali aku mengulang kembali kisah
kami dahulu. Kisah yang penuh suka dan duka.
Merindui
kehangatan pelukan seorang sahabat dari bumi Damsyik, aku duduk bersandar di
bawah pohon tamar itu. Sejuk sangat. Alangkah indahnya jika aku dapat menikmati
kesejukan bumi Mesir ini bersama-sama Khaulah. Aku segera membuka lembaran surat daripadanya yang ku terima
sebulan yang lepas.
Salam
sayang buat ukhtiku,
Apa khabar
dirimu Mariam? Khaulah harap Mariam senantiasa sihat dan ceria selalu walaupun
tanpa kehadiran Khaulah di sisi. Khaulah sekeluarga baik-baik sahaja di sini. Allah,
betapa rindunya Khaulah pada Mariam. Rindu pada ukhuwah yang kian lama terjalin
bersama. Rindu juga pada bumi Kairo. Subhanallah..tidak terbendung lagi rasa
rindu yang kian mekar ini. Tetapi apakan dayaku, hanya kepada Allah sahajalah
aku titipkan rasa rindu ini.
Sahabat,
Bagaimana
kehidupanmu sekarang? Khaulah agak sibuk menguruskan adik-adik. Mereka masih
trauma. Kendatipun sudah 2 tahun peristiwa hitam itu berlalu, namun kenangan abi
dan ummi masih menghantui diri mereka. Adik-adik Khaulah masih belum mampu
menerima hakikat bahawa abi dan ummi sudah pergi menemui Illahi. Terkadang Khaulah
menangis sendirian melihat mereka. Khaulah sebak mengenangkan nasib kami
sekeluarga. Khaulah kasihan melihat adik-adik. Mereka masih kecil dan tidak
mengerti apa-apa lagi. Allah benar-benar menguji diri kami sekeluarga.
Khaulah perlu menjalankan
tanggungjawab sebagai anak sulung dalam membesarkan adik-adik. Sejak belakangan
ini, serangan Israel di Syria semakin menjadi-jadi. Semakin banyak pembunuhan
berlaku. Mayat-mayat bergelimpangan di sana
sini. Ketakutan menghantui adik-adik Khaulah. Siang dan malam air matalah yang
menemani kami. Mariam, bagaimana Khaulah mahu membesarkan adik-adik dengan
suasana ralat yang sebegini rupa?
Walau apa-apa
pun, Khaulah tidak berasa gentar Mariam. Sejak dari kecil sehinggalah Khaulah tumbuh
dan membesar menjadi seorang gadis, bumi Damsyik ini masih dijajah. Khaulah
sudah lali dengan keadaan sebegini. Andai kematian datang menjemput Khaulah,
Khaulah tidak gentar sahabatku sayang kerana inilah realiti kehidupan kami di
sini. Khaulah redha dengan segala ketentuan-Nya.
Mariam,
Sahabatku dunia dan
akhirat. Mungkin ini adalah warkah terakhirku buatmu. Kekangan waktu dan
kesibukanku menyebabkan masa terluang amat terbatas. Khaulah lebih banyak
meluangkan masa untuk adik-adik dan gerakan mujahidah di sini. Akhawat
merupakan aset penting dalam perjuangan di sini. Khaulah juga turut bersedia
menyerahkan khidmat diri untuk perjuangan gerakan mujahidah di sini dalam membantu
gerakan mujahidin. Doakan diri kami syahid di medan perjuangan dengan redha Ilahi,
Insyaallah.
Akhir kalam,
Khaulah mengharapkan doamu senantiasa mengiringiku di sini dalam meneruskan perjuangan
menegakkan kembali bumi Syria
yang semakin lemah dinodai oleh rejim Zionis. Mariam, doakan bumi Syria !
Khaulah sayang akan Mariam tetapi apakan daya, kita terpaksa berpisah demi
kebaikan bersama. Namun begitu, titipkan sahaja doamu pada Allah, Insyaallah
dimakbulkan oleh-Nya.
Salam rindu daripadaku,
~Khaulah
Al-Azwar~
********
Aku menapak
selangkah demi selangkah di sebalik kedinginan bumi Kairo menuju ke Mahattoh. Subhanallah…sejuknya.
Sudah berlapis-lapis baju sejuk ku pakai. Namun, kesejukan bumi Kairo ini masih
terasa mencucuk-cucuk sekujur tubuhku. Kepalaku sudah mulai terasa
berdeyut-denyut. Aku memperlahankan langkah. Kakiku terasa semakin lemah. Pandanganku
menjadi kabur. Bayangan Raudhah Sakinah sudah lenyap dari pandangan mataku.
Hanya deruman
enjin kereta yang ku dengar dari arah belakang. Aku cuba untuk menyeimbangkan posisi tubuhku
namun aku gagal. Deruman enjin kereta itu semakin jelas kedengaran. Aku terasa
tubuhku seperti diasak sesuatu. Ya Allah! Aku meraung kesakitan. Akhirnya aku
rebah menyembah bumi.
Mariam telah dikejarkan
ke Mustashfah Saidina Hussein. Zinnirah mengiringinya dengan tangisan. Air
matanya berjuraian. Kesedihan di hati tidak dapat dibendung lagi. Wajahnya
kelihatan sugul. Mariam ditempatkan di wad ICU. Kondisinya amat kritikal. Dia mengalami pendarahan yang agak teruk di kepala.
“Maafkan saya, saudari ini sahabat kepada Mariam?”
“Ya
doktor, saya Zinnirah. Sahabat baik Mariam. Bagaimana keadaannya sekarang,
doktor? Baik-baik sahaja bukan?”
Doktor Muhammad
sudah menunduk. Wajahnya tampak sedih. Seakan berat mahu memberitahu kondisi Mariam
pada saat itu. Zinnirah menunggu dengan tenang jawapan daripada beliau.
“Maafkan
saya Zinnirah. Mariam mengalami pendarahan yang teruk di kepala. Dia kehilangan
banyak darah dan sekarang dia sedang koma. Dia sedang bertarung dengan maut.”
Zinnirah
terduduk. Terasa seakan ada sesuatu menghimpit jiwanya. Dia amat terkejut
dengan berita itu. Kesedihan di jiwa tidak dapat dibendung. Air mata yang
mengalir tidak mampu diseka lagi. Esak tangisnya jelas kedengaran memecah
kesunyian ruangan ICU.
Zinnirah menapak
pulang disebalik kedinginan bumi Mesir, membawa sekeping hati yang sedang lara.
Perasaan sebak yang melanda tidak mampu ditenangkan lagi. Sesampai di rumah,
dia terus menuju ke ruang tamu lalu menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. Dia
termenung sejenak memikirkan keadaan sahabatnya.
Ya Allah, betapa
hebatnya ujian yang kau timpakan ke atas sahabatku ini. Mariam adalah seorang hambamu
yang setia dalam bersahabat. Sekian lama dia berpisah dengan Khaulah, merindui
belaian kasih sayang daripada seorang sahabat yang dirinduinya dan tika itulah
kau uji dia dengan pelbagai macam musibah.
Alat kawalan
jauh yang terletak di atas meja tidak jauh dari sofa itu dicapainya. Membuka
siaran televisyen berita Jam 8 malam. Berita yang dipaparkan adalah mengenai
peperangan di Damsyik , Syria . Peperangan yang sudah sekian
lama tidak berkesudahan. Dia menumpukan sepenuh perhatian ke kaca televisyen.
Matanya dibuka besar-besar. Telinganya dipasang rapi. Alangkah terkejutnya dia saat
mendengar berita itu. Berita yang amat memilukan hatinya dan juga buat Mariam.
‘Khaulah
Al-Azwar, pelajar tahun 3 yang masih menuntut di Universiti Al-Azhar Mesir dikhabarkan
telah kembali ke rahmatullah sewaktu tentera Israel datang membedil bumi Damsyik.’
Hatinya tidak semena-mena menjadi sebak. Terasa ada sesuatu yang mengasak jiwanya.
Seakan-akan ada sesuatu yang hilang dalam dirinya. Dia menundukkan wajah lantas
duduk memeluk sekujur tubuhnya. Matanya sudah berkaca. Ada air mata yang mengalir di pipi. Esak
tangisnya sukar lagi untuk dihentikan. Di situ jugalah dia menangisi pemergian
seorang sahabat yang amat dirinduinya.
********
Seminggu berlalu
begitu sahaja. Sepanjang itulah Zinnirah tabah menjaga Mariam dengan penuh
kasih sayang. Setiap hari seusai tamat kuliah, Zinnirah pasti melawat Mariam
dan saat itulah dia kerap kali menangis tika menatap wajah lesu Mariam. Seminggu
Mariam terlantar di hospital, Zinnirahlah yang tetap setia menemani dan
menjenguknya. Siang dan malam bersilih ganti, Zinnirah tidak pernah putus
mendoakan kesejahteraan diri Mariam serta menunaikan solat sunat hajat demi
keselamatan dirinya.
“Zinnirah,
ada sesuatu yang ingin saya sampaikan mengenai keadaan Mariam.” Doktor Muhammad
memulakan bicara.
“Ya
doktor, apa dia?”
Riak wajah
doktor Muhammad sudah mulai berubah. Wajahnya yang tenang itu tadi kembali
menjadi runsing. Seakan ada sesuatu yang buruk yang ingin disampaikan olehnya
mengenai kondisi Mariam. Seraut air muka kesedihannya itu jelas terpapar.
“Sebelum
itu saya mohon maaf sekiranya berita yang ingin saya sampaikan ini akan
membuatkan Zinnirah sedih. Saya terpaksa memaklumkan hal ini kepada saudari. Setelah
pihak kami menjalankan pemeriksaan ke atas Mariam, pihak hospital mendapati bahawa
Mariam telah menghidapi penyakit barah otak yang agak serius dan paru-paru
berair. Jangka masa untuk dia bertahan hidup adalah lebih kurang sebulan sahaja
lagi.”
Zinnirah sudah
kehilangan kata-kata. Hatinya memberontak seolah-olah mahu menjerit sepuas hati
melepaskan segala kesulitan yang dihadapinya. Air mata yang deras mengalir
tidak mampu diseka lagi. Doktor Muhammad cuba menenangkannya.
“Harapnya Zinnirah dapat bersabar.
Perbanyakkanlah istighfar dan memohon doa kepada Allah. Mudah-mudahan saudari
Mariam akan cepat sembuh dengan izin-Nya dan dipermudahkan segala urusannya,
Insyaallah.”
Zinnirah
mengangguk tanda akur dengan nasihat dan kata-kata semangat daripada Doktor
Muhammad lalu meminta izin untuk keluar terlebih dahulu. Dia menapak keluar
menuju ke ruangan bilik Mariam. Jauh di sudut hatinya, terasa amat pilu
mengenangkan nasib diri Mariam. Namun kesedihan di hati masih belum terubat
lagi. Zinnirah duduk di sisinya. Menggenggam erat tangan Mariam.
“Mariam,
bangunlah sayang. Hampir seminggu Mariam tidak sedarkan diri. Mariam perlu
kuat. Bangkitlah sahabatku. Zinnirah tidak sanggup lagi melihat keadaan Mariam
sebegini rupa setiap hari.”
Hatinya menjadi sebak.
Dia menundukkan wajahnya. Ada
air mata yang mengalir di pipi. Tiba-tiba genggaman tangan Mariam
bergerak-gerak. Zinnirah lantas mengangkat wajahnya. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. Wajah
kegembiraannya jelas terlihat.
“Mariam! Syukur Alhamdulillah Mariam sudah
sedar.”
“Zinnirah,
Mariam di mana sekarang?”
“Mariam
di hospital sekarang. Hampir seminggu Mariam terlantar di sini. Mariam koma
tidak sedarkan diri.”
“Apa yang sudah terjadi pada Mariam?”
“Mariam
tidak ingat apa-apa?” soal Zinnirah.
Mariam hanya
menggelengkan kepalanya.
“Mariam kemalangan sewaktu pulang dari Raudhah
Sakinah. Ada
orang bawa Mariam ke sini.”
“Doktor
ada beritahu apa-apa maklumat tentang kesihatan Mariam?”
Zinnirah terkaku
sebentar. Dia berasa berat hati untuk memberitahu Mariam tentang penyakit
kroniknya itu. Zinnirah tidak mahu melihat Mariam sedih lagi. Namun Zinnirah
kuatkan juga semangatnya. Jika hal ini dirahsiakan, lama kelamaan akan ketahuan
juga akhirnya. Mariam perlu tahu penyakit yang dihidapinya. Zinnirah mula mengatur kata-kata. Matanya
dipejam rapat. Tangan Mariam digenggam erat.
“Mariam
sayang, maafkan Zinnirah seandainya perkara yang ingin Zinnirah sampaikan ini
akan menambahkan lagi kesedihan di hati Mariam. Zinnirah sebenarnya tidak
sanggup untuk memberitahu Mariam tentang perihal ini akan tetapi Zinnirah
terpaksa juga memaklumkannya.”
“Apa dia Zinnirah? Tolong beritahu
Mariam!” Mariam berkeras ingin tahu.
Air muka
Zinnirah tampak pilu. Matanya berkaca-kaca. Terasa berat untuk memberitahu
Mariam keadaannya yang sebenar. Namun digagahkan jua hatinya.
“Mariam, doktor memaklumkan bahawa Mariam
telah menghidapi penyakit barah otak yang serius dan paru-paru berair.”
Mariam terkedu.
Dia terlalu kaget dengan berita itu. Dia amat tidak menyangka. Ternyata Allah
benar-benar menguji dirinya. Lantas air matanya jatuh setitis demi setitis.
Perasaan hiba yang melanda di jiwa tidak mampu ditenangkan lagi. Mariam redha
atas segala ketentuan-Nya.
********
Mariam keseorangan
di biliknya. Dia menoleh ke luar jendela. Salji sedang lebat turun.
Subhanallah..cantiknya! Kelihatan dua orang kanak-kanak perempuan sedang
seronok bermain bersama. Bahagianya mereka. Alangkah indahnya jika Khaulah
dapat bersama-sama berada di sisiku tatkala ini. Menemaniku kian hari dan menghabiskan
sisa-sisa hidupku bersama-samanya. Ya Allah! Rindunya aku pada Khaulah.
Zinnirah
mengetuk pintu. Tombol pintu dipulasnya. Dia menapak masuk.
“Mariam,
ini Zinnirah belikan bubur untuk Mariam. Mari makan. Zinnirah suapkan ya.”
Mariam
mengangguk tanda akur. Zinnirah mengukir senyuman. Beberapa sudu bubur
disuapkan ke mulut Mariam.
“Zinnirah, sudah lama Mariam tidak dengar
khabar berita tentang Khaulah. Bagaimana keadaannya sekarang? Mariam rindu
sangat pada Khaulah.”
Zinnirah terkaku
sebentar. Dia tidak mampu meneruskan kata-kata. Dia menjadi runsing. Bagaimana
dia mahu beritahu Mariam hal yang sebenar mengenai Khaulah sedangkan dirinya
sedang bertarung dengan sakit? Tidak sanggup rasanya untuk Zinnirah memberitahu
Mariam. Zinnirah termangu seketika.
“Zinnirah??” Mariam menyapa.
Jauh di sudut
hatinya tidak sanggup melihat Mariam sedih lagi. Namun dikuatkan juga
semangatnya. Air mata yang ditahan sejak tadi sudah mulai mengalir.
“Erk…Mariam,
sebenarnya…Khaulah telah syahid sewaktu serangan Israel
di bumi Syria
seminggu yang lalu. Zinnirah mendapat tahu daripada berita di kaca tv.”
Mariam amat
terkejut dengan berita itu. Riak wajahnya berubah menjadi sebak. Dia menunduk.
Terdiam seribu bahasa. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan di bibirnya. Air
mata sudah jatuh berguguran. Kesedihan di hati masih belum terubat lagi namun
telah datang berita yang begitu memilukan jiwanya. Peritnya hati ibarat dihiris
dengan sembilu.
Mariam kehilangan
seorang sahabat yang amat disayanginya. Ternyata Allah lebih menyayangimu wahai
sahabatku. Sekian lama Allah mengujimu dengan pelbagai mehnah. Pemergian ummi
dan abi yang sangat dicintai. Kesulitan hidup dalam membesarkan adik-adik.
Namun engkau tetap tabah tatkala onak dan duri datang menerpa dirimu. Tidak
sesekali kau gentar bersemuka malah menentang musuh-musuh Islam yang muncul di
hadapanmu. Ternyata jiwamu amat kental sahabatku. Semoga Allah merahmati rohmu
di alam sana .
Mariam
terbatuk-batuk. Segumpal darah telah keluar dari mulutnya. Zinnirah naik cemas.
Dia segera mencapai sehelai kain lalu mengesat mulut Mariam.
“Zinnirah,
Mariam nak solat.”
Zinnirah angguk
tanda faham. Dia segera membantu Mariam mengambil wudhuk. Mariam menggunakan
debu tanah untuk bertayammum. Dia hanya solat berbaring di atas katil. Zinnirah
menjadi imam. Mariam mengikut setiap gerak gerinya. Dia mengangkat takbir lalu
beberapa saat kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Seusai sahaja solat,
Zinnirah bangkit meluru ke arah Mariam. Namun dia mendapati Mariam sudah pergi
meninggalkan dunia buat selama lamanya. Air mata sudah mengalir. Lantas
diambilnya sehelai selimut lalu menutupi sekujur tubuh Mariam. Suasana berubah
menjadi hening. Zinnirah mengesat air matanya. Dia redha atas segala ketentuan
yang telah ditakdirkan oleh-Nya.
Benarlah Ya
Allah… Mariam dan Khaulah saling mencintai dan menyayangi. Engkau telah
memakbulkan doa mereka berdua.
“ Damailah kalian di alam sana . Semoga syahid mengiringimu wahai sahabatku…”
Sebarang terbitan karya@artikel sila emelkan ke pmium123@gmail.com
PMIUM | inspirasi bersama
PMIUM | inspirasi bersama
No comments:
Post a Comment