1 Februari 2015, sekali lagi rakyat Malaysia menerima berita gembira dengan penurunan harga minyak petrol dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal. Minyak (Petrol dan Diesel) adalah satu sumber keperluan hidup dan sudah pasti penurunan harga minyak akan menjimatkan kos sara hidup rakyat Malaysia. Sepatutnya rakyat Malaysia bukan sahaja memperolehi harga minyak yang rendah tetapi turut sama memperolehi harga barang yang rendah kerana kenaikan dan penurunan harga minyak secara langsung akan memberi kesan kepada harga barang di pasaran. Sifir mudahnya, harga minyak yang naik akan menaikkan harga barang di pasaran dan jika harga minyak turun, harga barang di pasaran akan turut turun. Namun begitu, perkara ini tidak berlaku seperti yang tertera pada hukum perniagaan. lni terbukti apabila harga barang tidak turun walaupun harga minyak telah turun sebulan lepas, dari tarikh 1 Januari 2015 lagi.
Persoalannya mengapa harga barang tidak diturunkan sejajar dengan penurunan harga minyak ?
Sebelum ini para peruncit menaikkan harga barang dengan alasan kenaikan harga minyak di pasaran. Malah wujud juga alasan harga barang di pasaran dinilai kos untung rugi oleh peruncit berdasarkan kos barang yang diambil daripada pemborong. Tambah mereka lagi, sekiranya harga minyak sering berubah, ia memberi kesukaran untuk meletakkan tanda harga pada setiap jenis barang. Tapi ternyata, ini semua hanyalah alasan untuk menaikkan harga barang di pasaran, kerana harga barang tetap sama walaupun harga minyak sudah turun.
Saya khuatir perkara ini akan sentiasa berlaku walaupun harga minyak turun peringkat demi peringkat mengikut kaedah pengapungan terkawal. Lebih teruk, sewaktu harga minyak kembali naik, tanpa soal panjang para pemborong dan peruncit pantas sekali menaikkan harga barang. Di mana ketelusan sebagai seorang peniaga ke atas seorang pengguna. Justeru, saya memohon pihak yang berautoriti melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan masalah ini dan saya selaku pengguna dan rakyat Malaysia menuntut harga barang di pasaran diturunkan pada kadar yang sepatutnya agar nilai keuntungan itu dinikmati oleh kedua-dua pihak baik pengguna mahupun peniaga.
Khair Alimar Shidi
Bendahari Kehormat PMIUM
II INSPIRASI BERSAMA II