Kuala Lumpur: Debat Pedana
Presiden 2014 yang bakal menampilkan wakil dari Pro Mahasiswa Universiti
Malaya (Pro-M UM) dan Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (GERAK)
dijangka akan menaikkan lagi momentum kehangatan pilihanraya kampus UM
(PRK UM).
Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
(PMIUM), Luqman Zul Razali berkata, program debat seperti ini sangat
wajar diadakan di samping menambahkan kemeriahan PRK UM, ia juga sebagai
medan bagi menyuburkan nilai demokrasi di kampus.
"Sesi lepas, UMESS telah mencipta sejarah dengan menyediakan ruang debat bagi kedua-dua pengerusi Pro-M UM dan GERAK. Dan pada sesi ini, UMESS sekali lagi menganjurkan debat dengan konsep yang sama. Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik", ujarnya.
Luqman juga menyebut, kedua-dua pendebat perlu memanfaatkan ruang ini
bagi menceritakan kepada mahasiswa UM apa yang mereka ingin bawa dalam
kepimpinan sesi ini dan menjauhi serangan peribadi.
"Kedua-dua
pendebat perlu menyampaikan hujah masing-masing dengan matang. Ini
peluang terbaik bagi menerangkan apa yang kedua-dua pihak bawa supaya
mahasiswa dapat menilai", tegasnya.
Tambahnya, beliau di peringkat PMIUM mengharapkan PRK UM kali ini akan memperlihatkan politik kampus yang baru dan segar tanpa dipengaruhi sebarang unsur politik yang tidak sihat.
"Diharapkan PRK UM kali ini akan menjadi medan persaingan
yang sihat. Janganlah kita terikut-ikut dengan rentak politik luar yang
kurang sihat. Mahasiswa selaku golongan cerdik pandai perlu menunjukkan
mereka mampu berpolitik secara matang dan kompeten", jelasnya.
Esok, Sekretariat Mahasiswa Fakulti Ekonomi UM (UMESS) sekali lagi akan
menganjurkan debat presiden sempena PRK UM yang dijadualkan pada minggu
hadapan. Pro-M UM bakal diwakili pengerusinya Safwan Shamsuddin dan
GERAK diwakili Wan Suhail. -mahasiswakini
No comments:
Post a Comment