Friday, 23 January 2015

Misi Banjir Mahasiswa : Ketumbukan dan Kepaduan Mahasiswa



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Setinggi- tinggi kesyukuran dipanjatkan untuk Tuhan Penguasa Alam, tuhan yang menghidupkan dan mematikan, tuhan yang menurunkan dan menahan hujan, tuhan kepada umat sekalian Alam.

Alhamdulillah, setelah seminggu Mahasiswa dari pelosok tanah air telah berkampung, memerah keringat, mencurah tenaga, bersama-sama memberi cahaya harapan baru untuk penduduk Kuala Krai khususnya di Kampung Manjor sendiri.

Jika disingkap kembali kisah-kisah yang dinukilkan di dalam Kalam Mulia, Al-Quran Al-Karim, Kisah Nabi Nuh a.s. menjadi satu rentetan kisah yang mengajar kita dalam menghadapi musibah ini.

Sedari awal lagi Nabi Nuh telah membina satu bahtera besar sebagai persediaan untuk menyelamatkan umatnya.Bahtera yang penuh teknologi itu pula telah dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan logistik untuk satu tempoh masa yang panjang. Apa yang paling penting daripada kisah ini kita dapat lihat bagaimana Nabi Nuh a.s. membina semula peradaban baru selepas banjir menerusi anak-anaknya.

Idea “Perkampungan Harapan Mahasiswa : Misi Banjir Mahasiswa” ini ternyata tidak dicedok dari mana-mana idea partisan politik yang selalu sahaja dikaitkan dengannya, malahan ianya hasil idea dari mahasiswa-mahasiswa yang sedar bahawa rakyat sedang memanggil mereka.

Kami mahasiswa bukan dengan lagak mendabik dada kejayaan misi ini namun perlu diingat, ini adalah petanda bahawa Mahasiswa mampu berdiri di atas kaki sendiri. Ini juga merupakan signal amaran kepada semua pihak, tatkala isu banjir ini menjadi semakin parah masih ada pihak yang terus menerus bertelagah tentang isu-isu yang sewajarnya diketepikan. Kami Mahasiswa berasa terkilan, inikah yang dikatakan “Rakyat diutamakan”?.

Kejayaan Misi ini juga merupakan satu petanda yang jelas bahawa Mahasiswa bukan sekadar satu laungan kosong tetapi mampu turun menjengah ke masyarakat. Mahasiswa bukanlah robot yang diset untuk ke kelas, menghafal nota-nota kuliah dan akhirnya dicurahkan di atas kertas peperiksaan. Mahasiswa sebenarnya adalah anggota penting dalam Negara dan jangan sesekali diperkecilkan peranan mereka.

Akhir sekali, kita perlu memuhasabah diri kita dengan apa yang telah terjadi. Kemusnahan berlaku bukan untuk ditangisi tetapi untuk segera bangun membina sebuah peradaban baru yang sesuai dengan ciri-cirinya.

Semoga usaha kecil kita ini dinilai dengan adil oleh Allah Taala di hari pengadilan kelak. Semoga amalan kita ini diterima dan diangkat di sisi-Nya. Salam Perjuangan.

Mohamad Zarin Bin Maszalan
NAIB presiden 1 PMIUM

No comments:

Post a Comment